Masih Ada Yang Tak Tahu! Ini Perbezaan Kolostrum, Foremilk & Hindmilk Dalam Susu Ibu
Memetik laman Hello Doktor, susu ibu mempunyai dua fasa iaitu kolostrum dan susu matang yang terdiri daripada foremilk dan hindmilk.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bagi kebanyakan orang, ramai yang ingat susu ibu hanyalah sekadar susu badan semata-mata.
Jangan tidak tahu, susu ibu mempunyai fasa dan kandungan berbeza yang pastinya mempunyai kebaikan buat bayi.
Tahukah anda, ia sebenarnya mempunyai dua fasa iaitu kolostrum dan susu matang yang terdiri daripada foremilk dan hindmilk.
Apa perbezaan kesemua ini? Jom kami terangkan dengan terperinci.
#1 Kolostrum- Susu Awal Terhasil Ketika Kehamilan & Keluar Beberapa Hari Selepas Kelahiran Bayi
Kolostrum merupakan susu ibu yang terhasil ketika fasa kehamilan dan keluar sehingga tiga atau empat hari selepas kelahiran bayi.
Kebiasaannya, tekstur susu di fasa ini agak pekat dan berwarna kekuningan namun ia mempunyai kebaikannya tersendiri.
Meskipun jumlah kolostrum yang terhasil sedikit, ia amat sesuai dengan perut bayi yang masih kecil.
Apa Kebaikan Kolostrum?
Memetik laman Hello Doktor, bukan hanya sekadar membekalkan nutrien kepada si manja tetapi kolostrum membantu meningkatkan sistem imun dalam badan bayi sekaligus melindungi baby dari agen berbahaya.
Malah, ia juga berfungsi sebagai vaksin semula jadi yang mengandungi banyak agen antibodi.
Menariknya, kandungan antibodi dalam kolostrum 100 kali lebih banyak berbanding antibodi yang terdapat dalam susu badan biasa.
Kolostrum juga membantu melindungi saluran pencernaan bayi dengan menghalang bendasing dari memasuki serta membuatkan si comel lebih peka dengan makanan yang pernah dimakan oleh ibunya.

#2 Fasa Susu Matang – Foremilk
Setelah habisnya fasa kolostrum, susu ibu kini memasuki fasa matang di mana pada peringkat ini ia terdiri daripada foremilk dan hindmilk.
Foremilk merupakan susu yang keluar pada awal proses penyusuan bayi. Ia biasanya lebih cair dan mengandungi banyak air serta laktosa.
Menurut kaunselor penyusuan, Nad Masrom, foremilk kebiasaannya akan dikeluarkan sekitar lapan sehingga 10 minit bergantung kepada ibu itu sendiri.
Malah jelasnya, ketika cuaca sedang panas, kandungan foremilk si ibu lebih banyak. Ini kerana kandungan air yang tinggi dapat mengelakkan bayi daripada dehidrasi.
Meskipun nampak cair namun ia memberi kebaikan buat bayi dari segi tenaga, perkembangan otak malah menghilangkan dahaga si comel anda.
#3 Hindmilk
Hindmilk pula merupakan susu akhir yang dikeluarkan ketika sesi penyusuan yang sama.
Diringkaskan, bagi setiap penyusuan, foremilik akan keluar terlebih dahulu sebelum diikuti susu hindmilk.
Hindmilk lebih pekat dan berwarna kekuningan berbanding foremilk. Susu di fasa ini kaya dengan serat, kalori dan lemak yang tinggi yang berfungsi memberikan tenaga kepada bayi, membantu tumbesaran sekaligus membuat si manja lebih kenyang.

Antara Foremilk & Hindmilk Mana Lagi Penting?
Jadi, mana lebih penting? Foremilk atau hindmilk? Nak beri payudara kanan atau kiri terlebih dahulu?
Yelah, ada segelintir orang kata susu dari payudara kanan adalah kanji yang boleh kenyangkan bayi manakala payudara kiri adalah air buat si manja.
Persoalannya betul ke?
Sebenarnya kandungan susu di kedua-dua belah payudara adalah sama sahaja dan mempunyai manfaat tersendiri buat bayi.
Bila sebut tentang foremilk dan hindmilk pula kedua-dua sebenarnya penting untuk perkembangan si manja anda.
Sifat foremilk yang lebih cair membantu hilangkan dahaga bayi, jadi ibu bapa tak perlu beri si manja air masak.
Hindmilk pula membantu dalam tumbesaran dan membuat bayi rasa lebih kenyang disebabkan kandungan lemak penting yang terkandung dalam susu tersebut.
Dimudahkan:
- Foremilk = air
- Hindmilk = makanan
Macam Mana Nak Pastikan Bayi Dapat Kedua-Duanya?
Jadi, bagaimana nak pastikan si comel anda mendapatkan kedua-dua susu ini?
Jelas laman Hello Doktor, pastikan bayi anda menyusu sehingga payudara berasa ringan dan kosong (tidak penuh) agar dia mendapat manfaat yang secukupnya.
Perkara yang sama turut dijelaskan Nad Masrom yang menjelaskan pentingnya si ibu membiarkan bayi menyusu sepenuhnya kepada satu payudara sebelum beralih ke payudara lain agar si manja mendapat foremilk dan hindmilk.
Sarannya dalam video berkenaan, si ibu perlu menyusu sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit untuk setiap payudara untuk memastikan bayi mendapat kedua-dua komposisi tersebut namun ia bergantung kepada bayi itu sendiri.

Apa Kesannya Kalau Bayi Tak Dapat Hindmilk Yang Mencukupi?
Terang laman Hello Doktor, sekiranya bayi tidak mendapat hindmilk yang mencukupi, si manja anda berisiko mendapat kesan ini:
- Najis berwarna hijau dan sedikit keras
- Bayi alami perut kembung
- Terdapat darah pada najis bayi
- Kerap muntah
- Alami ruam lampin
- Kerap menangis seolah-olah tidak dapat susu yang mencukupi.
Jadi pastikan bayi menyusu hingga mereka kenyang dan pastikan payudara menjadi ringan sebelum beralih penyususan ke sebelah lagi.
Selain itu, tiada istilah buah dada kanan lebih baik berbanding yang kiri. Ini kedua-duanya menghasilkan susu badan sama dan penting untuk tumbesaran bayi.
@nadmasrom Nak susu pekat? Sebelum tu jom kenali apa itu Foremilk dan hindmilk. Foremilk dan hindmilk adalah dua jenis susu ibu yang dihasilkan dalam satu sesi penyusuan, tetapi berbeza dari segi kandungan dan fungsi: 1. Foremilk ➡️ Susu yang keluar pada awal sesi penyusuan. ➡️ Lebih cair dan tinggi kandungan air serta laktosa. ➡️ Berfungsi untuk menghilangkan dahaga bayi dan memberikan tenaga segera. 1. Hindmilk ➡️ Susu yang keluar pada penghujung sesi penyusuan. ➡️ Lebih pekat dan tinggi kandungan lemak. ➡️ Penting untuk memenuhi keperluan kalori bayi dan membantu pertumbuhan serta perkembangan. ✅ Penting untuk ibu membiarkan bayi menyusu sepenuhnya pada satu payudara sebelum beralih ke payudara lain agar bayi mendapat foremilk dan hindmilk. ❓Nak susu pekat? ✅ Menyusu atau pam susu lebih dari 10 minit dan dekatkan jarak penyusuan. Ibu akan lihat walaupun jumlah susu yang dapat sedikit, tapi pekat (tinggi hindmilk). 📍Nak belajar lagi banyak ilmu penyusuan susu ibu? Jom join Seminar Mega Penyusuan yang akan diadakan pada 22 Disember 2024. Info seminar di komen 👇🏻 Nad Masrom Kaunselor Laktasi #nadbreastfeedinginfo #learnontiktok #kelaspenyusuan #seminarmegapenyusuan
♬ 可爱小公主 – Lovely Little Princess – 黄川
Tonton video [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Buat Ibu Untuk Banyakkan Susu Badan
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Perjelas Dua Hormon Dalam Susu Ibu Yang Dihasilkan Pada Belah Siang & Malam [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ingatkan EBM Tumbuh Kulat, Rupa-rupanya Ini Penyebab Ada Tompok Putih Pada Susu Beku
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.



