fbpx

Akhirnya RTM & Unifi TV Diumum Sebagai Penyiar Rasmi FIFA World Cup 2026, Astro Bincang Hak Penyiaran

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebentar tadi (6 Mei) mengumumkan pelantikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.

Jelas beliau ini bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati liputan acara berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

“Kerajaan mengambil pendekatan kerjasama strategik bersama sektor swasta bagi memastikan kualiti penyiaran yang lebih baik selain memperluaskan capaian kepada penonton di seluruh negara,” kata Fahmi dipetik Awani.

Pelantikan ini sekaligus menyaksikan Astro hilang statusnya sebagai penyiar rasmi Piala Dunia buat kali pertama selepas hampir 20 tahun.

Boleh tonton World Cup 2026 menerusi siaran percuma di beberapa platform

Tambah Fahmi lagi, orang ramai juga boleh mengikuti kejohanan bola sepak berprestij itu melalui siaran percuma Free-to-Air (FTA) di:

  • MYTV
  • OTT RTMKlik
  • Unifi TV

Unifi TV siarkan semua 104 match secara live

Kesemua 104 perlawanan sepanjang kejohanan itu akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.

“Program grandstand khas berkaitan Piala Dunia FIFA 2026 akan diterbitkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian kandungan dalam Bahasa Inggeris.

“Perkembangan terkini dan liputan kejohanan itu juga akan dipaparkan menerusi program Selamat Pagi Malaysia sepanjang temasya berlangsung.”

Tambah beliau lagi, kerajaan membelanjakan sekitar RM24 juta untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia 2026 dan beberapa penaja utama bersama juga telah dikenal pasti yang mana ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Astro akan bincang hak penyiaran World Cup 2026

Dalam pada itu, Astro juga sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia bagi meneroka peluang untuk menyiarkan perlawanan kejohanan itu di platformnya.

Ini termasuklah di platform seperti:

  • Astro
  • NJOI
  • Sooka

“Walaupun Astro kecewa dengan keputusan bidaan kompetitif yang dikemukakan bagi hak penyiaran Piala Dunia FIFA tidak diterima, kami tetap bersukacita kerana kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu akan terus dapat dinikmati oleh peminat di Malaysia.

“Ketika kami menyerahkan kesinambungan penyiaran kepada penyiar baharu, kami mendoakan kejayaan mereka dalam membawakan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 kepada rakyat Malaysia. 

“Astro juga terus komited dalam menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan menerusi gabungan liputan liga antarabangsa utama, kejohanan tempatan serta kandungan tempatan yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia,” kata Astro dalam satu kenyataan dipetik Stadium Astro.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.