Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Lipas merupakan serangga perosak yang sering datang ke kawasan yang kotor. Oleh itu, kehadirannya di premis makanan boleh memberi mesej berkemungkinan kawasan tersebut tidak bersih.
Malah pengusaha premis makanan juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya haiwan perosak seperti lipas, tikus atau najisnya dikesan berada di kawasan premis.
Tular pelanggan jumpa beberapa ekor lipas dalam bekas makanan letak bahan mentah
Terbaharu, tular satu video di media sosial memaparkan beberapa ekor lipas yang berada dalam bekas daging mentah di sebuah premis makanan di pusat membeli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.
Menerusi video yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, kelihatan beberapa bahan mentah seperti daging, udang, ayam dan sebagainya telah diletakkan dalam bekas berasingan di atas sebuah meja.
Namun apa yang menjadi perhatian apabila kelihatan sekitar enam ekor anak lipas berada dalam satu bekas yang berisi daging mentah.
Minta pelanggan lain periksa dulu makanan sebelum makan
Pengguna berkenaan memaklumkan insiden itu berlaku di MyTown dipercayai pada 25 Ogos yang lalu.
“Kejadian di MyTown semalam. Sumpah trauma! Tengah lapar nampak benda macam ni. Sebelum makan periksa dulu makanan korang ya,” kata pengguna itu.
Video tersebut kemudiannya menjadi tular sehingga turut mendapat respon pantas daripada pihak MyTown.
MyTown buat pemeriksaan di premis dan tindakan sedang diambil
Kata MyTown pihaknya memandang serius berkaitan isu kebersihan dan keselamatan makanan di premis berkenaan.
Oleh itu, sebaik menerima laporan terbabit, kumpulan operasi telah hadir ke lokasi bagi membuat pemeriksaan segera bersama pihak tenant (penyewa) dan tindakan susulan sedang diambil.
“Kami akan terus memantau perkara ini dengan teliti bagi memastikan standard kebersihan sentiasa dipatuhi demi keselesaan dan keselamatan semua pengunjung,” ujarnya.
DBKL arah premis ditutup sementara
Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan premis berkenaan ditutup berkuat kuasa pada 26 Ogos sehingga 9 September 2026.
Menurutnya DBKL menerusi Unit Sanitasi Premis Pejabat Kesihatan Zon 5 Titiwangsa, Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar telah melaksanakan pemeriksaan susulan aduan ini.
“Premis diperintah tutup di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 berkuatkuasa 26 Ogos sehingga 9 September 2026.”
Dalam foto yang turut dikongsikan oleh DBKL kelihatan pihak berkuasa telah memeriksa beberapa barangan di premis tersebut dan terdapat beberapa ekor lipas juga dikesan seperti pada peti ais, dan botol minyak masak.
Sebagai info, premis makanan yang didapati tidak bersih oleh Pegawai Diberi Kuasa akan diperintah tutup sementara selama tidak lebih daripada 14 hari.
Sekiranya premis tidak mematuhi perintah penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, tuan punya premis boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Afifa Syahirah
Writing about lifestyle is a passion that I can't deny. However, trending, current issues, and political views help me to dive into people's mind and behavior. Meanwhile, traveling is a way I enjoy and feed my inner soul to come out with fresh idea and creative writing.