Riena Lum Kongsi Bahaya Jika Dedahkan Nombor Kes Mahkamah Di Media Sosial [Video]
Menurut Riena Lum, tidak kiralah apa sekalipun yang berlaku individu dinasihatkan jangan sesekali menyebarkan nombor kes di media sosial kerana ia boleh memberi akses untuk orang awam mencari informasi peribadi, privasi dan juga keluarga.
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sesuatu kes yang difailkan ke mahkamah adalah bertujuan agar perkara itu diadili secara baik dan teliti termasuklah hal berkaitan kes cerai dan perkahwinan.
Oleh itu, segala-gala fakta dalam kes berkenaan termasuk maklumat peribadi adalah privasi dan tidak boleh didedahkan sewenang-wenang.
Riena Lum kongsi kenapa bahaya dedahkan nombor kes mahkamah di media sosial
Terbaharu bekas peguam yang juga influencer, Riena Lum telah berkongsi bahaya apabila seseorang itu mendedahkan nombor kes mahkamah di media sosial atau kepada khalayak.
Riena menjelaskan perkara itu selepas tular kes di media sosial apabila orang ramai dapat membaca mengenai fakta kes dipercayai membabitkan influencer selepas ada pihak secara tidak sengaja telah mendedahkan nombor kes mahkamah.
Orang ramai boleh cari informasi mengenai kes dan ia sangat terperinci
“Ini adalah berdasarkan kes yang tular baru-baru ini, di mana awak ada kes penceraian. Lepas tu tengah bergaduh, bergolak dekat mahkamah kemudian awak post (buat hantaran) walaupun awak tak berniat tapi awak pos awak punya nombor kes.
“Ramai orang tak sedar yang jika orang awam dapat nombor kes awak mereka boleh cari informasi mengenai kes tersebut dan informasi itu begitu terperinci,” jelas Riena.
Orang ramai juga boleh melihat bukti dan rayuan berkaitan kes
Katanya lagi, informasi yang terperinci itu termasuklah seperti rayuan dan bahan bukti boleh dicari oleh orang awam dalam portal khas mahkamah iaitu e-Kehakiman untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kes.
“Walaupun mempunyai banyak informasi ia masih terhad dalam kes yang sensitif macam penceraian dan perkahwinan. Tapi kalau awak mempunyai nombor kes itu, terdapat banyak informasi yang boleh diakses.”
Maklumat peribadi boleh disalahguna oleh orang tak bertanggungjawab
Menurut Riena lagi, segala informasi itu juga boleh disalahgunakan terhadap diri anda sendiri.
“Jadi kalau awak bukan parti/pihak yang suci murni, tolonglah jangan buat kerja macam ni sebab nanti benda tu akan backfire dan saya rasa dalam kes ini itulah yang berlaku dan itu belum termasuk informasi peribadi, privasi, dan keluarga.
“Jadi kalau boleh kalau benda macam ni, tidak kira apa yang awak rasa terhadap pihak satu lagi cuba untuk simpan secara peribadi sebaiknya, jangan sebarkan dekat media sosial khususnya bagi informasi sensitif macam ni,” katanya lagi.
Mahu orang ramai lebih peka dan jangan sebarkan nombor kes di media sosial
Malah kata bekas peguam itu, dia berkongsi informasi itu kerana kasihan kepada anak-anak dalam kes penceraian. Ia disebabkan perincian seperti ini akan menjadi tatapan umum.
Dia turut menyifatkan ia mungkin mudah untuk diadaptasi oleh golongan dewasa tetapi sukar pada kanak-kanak.
Di ruangan komen, Riena memaklumkan dia berkongsi informasi itu untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai serta peka mengenai kepentingan hal tersebut.
Sebelum ini, tular dokumen-dokumen yang menjadi bahan bukti mahkamah selepas seorang influencer yang pernah tersenarai sebagi Top 100 Cef Piza Terbaik Dunia tanpa sengaja telah mendedahkan nombor kes mahkamah dalam satu hantaran di Instagram Story miliknya.
Hantaran itu bagaimanapun telah disimpan oleh orang awam sehingga ada yang mengakses dokumen mahkamah berkenaan menerusi paparan nombor kes pada hantaran itu.
“Patutlah terperinci betul orang bongkarkan. Ingatkan orang dapat dari mana. Tapi empunya kes yang reveal.”
“Banyak betul perkara peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan, nama penuh, alamat dan lain-lain dalam info tu.”
“Setuju, habis semua alamat dan lain-lain maklumat ada. Sangat berbahaya kalau ada orang niat tak baik dengan info-info yang ada”
Writing about lifestyle is a passion that I can't deny. However, trending, current issues, and political views help me to dive into people's mind and behavior. Meanwhile, traveling is a way I enjoy and feed my inner soul to come out with fresh idea and creative writing.