Now Reading
Boleh Ke Bawa Kawan Yang Tak Dijemput Datang Bersama Ke Majlis Perkahwinan? Ini Jawapannya

Boleh Ke Bawa Kawan Yang Tak Dijemput Datang Bersama Ke Majlis Perkahwinan? Ini Jawapannya

Menurut laman Jabatan Mufti Selangor, hukum memenuhi jemputan kahwin secara asasnya adalah wajib selagi tiada keuzuran dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Ringkasan
  • Hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput adalah haram dan diibaratkan seperti pencuri yang mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.
  • Membawa individu tidak dijemput dibenarkan dengan syarat mendapat keizinan tuan rumah atau mengiringi jemputan yang biasa tidak hadir bersendirian.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bila sebut tentang majlis keramaian seperti kenduri kahwin atau walimatul urus, kebiasaannya tuan rumah atau pengantin akan menjemput individu sekeluarga sebagai jemputan.

Namun ada juga segelintir yang memilih untuk mengadakan majlis secara sederhana sebagai contoh intimate wedding dengan mengehadkan bilangan jemputan sedia ada.

Kadangkala, ada di antara individu yang dijemput mahu berteman dan membawa rakan atau ahli keluarga yang tidak diundang ke acara berkenaan.

Adakah perbuatan sebegini dibenarkan dalam syarak? Apakah hukum membawa individu yang tidak dijemput oleh tuan rumah?

Hukum Penuhi Jemputan Majlis Perkahwinan Adalah Wajib

Menurut laman Jabatan Mufti Selangor, hukum memenuhi jemputan kahwin secara asasnya adalah wajib selagi tiada keuzuran dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Namun, seseorang itu dimaafkan sekiranya dia tidak dapat hadir atas sebab atau keuzuran tertentu.

Haram Seseorang Datang Majlis Kenduri Tanpa Dijemput & Pengetahuan Tuan Rumah

Pun begitu, laman tersebut menjelaskan haram jika seseorang itu hadir tanpa dijemput dan tanpa pengetahuan serta keredaan tuan rumah.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Abu Mas’ud RA katanya: ‘Seorang lelaki Ansar bernama Abu Syu’aib meminta hambanya menyediakan makanan untuk lima orang kerana beliau ingin menjemput Rasulullah SAW bersama beberapa sahabat.’ Ketika mereka datang memenuhi jemputan tersebut, seorang lelaki lain turut mengikuti mereka, lalu Baginda bersabda;

إِنَّ هَذَا قَدْ تَبِعَنَا فَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَأْذَنَ لَهُ فَأْذَنْ لَهُ وَإِنْ شِئْتَ أَنْ يَرْجِعَ رَجَعَ. فَقَالَ: لَا بَلْ قَدْ أَذِنْتُ لَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya lelaki ini mengikut kami, jika kamu mahu mengizinkannya, maka izinkanlah (untuk ikut bersama) dan jika kamu mahu dia pulang, maka dia akan pulang. Kemudian Abu Syu’aib berkata: Tidak, bahkan saya mengizinkannya. (Riwayat al-Bukhari).

Datang Majlis Tanpa Izin Tuan Rumah Ibarat Pencuri Ambil Hak Orang Lain Tanpa Kebenaran

Jelas laman itu lagi, perbuatan sebegitu juga diibaratkan seperti seorang pencuri yang mengambil hak orang lain.

Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh  Saidina Ibn Umar RA.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى اللهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا

Maksudnya: Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah ingkar kepada Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perampas. (Riwayat Abu Dawud).

Fasiq Jika Melakukan Perkara Sama Berulang Kali

Malah, ulama berpendapat seseorang itu dianggap fasiq sekiranya masih melakukan perbuatan hadir ke majlis tanpa diundang berulang kali.

Imam al-Ramli menyatakan perkara tersebut dalam karyanya Nihāyah al-Muḥtāj bahawa;

وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ حُرْمَةُ التَّطَفُّلِ وَهُوَ الدُّخُولُ لِمَحَلِّ غَيْرِهِ لِتَنَاوُلِ طَعَامِهِ بِغَيْرِ إذْنِهِ وَلَا عُلِمَ رِضَاهُ أَوْ ظَنُّهُ بِقَرِينَةٍ مُعْتَبَرَةٍ بَلْ يَفْسُقُ بِهِ إنْ تَكَرَّرَ عَلَى مَا يَأْتِي فِي الشَّهَادَاتِ لِلْخَبَرِ الْمَشْهُورِ أَنَّهُ يَدْخُلُ سَارِقًا وَيَخْرُجُ مُغِيرًا وَإِنَّمَا لَمْ يَفْسُقْ بِأَوَّلِ مَرَّةٍ لِلشُّبْهَةِ

Maksudnya: Daripada penjelasan yang telah disebut, difahami bahawa perbuatan al-tatafful (menyertai jamuan tanpa diundang) adalah haram kerana seseorang memasuki tempat milik orang lain untuk menikmati makanannya tanpa izin, sedangkan tidak diketahui reda tuan rumah sama ada secara jelas atau berdasarkan sangkaan yang kuat melalui petunjuk yang diiktiraf.

“Bahkan seseorang boleh dianggap fasiq jika perbuatan itu dilakukan berulang kali, sebagaimana akan dibincangkan dalam bab persaksian.

“Hal ini berdasarkan hadis masyhur yang menyatakan bahawa orang tersebut masuk seperti pencuri dan keluar seperti perampas. Namun, seseorang itu tidak dihukum fasiq pada kali pertama kerana masih terdapat unsur syubhah (keraguan),” terangnya.

Ajak Orang Lain Ke Majlis Tanpa Pengetahuan Penganjur Tak Dibenarkan

Jelas laman itu lagi, tindakan mengajak orang lain ke majlis tanpa pengetahuan penganjur adalah tidak dibenarkan dan tidak beradab.

“Perbuatan ini juga dikenali sebagai tatafful. Hukum asal dalam isu ini juga adalah haram sebagaimana yang telah dijelaskan,” tulis mereka.

Boleh Bawa Orang Yang Tak Dijemput Datang Bersama Ke Majlis Tetapi Ada Syarat

Namun jelas laman Jabatan Mufti Selangor, terdapat pengecualian buat seseorang untuk membawa individu yang tidak diundang ke majlis tersebut dengan syarat:

#1 Mengiringi orang yang dijemput

    Sekiranya jemputan itu kebiasaannya diketahui tidak datang bersendirian, maka seseorang yang tidak dijemput itu diharuskan mengikut individu berkenaan.

    Ini kerana jelas laman terbabit, orang yang mengiringi jemputan tersebut secara tidak langsung turut dianggap menerima jemputan.

    Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab Ḥāshiyah al-Dasūqī ‘Alā al-Sharḥ al-Kabīr bahawa;

     وهذا ما لم يكن تابعا لذي قدر يعلم أنه لا يجيء وحده عادة فلا يحرم فيما يظهر

    Maksudnya: Melainkan jika orang yang tidak dijemput itu mengikut orang yang mempunyai kedudukan pada kadar yang diketahui bahawa dia biasanya tidak hadir bersendirian, maka pada zahirnya ia tidak haram.

    #2 Mendapat keizinan tuan rumah

      Tuan rumah perlu dimaklumkan sekiranya seseorang individu yang tidak dijemput mahu menyertai majlis yang dianjurkan.

      “Rasulullah SAW pernah bertanya kepada tuan rumah sama ada dia mengizinkan seorang lelaki yang mengikut rombongan mereka untuk masuk dan tuan rumah mengizinkannya,” jelas laman Jabatan Mufti Selangor.

      Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukum Tak Hadir Jemputan Kenduri Kahwin Sebab Alasan Duduk Jauh? Ini Penjelasan UAI [Video]

      Baca Artikel Berkaitan: Dapat Banyak Jemputan Kahwin Sampai Keliru Nak Pergi Mana Satu? Ini Apa Yang Patut Korang Buat

      Baca Artikel Berkaitan: Dapat Jemputan Kahwin Secara Terbuka Di Facebook Atau WhatsApp, Wajib Datang Atau Tidak?

      View Comments (0)

      Leave a Reply

      © 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.