Demi Sara Keluarga, Lelaki Buat 3 Kerja Termasuk Berniaga Jual Burger
Meskipun terpaksa mengorbankan masa tidur, namun Amirul mendapat pendapatan yang berbaloi sekitar RM7,000-RM8,000 hasil daripada kerja yang dilakukannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan apabila sudah berkeluarga, matlamat kehidupan tidak lagi untuk diri sendiri. Sebaliknya setiap perkara yang dilakukan adalah untuk menyara keluarga dan memastikan mereka hidup dalam keadaan selesa.
Perkara sama turut dilakukan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Amirul Jazmie yang berusia 28 tahun apabila sanggup melakukan tiga pekerjaan demi menyara keluarganya.
Buat 3 kerja untuk sara keluarga
Bahkan pada Amirul tiada istilah penat buatnya apatah lagi ketika ini dia sedang membuat persiapan menyambut cahaya mata pertama yang dijangka bakal lahir hujung Mei ini.
Untuk menyara keluarga Amirul melakukan tiga pekerjaan iaitu menjadi seorang eksekutif operasi, peniaga burger dan juga kru katering.
Pekerjaan ini dilakukan oleh Amirul sejak enam tahun yang lalu sebaik dia berkahwin dengan isteri, Nur Safina Fahidah Mohd Sanusi yang berusia 28 tahun.
Awalnya jadi tukang cuci, lepas 2 tahun naik pangkat jadi eksekutif operasi
Amirul mempunyai kelulusan dalam bidang Diploma Teknologi Kimpalan, namun dia sanggup bekerja sebagai tukang cuci di sebuah institut kemahiran.
Namun selepas dua tahun bekerja serta dengan kelulusan yang dimiliki, Amirul kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi eksekutif operasi di institut berkenaan.
Amirul menjadi eksekutif operasi pada siang hari manakala di sebelah malam pula dia membuka perniagaan dengan menjual burger.
Perniagaan tersebut turut dibantu oleh isteri tercinta yang kini sedang sarat hamil.
Pada hujung minggu pula, Amirul akan bekerja dengan mengambil upah menjadi kru kateri di majlis-majlis seperti perkahwinan serta acara keramaian.
“Saya buat lebih satu kerja kerana tengok kawan dan orang lain boleh berjaya dengan melakukannya jadi mengapa tidak saya ikut jejak langkah mereka.
“Waktu jadi tukang cuci, memang ada orang yang perlekehkan dan tanya sampai bila nak buat kerja itu.
“Selepas dua tahun, saya berunding dengan jabatan sumber manusia (HR) dan rezeki berpihak kepada saya apabila ditawarkan menjadi eksekutif operasi,” jelasnya, dipetik Harian Metro.
Tiada masalah pengurusan masa, korbankan masa tidur & dapat gaji RM7,000- RM8,000 sebulan hasil buat 3 kerja
Akui letih dengan pekerjaan yang dilakukan namun bagi Amirul dia menggalas tanggungjawab yang berat sebagai ketua keluarga bahkan perkara itu membuatkan dia bertahan dengan membuat tiga pekerjaan.
Mengenai isu pengurusan masa, Amirul merasakan dia tidak mempunyai sebarang masalah dan kerjanya masih tersusun selain tidak terganggu antara satu sama lain.
“Rutin harian saya, bangun jam 6.30 pagi untuk bersiap pergi kerja yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
“Dalam jam 6 petang, saya akan tiba di rumah dan terus bersiap untuk buka gerai jam hingga 12 tengah malam atau paling lewat satu pagi.
“Hujung minggu pula ambil upah sebagai kru katering dengan dibayar mengikut hari dan begitulah rutin saya sejak enam tahun lalu.
“Kena korbankan masa tidur tapi pendapatan berbaloi kerana boleh dapat antara RM7,000 hingga RM8,000 sebulan.”
Ikut jejak langkah bapa berniaga burger
Kata Amirul sewaktu menyatakan hasrat ingin membuka gerai burger awalnya keluarga tidak yakin.
Namun hasil dorongan isteri serta sahabat yang meminjamkan wang untuk Amirul jadikan sebagai modal Amirul nekad untuk menjalankan perniagaan tersebut.
Menurut Amirul, dia juga dibesarkan oleh ayah, Anuar Mahmud, 56, dengan menjual burger.
“Saya redah saja dan tebalkan muka pinjam dengan kawan… syukur mereka tolong malah datang beri sokongan dengan jadi pelanggan saya.
“Ikutkan, saya dengan adik beradik dibesarkan ayah (Anuar Mahmud, 56) dengan hasil berniaga burger dan dulu, saya malu kerana anggap keluarga miskin, tak macam orang lain.
“Tapi ditakdirkan, saya kini mengikut jejak langkah ayah dan sudah mula berniaga sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
“Cuma waktu itu saya menjual dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal… awalnya kecil-kecilan cuma baru tiga tahun ini dapat buka gerai,” ujar Amirul lagi.
Buka gerai burger di Karak, ada pelanggan yang datang daripada live TikTok
Menurut pemuda tersebut selagi mempunyai kudrat, dia akan meneruskan usaha yang sedang dilakukan sekarang serta bersyukur dengan sambutan yang diterima dari orang ramai.
Amirul yang menjalankan perniagaan gerai burger di Karak, Pahang itu mengatakan adakalanya dia turut membuat siarat langsung di TikTok dan ada segelintir pelangga yang datang sebaik melihat siarannya di platform terbabit.
“Jadi akan teruskan dan jika ada rezeki, saya nak buka kedai burger dan tambah lagi menu.
“Saya buat semua ini untuk anak dengan isteri selain berkongsi rezeki dengan keluarga juga menyambung legasi ayah yang sudah berstatus orang kurang upaya (OKU) selepas terbabit dalam kemalangan.”
Menerusi semakan kami, Amirul juga kerap memuat naik konten mengenai gerai burgernya di TikTok.
Ada ketika dia turut memberikan promosi kepada orang ramai seperti pelajar dan sebagainya.
Apa yang lebih menarik perhatian, Amirul juga menjual burger pada harga yang murah serendah RM2 sahaja.

@majazmie PROMO UNTUK STUDENT 18/4/2026
♬ Funny video “Carmen Prelude” Arranging weakness(836530) – yo suzuki(akisai)
Writing about lifestyle is a passion that I can't deny. However, trending, current issues, and political views help me to dive into people's mind and behavior. Meanwhile, traveling is a way I enjoy and feed my inner soul to come out with fresh idea and creative writing.



