
2 Kali Berdepan Risiko Muflis, Usahawan Ini Berjaya Bangkit Bina Semula Perniagaan Kopi
Kisah pemilik Sprezzatura Coffee, Mirwan mencerminkan bahawa perjalanan membina kehidupan dan perniagaan bukan sentiasa tentang kejayaan yang lurus tanpa halangan.
- Mirwan Badri faced losses of RM350,000 and near-bankruptcy twice, but rebuilt his coffee business through digital platforms and perseverance.
- With BSN Micro-i MADANI financing of RM50,000, Mirwan revived his cafe and expanded into multiple coffee business ventures, including Utan Kopi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Membina perniagaan sendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Ada masa semuanya berjalan lancar, tetapi ketika jatuh, pasti terduduk seketika sebelum mencari kekuatan untuk bangun semula.
Perkara sama turut dilalui usahawan dan pengusaha kafe, Mirwan Badri Ahmad Badri apabila perjalanan dalam perniagaan kopi bukan sahaja menyaksikan beliau menanggung kerugian besar, malah dua kali hampir berdepan risiko muflis.
Namun setiap kegagalan mendorongnya mencari jalan baharu sehingga berjaya membina semula perniagaan yang kini merangkumi kafe, perdagangan kopi mentah dan platform dalam talian.

Mula minat dunia kopi ketika kerja di Maybank London
Minat Mirwan terhadap kopi sebenarnya bermula ketika beliau sudah berada dalam bidang perbankan usai menamatkan pengajian Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal.
Di sebalik kerjaya korporat tersebut, minat terhadap industri makanan mula bercambah apabila Mirwan yang berkhidmat di Maybank United Kingdom (UK) cawangan London, mengambil peluang bekerja sambilan di kedai sandwich Pret A Manger pada hujung minggu.
Di sana Mirwan bermula di bahagian dapur sebelum akhirnya mendalami dunia kopi malah pernah ke Jerman untuk mempelajari proses memanggang kopi.
Selepas pulang ke Malaysia pada 2012, Mirwan menyambung semula kerjaya dalam sektor perbankan di Kuala Lumpur.
Namun, pada usia 27 tahun, beliau akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya tersebut dan membina perniagaan sendiri.
Dari perbankan ke dunia kopi
Pada 2013, Mirwan memulakan perniagaan kopi dengan operasi yang menggabungkan kafe dan kilang kopi bagi membekalkan biji kopi kepada perniagaan lain.
Bermodalkan pelan perniagaan serta pelaburan awal, beliau mula membina perniagaan yang kemudiannya dikenali sebagai Sprezzatura Coffee.

Pada peringkat awal, fokusnya bukan sekadar membuka sebuah kafe, tetapi turut membina operasi yang membolehkan beliau memanggang dan membekalkan kopi kepada perniagaan lain.
Bagaimanapun, beberapa tahun selepas memulakan perniagaan, Mirwan berdepan satu daripada ujian paling besar dalam perjalanan sebagai usahawan.
Rugi RM350,000, hampir muflis
Pada 2019, sebuah outlet baharunya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terpaksa ditutup selepas hanya enam bulan beroperasi. Kegagalan outlet tersebut menyebabkan kerugian sekitar RM350,000.

Kesan itu turut dirasai pada operasi perniagaannya apabila jumlah pekerja terpaksa dikurangkan daripada 17 orang kepada hanya tiga orang.
Perniagaan bekalan kopi juga terjejas selepas beberapa pelanggan utama hilang.
Keadaan tersebut menyebabkan Mirwan hampir berdepan risiko muflis.
Namun, ketika berdepan situasi itu, beliau mula melihat ke arah pendekatan yang berbeza untuk memastikan perniagaan terus bertahan iaitu menerusi dunia digital.
Mula belajar dunia digital ketika PKP
Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Mirwan mengambil peluang untuk memanfaatkan platform digital.
Beliau pada waktu itu baru sahaja belajar membina laman sesawang sendiri dan mula menjual biji kopi mentah secara dalam talian.
Malah, beberapa kemahiran digital seperti pemasaran dalam talian, Google Ads dan Google Analytics turut dipelajari secara kendiri.
Daripada usaha tersebut, beliau kemudiannya membangunkan Buna Market, sebuah platform dalam talian yang memfokuskan penjualan produk kopi.
Platform berkenaan bermula dengan pelaburan sekitar RM120 dan mencatatkan nilai jualan RM4 juta dalam tempoh dua tahun.
Siapa sangka, apa yang bermula sebagai usaha untuk mencari jalan keluar ketika perniagaan berdepan kesukaran akhirnya membuka satu lagi cabang perniagaan buat Mirwan.
Belum cukup dengan sekali, diuji lagi
Namun pandemik turut menyaksikan operasi kafe secara fizikal terjejas apabila pelanggan tidak lagi dapat hadir seperti biasa, sekali gus memberi tekanan kepada kedudukan kewangan perniagaan.
Dalam keadaan tersebut, Mirwan terpaksa mengambil beberapa langkah untuk memastikan perniagaan terus berjalan, termasuk menjual barangan yang tidak lagi digunakan.
Situasi getir itu menyebabkan beliau sekali lagi berdepan risiko bankrap.
Namun selepas pandemik mereda, trafik ke platform digital pula menurun apabila masyarakat sudah mula keluar secara fizikal.
Dapatkan pembiayaan BSN Micro-i MADANI untuk hidupkan semula operasi kafe
Beliau kemudiannya mendapatkan pembiayaan BSN Micro-i MADANI sebanyak RM50,000 bagi membantu menstruktur semula operasi kafe, termasuk membeli perabot baharu, menaik taraf mesin sedia ada, pembelian stok dan sebagainya.
Pengalaman melalui dua fasa genting itu akhirnya mengubah cara Mirwan melihat perjalanan perniagaan.
Daripada bergantung kepada satu bentuk operasi, beliau mula membina beberapa cabang perniagaan yang saling berkait dalam industri kopi.
Mahu angkat kopi tempatan
Selain Sprezzatura Coffee, Mirwan kini turut mengusahakan Coffee Marketplace yang memberi fokus kepada perdagangan kopi mentah menerusi jenama CMP.
Beliau juga turut mengusahakan Utan Kopi, jenama kopi premium yang mengetengahkan hasil tanaman kopi tempatan.

Menerusi Utan Kopi, Mirwan membawa aspirasi untuk menyokong perkembangan industri kopi Malaysia dengan mengetengahkan kopi yang ditanam di negara ini.
Usaha tersebut turut melibatkan kerjasama bersama penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre.
Malah beliau juga sudah merancang untuk bekerjasama dengan petani kopi di seluruh negara termasuk di Sarawak, Kedah dan Kelantan.
Daripada seorang yang meninggalkan kerjaya perbankan untuk mengejar minat dalam dunia kopi, Mirwan kini bukan sahaja membina semula perniagaannya, malah melihat peluang untuk menyumbang kepada perkembangan industri kopi tempatan yang pada hematnya berpotensi besar untuk dipasarkan.
‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’
Kisah Mirwan merupakan antara 69 kisah usahawan mikro yang diketengahkan menerusi kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Kempen tersebut mengangkat kisah rakyat Malaysia yang terus berusaha, menyumbang dan mencipta perubahan dalam komuniti masing-masing.
Melalui kempen ini, BSN mengetengahkan 69 usahawan mikro dari 13 negeri di seluruh Malaysia, khususnya dalam sektor makanan dan minuman seperti kafe, restoran dan peniaga makanan.

Kisah Mirwan mencerminkan mesej yang dibawa kempen tersebut, bahawa perjalanan membina kehidupan dan perniagaan bukan sentiasa tentang kejayaan yang lurus tanpa halangan.
Ada masa seseorang perlu berdepan kegagalan, kerugian dan hampir kehilangan segala-galanya sebelum menemui jalan untuk bangkit semula.
Bagi Mirwan, perjalanan daripada perbankan korporat kepada dunia kopi, kemudian berdepan kerugian RM350,000 dan dua kali hampir bankrap, akhirnya membawa beliau kepada satu bentuk perniagaan yang lebih pelbagai.
Dan hari ini, langkahnya bukan lagi sekadar untuk memastikan perniagaan terus bertahan, tetapi juga untuk mengetengahkan kopi yang ditanam di Malaysia.
Kerana dalam dunia perniagaan, jatuh mungkin membuatkan kita terduduk seketika. Tetapi bagaimana kita memilih untuk bangun semula itulah yang menentukan cerita seterusnya.
The name is Ahmed Faez Amir. I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters . Outside of work, I enjoy working with audio, composing music, reading, and camping whenever I get the chance.






