fbpx

“Aya Pinjaman Terindah Allah SWT” – 11 tahun Menanti, Lelaki Reda Anak Berusia 4 Bulan Pergi Selamanya

Bapa yang dikenali sebagai Hafizul Hakim turut berkongsi momen terakhir dia dan isteri bersama anaknya bongsunya itu meskipun si kecil itu tidak sedarkan diri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pemergian insan tersayang merupakan antara perkara paling menyedihkan dalam kehidupan seseorang.

Apatah lagi, jika insan itu merupakan seseorang yang sememangnya telah lama ditunggu contohnya seperti suami isteri yang menanti cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.

Itulah yang dialami oleh seorang bapa apabila anak perempuan yang ditunggu selama 11 tahun meninggal dunia setelah hanya empat bulan bersama.

Lelaki Reda Pemergian Anak Berusia 4 Bulan

Kongsi bapa yang dikenali sebagai Hafizul Hakim, anak bongsunya, Ayasofya Haninda Haura menghembuskan nafas terakhir pada usia empat bulan setelah melalui tempoh 72 jam yang sangat kritikal di unit rawatan rapi kanak-kanak (PAED ICU).

“Hari ini (12 Mei), daddy sendiri menurunkan Ayasofya ke tempat peristirahatan terakhirnya.

“Beratnya tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Anak kecil yang kami tunggu selama 11 tahun, kini kembali kepada Pencipta-Nya.

“Kami percaya, Aya hanyalah pinjaman terindah daripada Allah SWT. Hari ini, dengan penuh cinta dan reda, kami pulangkan dia kembali kepada-Nya,” tulis Hafizul.

Turut Kongsi Saat Terakhir Bersama Cahaya Mata Tersayang

Menerusi hantaran tersebut, Hafizul turut berkongsi momen terakhir dia dan isteri bersama si kecil itu meskipun anak bongsunya itu tidak sedarkan diri.

“Malam tadi (11 Mei) pengakhiran Ayasofya dalam dakapan ibunya dengan penuh kasih sayang, dikelilingi ketiga-tiga abang. Detik-detik akhir kami sama-sama membaca al-quran, berzikir, bergurau dan bermain dengannya sehingga nafas terakhir.

“Walaupun Aya tak sedar, kami anggap seperti bermain dengan kami seperti kebiasaan. Membayangkan respon dan senyum tawanya sebelum ini.

“Setiap detik melihat denyutan jantung Aya semakin menurun dan kadar oksigennya semakin jatuh adalah saat yang sangat menghancurkan hati kami berlima. Namun kami tetap berada di sisinya hingga ke nafas terakhirnya, memegangnya dengan penuh kasih sayang dan doa,” tulisnya lagi.

Zahir Penghargaan Buat Mereka Yang Mendoakan

Pada masa yang sama, Hafizul turut menzahirkan ucapan terima kasih buat keluarga serta rakan rapat yang memberi sokongan terhadap mereka sekeluarga dalam waktu getir ini.

“Terima kasih atas segala doa, kasih sayang dan sokongan yang diberikan kepada Aya dan keluarga kami sepanjang waktu yang sangat berat ini.

“Doakan agar Ayasofya ditempatkan dalam kalangan anak-anak syurga dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kami sekeluarga untuk melalui kehilangan ini,” tulisnya lagi.

Anak Aktif Seperti Biasa, Tiba-Tiba Tidak Sedarkan Diri

Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh isteri Hafizul di Facebook, anak bongsunya itu aktif seperti biasa.

Namun, segalanya berubah selepas si comel itu tidak sedarkan diri kira-kira jam 3 petang Jumaat (8 Mei) lalu.

“Tak ada demam, tak sakit, dan dia aktif seperti biasa. Namun sekitar jam 3 petang hari Jumaat. Ayasofya tiba-tiba tidak sedarkan diri,” tulis wanita itu.

Warganet Turut Bersedih Dengan Pemergian Ayasofya

Perkongsian tersebut nyata mendapat perhatian pengguna media sosial. Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut bersedih dengan pemergian bayi comel itu.

Malah, ada yang menitip kata-kata semangat buat Hafizul dan isterinya agar terus kuat dan tabah menghadapi ujian sebegini.

Ini antara komen pengguna Facebook:

“Semoga Rohnya Dicucuri Rahmat Allah SWT & Ditempatkan Bersama Orang Beriman & Beramal Soleh”

“Salam Takziah, Semoga Tabah Menghadapi Dugaan Ini”

“Salam Takziah Tuan & Keluarga Di Atas Pemergian Anak. Semoga Tuan & Isteri Tabah Dalam Menghadapi Ujian Ini”

Baca Artikel Berkaitan: “Terima Kasih Allah Atas Pinjaman” – 11 Tahun Penantian, Lelaki Reda 2 Bayi Kembar Meninggal Dunia [Video]

Baca Artikel Berkaitan: 3 Kali Berpantang Tanpa Bayi, Wanita Kekal Tabah Diduga Dengan Kehilangan Anak

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.