Now Reading
“Hadiah Paling Besar Maknanya”- Pemandu Wanita E-hailing Sebak Menang Pakej Umrah Bersama Rakan Grab

“Hadiah Paling Besar Maknanya”- Pemandu Wanita E-hailing Sebak Menang Pakej Umrah Bersama Rakan Grab

Menurut Siti Anizah yang juga pemandu Grab sambilan, dia menangis serta terkejut sebaik dimaklumkan terpilih menjadi pemenang untuk menunaikan umrah peraduan itu.

Ringkasan
  • Siti Anizah Ibrahim, pemandu Grab sambilan, menang pakej Umrah Bersama Rakan Grab untuk dirinya dan suami selepas menyertai peraduan pada Ramadan.
  • Kemenangan itu menjadi hadiah istimewa buat ulang tahun ke-50 suaminya, Khusairil Md Yusof, dan rezeki buat pasangan yang baru berkahwin pada Jun lalu.
  • Video penyertaan Siti Anizah merakam realiti sebenar cabaran memandu e-hailing ketika Ramadan, bukan lakonan, menjadikannya antara lapan pemenang terpilih.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap umat Islam pastinya menyimpan impian untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Mekah untuk melakukan ibadah umrah atau haji atau kedua-duanya.

Akan tetapi belanja untuk ke Tanah Suci juga bukanlah murah. Malah ada yang menyimpan wang daripada awal sebagai usaha untuk ke sana.

Wanita sebak impian tunai umrah bakal jadi kenyataan

Namun seperti perumpamaan tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu, seorang wanita yang juga pemandu Grab tidak menyangka dan bersyukur apabila impiannya untuk menunaikan umrah akhirnya akan menjadi kenyataan.

Wanita dikenali sebagai Siti Anizah Ibrahim tidak menyangka dengan perkongsiannya mengenai cabaran mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing telah membawa tuah buatnya apabila dijemput menunaikan umrah pada bulan November akan datang.

Siti Anizah memenangi pakej itu selepas menyertai peraduan ‘Umrah Bersama Rakan Grab’ ketika Ramadan (Februari) tahun ini.

Berpeluang pergi bersama suami, malah kemenangan jadi hadiah buat hari jadi suami

Malah beliau turut berpeluang membawa suaminya, Khusairil Md Yusof, 50, dan ia secara tidak langsung menjadi hadiah istimewa buat hari jadinya pada 23 Oktober yang lalu.

Memetik Harian Metro, Siti Anizah bekerja sebagai kerani agensi kerajaan di Melaka dan dia memandu e-hailing secara sambilan pada waktu malam.

Awalnya Siti Anizah memaklumkan videonya telah disenarai pendek serta perlu menjalani sesi temu bual secara panggilan video.

Namun apabila menerima panggilan daripada syarikat e-hailing berkenaan mereka memaklumkan dia sebenarnya terpilih menjadi salah seorang daripada lapan pemenang yang masing-masing dibenarkan membawa pasangan.

Menangis dan terkejut seperti tak percaya menang pakej umrah

“Saya dan suami memang teringin sangat hendak menunaikan umrah jadi bila diberitahu video terpilih, saya menangis dan terkejut sebab macam tak percaya.

“Bila saya beritahu suami dia juga menangis kerana sebak dan terharu.

“Kebetulan 23 Oktober adalah ulang tahun kelahiran suami yang ke-50, jadi kemenangan ini memang hadiah istimewa untuk dia.

“Bagi saya ini juga rezeki buat kami yang baru mendirikan rumah tangga pada Jun lalu selepas saya berpisah dengan bekas suami manakala dia kematian isterinya,” ujarnya lagi.

Baru sahaja berkahwin dengan suami, ketika masuk peraduan masih bergelar ibu tunggal

Siti Anizah turut berkongsi sewaktu beliau menyertai peraduan bertemakan ‘Sabar Dalam Setiap Pesanan’ pada Februari lalu, dirinya masih lagi seorang ibu tunggal dan menyara empat orang anak yang masih bersekolah.

Katanya, sewaktu menyertai peraduan tersebut dia sememangnya sedang berada dalam keadaan ‘down’ dan begitu teringin untuk ke Tanah Suci, namun kekangan kewangan membuatkan dia merasakan impian terbabit sukar untuk dicapai.

“Ketika itu saya down memang teringin sangat hendak pergi umrah dan berdoa depan Kaabah tetapi kekangan kewangan membuatkan saya rasa impian itu susah dicapai.

“Jadi apabila sebuah syarikat e-hailing ini anjurkan pertandingan itu, saya mencuba nasib menghantar penyertaan.

“Saya fikir kalau ada rezeki dan Allah hendak jemput menjadi tetamu-Nya adalah rezeki saya dan kalau tak menang saya akan cuba lagi tahun depan.”

https://www.tiktok.com/@nizaladydriver/video/7699084017664167174

Hasilkan video untuk peraduan tersebut guna dashcam, papar realiti dan cabaran jadi pemandu e-hailing ketika Ramadan

Siti Anizah menghasilkan video untuk peraduan tersebut menggunakan kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan pengalaman serta cabaran yang ditempuhi sepanjang memandu e-hailing ketika di bulan Ramadan.

Bahkan beliau menyifatkan segala yang dipaparkan dalam video terbabit bukanlah lakonan sebaliknya realiti sebenar.

“Semua dalam video itu bukan lakonan. Saya tunjuk keadaan berbuka puasa dalam kereta, terpaksa selesaikan kerja walaupun sudah masuk waktu berbuka, menunggu tempahan ketika kurang pelanggan dan bekerja dalam hujan.

“Semua cabaran itu saya kumpulkan dan sunting dalam satu video,” ujarnya lagi.

Wanita itu turut berterima kasih kepada syarikat e-haling berkenaan kerana menganjurkan peraduan yang telah secara tidak langsung merealisasikan impiannya untuk menunaikan umrah.

Masih belum buat persiapan kerana baru dimaklumkan pada 21 Oktober

Menurut Siti Anizah, dia dan suami akan berangkat ke Tanah Suci pada 24 November 2026. Walau bagaimanapun, mereka masih lagi belum membuat persiapan memandangkan baru sahaja menerima khabar baik tersebut pada 21 Oktober yang lalu.

Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Siti Anizah dilihat begitu gembira sebaik dimaklumkan dirinya merupakan antara pemenang yang memenangi pakej umrah tersebut.

Turut rakam momen ketika maklumkan pada suami

Malah Siti Anizah turut merakam momen sewaktu memaklumkan berita baik itu kepada suaminya.

Mereka dilihat sama-sama menangis penuh kesyukuran dengan rezeki itu. Dalam video itu, Siti Anizah turut memaklumkan suaminya juga salah seorang pemandu Grab.

https://www.tiktok.com/@nizaladydriver/video/7699350228033441025

Bukan hanya itu, mereka turut ditaja oleh seseorang untuk membuat pasport bagi mempermudahkan urusan umrah.

Kata Siti Anizah, beliau tidak pernah memilik pasport serta tidak pernah menaiki kapal terbang.

https://www.tiktok.com/@nizaladydriver/video/7699836863770561799
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.