fbpx
Now Reading
Biasanya Didominasi Kaum Hawa, Lelaki Tak Kekok Jadikan Pengasuh Kanak-Kanak Sebagai Kerjaya

Biasanya Didominasi Kaum Hawa, Lelaki Tak Kekok Jadikan Pengasuh Kanak-Kanak Sebagai Kerjaya

Jelas Muhammad Shukur yang kini sudah 15 tahun bergelar pengasuh, dia sendiri sama sekali tidak menyangka akan terjebak dalam bidang asuhan dan didikan kanak-kanak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bila sebut tentang pengasuh atau babysitter, lazimnya ia amat sinonim dan didominasi oleh golongan wanita.

Ini kerana sifat wanita yang lemah lembut dan penyayang menyebabkan pekerjaan ini seringkali dikaitkan dengan penjagaan atau asuhan kanak-kanak.

Namun jangan tidak tahu, ada lelaki yang telah mula menceburi bidang ini dan menjadi pengasuh sebagai kerjaya utama.

Lelaki Berpengalaman 15 Tahun Jadikan Kerjaya Pengasuh Sebagai Sumber Pendapatan

Siapa sangka, kerjaya yang sinonim dengan kaum Hawa menjadi sumber pendapatan buat lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Shukur Rosani.

Jelas Muhammad Shukur yang kini sudah 15 tahun bergelar pengasuh, dia sendiri sama sekali tidak menyangka akan terjebak dalam bidang tersebut.

Namun, minat dan kepuasan membuatkan Muhammad Shukur yang berusia 37 tahun dan merupakan graduan Diploma Muzik (Pengurusan Pentas) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) masih bertahan sehingga kini.

Asalnya Kerja Di Taman Tema Pendidikan Kanak-Kanak Sebelum Di Taska

Kongsi Muhammad Shukur yang juga mesra dikenali sebagai Uncle Shukur dalam kalangan anak asuhannya, dia pada mulanya terlibat secara bebas dalam penganjuran acara selepas tamat pengajian.

Malah, dia juga pernah bekerja selama setahun di sebuah taman tema pendidikan yang khusus untuk kanak-kanak.

“Kemudian, ada seorang kawan memperkenalkan saya kepada pihak pengurusan sebuah taska jadi cuba mohon kerja di situ dan diterima.

“Itulah permulaannya dan sebenarnya, saya ada pengalaman bantu emak dengan ayah menjaga anak saudara waktu masih belajar dulu.

“Jadi, pengalaman itu memang membantu dan tak ada masalah kerana saya memang suka melayan juga menjaga budak-budak.

“Cuma tak sangka boleh jadi pengasuh dan ada karakter cikgu yang disukai budak-budak malah teruja apabila pengetua beri tanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur setahun enam bulan hingga tiga tahun ketika mula bertugas,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah bapa kepada dua orang anak itu, dia kini ditugaskan mengasuh serta mengajar 30 kanak-kanak dengan rutin kerja bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang.

Akui Gementar Jaga Anak Orang, Selit Elemen Muzik Tarik Minat Si Cilik

Jelasnya lagi, dia mengakui gementar dan perasaan itu masih dirasainya sehingga kini.

Ini kerana bagi Muhammad Shukur, menjaga anak asuhan yang bukan darah daging sendiri bukanlah mudah namun pengalaman banyak mengajar dan membantunya untuk bersedia.

“Cabaran awal pula daripada segi penerimaan dan kepercayaan ibu bapa kerana biasanya mereka hantar kepada pengasuh wanita.

“Jadi bila dapat tahu saya lelaki, ada ibu bapa yang berat nak terima hingga satu masa, mereka maklumkan kepada pengurusan minta saya jangan sentuh anak perempuan mereka.

“Ambil masa setahun juga nak diterima tapi disebabkan anak mereka bercerita yang baik mengenai saya selepas pulang ke rumah, ibu bapa mula percaya.

“Pendekatan saya adalah menggunakan ilmu waktu belajar di ASWARA dulu dengan menyelitkan elemen muzik iaitu bermain gitar ukulele bagi menarik minat anak asuhan sampai ada (anak asuhan) panggil saya uncle ukulele,” ujarnya.

Tiada Yang Persoal Kerjaya Sebagai Babysitter, Isteri Beri Idea Jadi Pengasuh Persendirian

Jelasnya lagi, tiada siapa yang mempersoalkan pilihannya bekerja sebagai pengasuh malah isterinya serta keluarga turut memberi sokongan penuh.

“Isteri ini pun bekerja pengasas bersama taska jadi dia faham kerana kami dalam bidang yang sama.

“Kawan pun sama (memahami) cuma hanya segelintir yang hairan kerana ingat saya masih kerja dalam bidang penganjuran acara.

“Alhamdulillah, cukup makan pakai setakat ini, cuma sebelum ini, saya ada cuba buat kerja sebagai penghantar barang untuk tambah pendapatan.

“Tapi baru-baru ini, isteri beri idea tawarkan khidmat sebagai pengasuh persendirian iaitu selepas waktu kerja.

“Isteri bantu buat poster kemudian saya muat naik di Threads dan tak lama selepas itu, ada yang hubungi kerana mahu gunakan khidmat saya,” jelasnya.

Kongsi Muhammad Shukur lagi, dia terkejut dengan sambutan yang diterima di platform Threads sebaik memuat naik poster mencari anak asuhan.

Tak Terfikir Tukar Kerjaya Lain, Kerja Pengasuh Dah Sebati Dalam Jiwa

Tambahnya lagi, dia belum terfikir untuk menukar dan beralih arah mencari pekerjaan lain.

Ini kerana jelas Muhammad Shukur apa yang dilakukannya kini sudah sebati dengan jiwa.

Malah, pengalaman yang ditimbanya disifatkan amat mahal dan memberi pengajaran hidup terutama dalam menjadi bapa yang lebih baik.

“Anak asuhan itu yang banyak mengajar saya sebenarnya jadi selagi khidmat diperlukan, saya akan terus bekerja.

“Begitu juga dengan khidmat sebagai pengasuh persendirian kerana niat saya adalah membantu ibu bapa yang memerlukan seseorang menjaga anak mereka,” jelasnya.

View on Threads

Selain mempunyai pengalaman selama 15 tahun, Muhammad Shukur turut mempunyai pensijilan Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (KAP) serta mempunyai kemahiran Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan Pertolongan Cemas (First Aid).

Berdasarkan poster yang dimuat naik oleh Muhammad Shukur, dia hanya mengenakan bayaran RM20 sejam dengan masa penjagaan minimum selama dua jam bermula dari bayi sehingga kanak-kanak berusia 10 tahun.

Khidmatnya itu terbuka buat mereka yang berada di kawasan Damansara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Bandar Utama, Mont Kiara dan Bangsar namun bagi lokasi lain boleh dibincangkan.

Baca Artikel Berkaitan: “Ni Mesti Pengasuh Terbaik” – Anak Kecil Menangis Tak Nak Balik Rumah, Siap ‘Hambat’ Ibu Buat Ramai Terhibur [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Bapa Perlu Saling Berkomunikasi Dengan Pengasuh, Elak Anak Tinggal Dalam Kereta

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.