Apa Kena Buat Kalau Kemalangan Dengan Kenderaan Tiada Insuran? Peguam Kongsi Caranya
Menurut peguam tersebut, mereka yang dilanggar kereta tanpa insuran boleh membuat tuntutan kecil.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tak dinafikan ramai di antara kita yang sentiasa berhati-hati apabila berada di jalan raya dan menjadi pengguna yang berhemah.
Namun ada segelintir yang tidak melakukan hal sama dan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.
Lebih buruk lagi apabila kenderaan yang melanggar kereta anda pula tidak mempunyai polisi insuran, Lesen Kenderaan Bermotor (LKM) atau cukai jalan, lesen memandu dan sebagainya.
Ketiadaan dokumen penting ini secara tidak langsung turut menyusahkan pihak lain apabila berlakunya kes kemalangan.
Wanita luah kecewa kemalangan dengan kereta tiada insuran
Baru-baru ini seorang wanita di Threads dikenali sebagai Dyla Fadhilah turut meluahkan kekecewaannya apabila kereta dilanggar oleh kenderaan yang tidak mempunyai polisi insuran.
Menerusi hantaran tersebut, Dyla mengatakan akhirnya dia terpaksa menggunakan insuran sendiri untuk membaiki keretanya meskipun kemalangan yang berlaku bukan atas kesalahannya.
Perkara itu akan membuatkan NCD pada polisi insurannya menjadi 0% selepas ditolak, dan jika ingin membuat tuntutan semula (claim) kepada pihak yang melanggar perkara itu pastinya mengambil masa yang lama.
“Nak tuntut balik? Pergi mahkamah. Ambil peguam, tunggu tiga hingga lima tahun. Jadi sistem ni sebenarnya lindungi siapa?
“Kita pandu elok-elok, ikut undang-undang. Tapi masih kena tanggung kesalahan orang lain. Rupanya memang ramai atas jalan tak ada insuran, tak ada lesen pun ada,” dakwanya.
Peguam kemalangan jalan raya jelaskan apa yang boleh buat jika kemalangan kenderaan tiada insuran
Susulan daripada luahannya itu, seorang peguam yang banyak menguruskan kes kemalangan jalan raya kemudiannya menjelaskan apakah tindakan yang boleh dibuat sekiranya situasi tersebut.
Jelas peguam itu di Threads yang dikenali sebagau Ros Shahira dari Tetuan Ros Shahira & Co, dia juga pernah berada dalam situasi sama dan perlu membuat tuntutan pada insuran kenderaan sendiri terlebih dahulu.
Boleh buat tuntutan kecil kepada pemandu
Namun apa yang dilakukan adalah peguam itu kemudian menyaman semula pemandu berkenaan untuk membuat tuntutan kecil.
“Tuntutan kecil boleh dibuat kalau tuntutan awak kurang daripada RM5,000. Tak perlu pakai peguam pun. Tuntutan kecil kalau nak buat memang perlukan kesabaran yang tinggi ya, terutama kalau pihak satu lagi tidak memberi kerjasama seperti saya,” jelasnya.
Katanya meskipun mengalami kesukaran ketika ingin membuat tuntutan itu namun dia berasa puas kerana dapat memberikan pengajaran kepada individu yang membawa kenderaan tanpa insuran.
View on Threads
Boleh buat tuntut pada MIB jika ada melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa
Menurut laman sesawang Carsome sekiranya seseorang itu terlibat kemalangan dengan kenderaan yang tidak mempunyai insuran, mereka boleh membuat tuntutan daripada Motor Insurer Bureau of West Malaysia (MIB).
Namun perkara itu hanya dibolehkan jika berlaku sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa ketika insiden berlaku.
MIB merupakan satu badan yang bertanggungjawab untuk membela dengan memberikan pampasan ke atas individu yang terkesan dalam insiden dengan pemilik kenderaan yang tidak mempunyai insuran.
Perkara ini merupakan inisiatif kerajaan untuk pasti individu yang menjadi mangsa mendapat pampasan untuk kemudaratan yang dihadapi. Dan ia adalah inisiatif yang diwujudkan sejak 1960-an.
Ini merupakan dokumen serta cara buat tuntutan pada MIB:
- Surat tuntutan rasmi dengan penjelasan lengkap berhubung insiden dan jumlah ganti rugi
- Laporan polis
- Laporan polis dari saksi
- Laporan kesihatan (jika perlu).
Selain itu, ini antara perkara yang perlu dimaklumkan sebelum mula membuat sebarang tuntutan dari MIB:
- Boleh membuat tuntutan sendiri atau melantik peguam untuk membuat tuntutan berkenaan bagi pihak anda.
- Wajib ada nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar. Sekiranya tidak mempunyai nombor pendaftaran, tuntutan tidak dapat diteruskan.
- Tuntutan tersebut juga perlu dibuat dalam masa tiga tahun selepas daripada kemalangan berlaku.
- Pampasan yang diberikan ke atas diri sendiri iaitu jika ada berlaku kecederaan atau kehilangan nyawa. MIB tak akan memberikan pampasan kepada harta benda mahupun kenderaan yang rosak.
- Jumlah pampasan mengikut keputusan MIB.
Cara buat tuntutan jika tak melibatkan kecederaan diri atau penumpang dalam kenderaan
Kata laporan itu lagi sekiranya tiada kecederaan, anda boleh bertindak untuk menyaman pihak berkenaan atas kapasiti peribadi kerana individu terlibat memandu kenderaan yang tak dilengkapi dengan insuran aktif.
Tuntutan tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk melalui proses pembicaraan.
Berikut adalah perkara perlu dilakukan:
#1 Perlu ada maklumat mengenai pemandu mahupun penunggang yang melanggar
Apabila berlaku kemalangan, adalah penting untuk mendapatkan maklumat pihak yang melanggar.
Bahkan ia adalah hak anda untuk mendapatkan maklumat siapakah individu yang melanggar kenderaan anda. Sekiranya dihalang, anda boleh menghubungi polis dengan segera untuk tindakan lanjut.
Antara maklumat yang diperlukan adalah:
- Nama
- Jenis kenderaan
- Nombor pendaftaran kenderaan
- Kad pengenalan pemandu yang melanggar kenderaan anda
#2 Ambil gambar ketika insiden
Jangan lupa untuk ambil gambar ini adalah untuk mengukuhkan lagi insiden yang berlaku.
Malah perkara ini juga boleh menjadi bukti kemalangan yang berlaku di antara kenderaan anda dan pihak yang melanggar.
Sekiranya anda mempunyai rakaman dashcam, ia turut boleh dikemukakan dalam tuntutan tersebut.
#3 Buat laporan polis
Apabila berlakunya kemlaangan, adalah sangat penting untuk anda membuat laporan polis dalam masa 24 jam.
Kebiasaannya laporan polis akan dibuat di daerah kemalangan terbabit berlaku untuk memudahkan lagi urusan.
#4 Maklum kepada syarikat insuran
Maklum kepada pihak insuran kemalangan yang berlaku dalam masa tujuh hari. Perkara itu adalah untuk memudahkan sebarang tuntutan insuran jika berlaku kerosakan teruk hingga menyebabkan kenderaan terbabit tidak lagi boleh dipandu.



