Now Reading
Baki Akaun Bank Pernah Tinggal RM33, Bekas CEO Tak Patah Semangat & Bangkit Jual Nasi Lemak Di Tepi Jalan

Baki Akaun Bank Pernah Tinggal RM33, Bekas CEO Tak Patah Semangat & Bangkit Jual Nasi Lemak Di Tepi Jalan

Lelaki yang dikenali sebagai Ade Azhar Ismail menjelaskan dia pernah berhadapan dengan situasi hanya mempunyai RM33 dalam akaun bank simpanannya dan itu menjadi penyebab dia kembali berniaga nasi lemak tepi jalan.

Ringkasan
  • Ade Azhar Ismail, bekas CEO syarikat pengedar berpendapatan lima angka selama 16 tahun, kini menjual nasi lemak di tepi jalan selepas syarikat mengalami defisit kewangan.
  • Pernah hanya ada RM33 dalam akaun bank, Ade bangkit berniaga nasi lemak di Seksyen 9, Shah Alam, membuktikan semangat tidak pernah padam.
  • Dalam masa 53 hari, Ade berjaya merekrut pekerja, membuka lima kawasan jualan baharu dan membawa sehingga 1,200 bungkus nasi lemak sehari.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

https://www.tiktok.com/@adeazharismail/video/7687087621809392903?is_from_webapp=1&sender_device=pc

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap manusia pastinya pernah berhadapan dengan situasi sukar dan mencabar dalam menjalani kehidupan seharian.

Namun, ujian yang datang tidak menjadi halangan malah menjadi semangat buat seseorang untuk bangkit dari kesusahan yang dialami.

Lelaki Pernah Jadi CEO Kini Jual Nasi Lemak Tepi Jalan

Itulah yang dihadapi oleh seorang lelaki, Ade Azhar Ismail atau juga dikenali sebagai Ade apabila dia yang dulunya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kini bangkit menjual nasi lemak di tepi jalan.

“Mulanya memang ada rasa malu nak berdepan adik-beradik, saudara-mara dan kakitangan.

“Tapi, mengenangkan saya pun datang daripada jualan langsung, perasaan malu itu hilang terutama bila ramai kawan dan pemilik perniagaan lain datang beli tanda sokongan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Ade sebelum ini merupakan seorang usahawan serta CEO sebuah syarikat pengedar yang pernah memperolehi pendapatan lima angka selama hampir 16 tahun.

Tak Pernah Kerja Makan Gaji, Mula Jual Nasi Lemak Tepi Jalan Sejak 2 Bulan Lalu

Berkongsi kisah kehidupannya, Ade menjelaskan dia mula menjual nasi lemak tepi jalan sejak lebih dua bulan yang lalu.

Langkah itu diambil selepas syarikat miliknya beroperasi dalam keadaan defisit akibat masalah kewangan yang dihadapi sejak pertengahan tahun 2025.

Malah, Ade pernah berhadapan dengan situasi hanya mempunyai RM33 dalam akaun bank simpanannya.

Titik terendah itulah yang menjadi sebab Ade keluar dari zon selesa dan kembali berniaga di tepi jalan sama seperti waktu ketika dia mula menceburi bidang perniagaan.

“Saya tak pernah bekerja makan gaji kerana sudah berniaga sendiri secara jualan langsung dengan menjual mainan.

“Sejak 2009, saya bergelar CEO syarikat sendiri yang menjadi pengedar pewangi udara, buku cerita, buku kanak-kanak, bacaan ilmiah dan sirah Nabi.

“Saya pernah ada 60 kakitangan sebelum ini, namun hanya 14 yang masih setia kerana yang lain kebanyakannya Gen Z berhenti kerana tidak berminat lagi dalam bidang jualan langsung.

“Ia menyebabkan saya kehilangan pasukan jualan dan ada rakan kongsi yang tidak lagi bersama, jadi ia memberi kesan kepada syarikat,” kongsinya.

Syarikat Masih Ada Namun Tak Pernah Ambil Gaji

Jelas Ade, syarikat tersebut masih ada namun dia memilih untuk tidak mengambil gaji sebaliknya mahu meneruskan perniagaan nasi lemaknya yan terletak di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, itu.

“Sekarang, syarikat dan kakitangan masih ada, tapi saya ambil keputusan tidak mengambil gaji sebaliknya keluar berniaga dengan menjadikan jualan nasi lemak sebagai modul perniagaan yang baharu.

“Hasil jualan itu yang menjadi pendapatan saya dan selebihnya untuk syarikat,” jelasnya.

Keluarga Tak Tahu Kesusahan Yang Dialami, Pilih Jual Nasi Lemak Kerana Nampak Ada Peluang

Tambah Ade yang merupakan bapa kepada seorang anak, keluarga termasuk isterinya tidak mengetahui kesusahan yang dialami.

Ini kerana dia sendiri enggan bercerita namun mereka hanya mengetahuinya pada hari ke-15 jualan.

Jelas Ade lagi, isterinya juga langsung tidak tahu-menahu dengan perniagaan nasi lemaknya itu dek kerana dia mengambil bekalan dari saudara jauh.

Tambahnya, dia memilih untuk menjual nasi lemak kerana melihat peluang dan tidak sangka percubaannya itu berhasil selepas videonya menjadi tular di media sosial.

“Hari pertama saya bawa 30 bungkus dan rasa patah semangat dan macam loser juga waktu nak mulakan pada awalnya.

“Tapi, bila orang datang beli jadi semangat dan bersyukur kerana nasi lemak habis terjual pada hari pertama.

“Sejak itu, saya teruskan dan keuntungan bulan pertama saja mencecah RM9,000. Jadi, saya teruskan dan pada hari ke-53, saya mula merekrut pekerja sehingga dapat buka jualan but kereta di lima lagi kawasan.

“Sekarang, saya dan kakitangan berniaga pada sebelah pagi sampai malam dengan membawa sehingga 1,200 bungkus nasi lemak sehari.

“Waktu jualan ada dua syif iaitu bermula jam 8.30 pagi dan yang kedua daripada jam 5 petang hingga jualan habis,” katanya.

Percaya Dengan Rezeki Allah Meskipun Berdepan Cabaran

Kongsi Ade lagi, sebagai peniaga jalanan, dia sendiri tidak dapat lari dari cabaran seperti perubahan cuaca serta keperluan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Malah, dia turut menganggap ujian yang dihadapinya ini sebagai teguran dari Allah SWT untuk memperbaiki kesilapan lalu.

“Biasalah bila berniaga di tempat terbuka, kena bersedia kerana ada hari hujan cuma saya bersyukur kerana sejak hari pertama sampai hari ke-81 hari ini, jualan tak pernah tak habis.

“Memang penat, tapi seronok dapat berjumpa pelanggan kerana ada yang datang dari jauh.

“Jadi, bagi yang senasib dengan saya, buang rasa malu dan ego. Cari jalan keluar daripada masalah.

“Percayalah, rezeki Allah SWT itu luas dan mulakan dengan pengalaman serta apa yang kita ada.

“Jangan takut untuk mulakan dan insya-Allah, kita dapat bangkit dan bina semula apa yang kita pernah usahakan dulu walaupun daripada bawah,” jelasnya.

Menerusi semakan kami di TikTok Ade mendapati, nasi lemak jualannya itu sememangnya mendapat pujian segelintir warganet yang pernah menikmati hidangan tersebut.

Apa yang menjadi perhatian adalah saiz nasi lemak daun pisangnya itu agak besar sehingga ia boleh dimakan untuk dua orang.

Baca Artikel Berkaitan: Bersyukur Sudah Dapat Rumah, Keluarga Tidur Dalam Kereta 8 Bulan Mohon Henti Sumbangan

Baca Artikel Berkaitan: Peniaga Jual Nasi Lemak 50 Sen Untuk Bangunkan Maahad [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.