Now Reading
Masjid Sri Sendayan Diiktiraf Sebagai Masjid Terbaik Dunia Bagi Tahun 2026

Masjid Sri Sendayan Diiktiraf Sebagai Masjid Terbaik Dunia Bagi Tahun 2026

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, anugerah tersebut diberikan berikutan keindahan seni bina Masjid Sri Sendayan yang menggabungkan unsur era Abbasiyah dan Mamluk hasil wakaf daripada tokoh perbankan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Ringkasan
  • Masjid Sri Sendayan in Seremban, Negeri Sembilan telah dinobatkan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year 2026 dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA).
  • Anugerah ini diberikan kerana keindahan seni bina yang menggabungkan unsur era Abbasiyah dan Mamluk, hasil wakaf tokoh perbankan Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
  • Masjid ini diiktiraf bukan sekadar tempat ibadah, malah sebagai pusat komuniti Islam yang aktif dalam program sosioekonomi, pendidikan agama dan teknologi moden.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bila sebut tentang Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan Seremban, Negeri Sembilan pasti sudah terbayang keindahan serta keunikan seni binanya.

Masjid Sri Sendayan Dinobat Sebagai Global Outstanding Mosque of the Year 2026

Baru-baru ini, masjid yang mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah itu telah dinobatkan sebagai Global Outstanding Mosque of the Year 2026 dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) yang dianjurkan oleh Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA.

Pengiktirafan ini sekaligus mengiktiraf kecemerlangan Masjid Sri Sendayan sebagai pusat komuniti Islam yang aktif.

Susulan pencapaian terbabit, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam satu hantaran di Facebook turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pengurusan serta jawatankuasa Masjid Sri Sendayan.

“Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pengurusan dan jawatankuasa Masjid Sri Sendayan di Seremban yang dinobatkan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year 2026’ dalam World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA),” katanya.

Pengiktirafan Diberi Atas Keindahan Seni Bina, Gabungkan Unsur Abbasiyah & Mamluk

Jelas Dr Zulkifli, anugerah tersebut diberikan berikutan keindahan seni bina masjid yang menggabungkan unsur era Abbasiyah dan Mamluk hasil wakaf daripada tokoh perbankan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Malah, ia juga diiktiraf atas keupayaannya yang berperanan sebagai pusat komuniti menyeluruh menerusi pelaksanaan program pemerkasaan sosioekonomi, pendidikan agama dan pendedahan kepada teknologi moden.

Tambah Dr Zulkifli, pencapaian tersebut diharapkan dapat dijadikan pemangkin buat Masjid Sri Sendayan untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Semoga terus cemerlang dalam menabur bakti dan menyebar hikmah, insya-Allah,” katanya.

Masjid Sri Sendayan Lebih Dari Sekadar Tempat Ibadah, Simbol Keharmonian & Kerohanian – Penganjur

Menurut penganjur WITA, Masjid Sri Sendayan bukan hanya sekadar tempat beribadah.

Malah ia juga disifatkan sebagai simbol keharmonian, ihsan dan kerohanian yang mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari dalam mahupun luar negara.

Masjid yang siap dibina pada tahun 2019 itu turut menjadi contoh cemerlang dalam pengurusan masjid moden selain turut memperkukuh peranannya dalam memberi khidmat kepada komuniti, menyuburkan ilmu dan menampilkan keindahan Islam.

“Pengiktirafan ini menegaskan suatu gagasan penting iaitu sebuah masjid boleh kekal teguh berakar pada tujuan sucinya, sambil terus relevan, terbuka dan responsif terhadap komuniti yang dilayaninya,” jelas mereka.

Bukan itu sahaja, Jawatankuasa Penganjur WITA turut mengiktiraf Masjid Sri Sendayan sebagai mercu tanda keimanan, ilmu, keharmonian dan kecemerlangan serta mempunyai peranan penting sebagai duta global bagi nilai-nilai Islam.

Anugerah itu sekaligus mengukuhkan kedudukan masjid berkenaan sebagai salah satu tarikan pelancongan yang berkonsepkan keagamaan serta mesra Muslim di Malaysia.

Foto: Laman Web Masjid Sri Sendayan

Info Tentang Masjid Sri Sendayan

Sekadar info, Masjid Sri Sendayan mula dibina pada tahun 2015 dan secara rasminya dibuka kepada orang ramai pada 20 September 2019.

Masjid yang mampu memuatkan 5,000 jemaah dalam satu masa ini dibina melalui konsep wakaf oleh Abdul Rashid dengan pengendalinya adalah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai pemegang amanah.

Ia merupakan masjid kedua yang diwakafkan oleh Abdul Rashid selepas Masjid Hussain atau juga dikenali sebagai Masjid Putih di Seremban 2.

Antara tarikan utama masjid yang dibina dengan kos melebihi RM100 juta itu adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya berasal dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China.

Foto: Laman Web Masjid Sri Sendayan

Malah, kebanyakan seni bina masjid tersebut ditempah khas termasuklah ukiran kayu pada dinding dewan solat, penggunaan saduran berwarna emas, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.

Foto: Laman Web Masjid Sri Sendayan

Masjid yang di kawasan seluas 4.5 hektar itu turut mempunyai tiga dewan solat iaitu:

  • Dewan solat utama (3,000 jemaah)
  • Dewan solat kedua (800 jemaah)
  • Dewan solat wanita (800 jemaah).

Malah, ia juga dilengkapi dengan kemudahan antaranya seperti:

  • Bilik kuliah
  • Bilik perpustakaan
  • Dewan serba guna
  • Bilik pengurusan jenazah
  • Bangunan pentadbiran
  • Dewan makan
  • Enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid

Dek kerana keindahan seni binanya itu, membuatkan ia menerima pelbagai gelaran dari orang ramai antaranya seperti Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid kerajaan Uthmaniyah.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.