Tular Wanita Menyamar Minta Bayaran RM30 Caj Masuk Wad
Menurut HSA Johor Bahru, wanita yang meminta bayaran RM30 itu bukan kakitangan hospital mereka dan telah diserahkan kepada pihak polis.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (21 April) tular luahan seorang wanita yang kurang senang apabila ahli keluarganya diminta membayar sejumlah wang tunai bagi caj pendaftaran kemasukan untuk wad ayahnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Menerusi hantaran dikongsikan oleh wanita berkenaan di media sosial, insiden tersebut dipercayai berlaku pada petang semalam (21 April) apabila ibunya diminta membayar RM30 kepada seorang wanita yang sedang duduk di sebuah meja berdekatan nombor giliran.
“Kejadian baru petang tadi kena, ayah kena tahan wad. Jadi mak pergilah daftar masuk wad, jadi nak dijadikan cerita budak perempuan yang duduk dekat meja nombor tu dia cakap dekat mak saya kena bayar RM30 untuk pendaftaran masuk. Sekarang dah kena bayar.
Kata wanita itu lagi, ibunya turut bertanya adakah ia perkara baharu dimana mereka yang masuk ke wad perlu dibayar? Individu berkenaan kemudian memaklumkan “ya, kena bayar.”
Siap pulangkan duit RM20 selepas ibu buat pembayaran
Mendengar jawapan itu, ibu wanita berkenaan lalu memberikan RM50 dan individu itu memulangkan semula RM20.
“Tambahan mak saya baru bagitahu tadi, masa mak saya bayar tu dia ada cakap tak puas hati dekat budak tu sebab tak ada resit, tak ada surat kenyataan yang kena bayar RM30 dan budak perempuan tu lepas ambil duit RM50 dia terus masuk poket seluar dan baki pun ambil dari poket seluar,” katanya dalam hantaran tersebut.
Kongsi foto individu minta RM30 untuk kemasukan wad, HSA tegaskan individu bukan staf hospital
Menerusi hantaran itu, dia turut berkongsi satu foto memaparkan seorang wanita sedang duduk di sebuah kerusi memakai baju hitam dan tudung coklat.
Susulan daripada luahan dilakukan oleh wanita berkenaan, HSA kemudiannya tampil menegaskan individu yang dinyatakan dalam hantaran berkenaan bukanlah petugas hospital tersebut dan perkara berkenaan sedang dalam siasatan polis.
“Pihak pengurusan HSAJB ingin menegaskan bahawa individu yang dinyatakan dalam hantaran tersebut bukan petugas hospital dan perkara ini sedang dalam siasatan pihak polis.
“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan hanya melakukan sebarang urusan bayaran deposti di kaunter hasil yang sah dengan memastikan resit rasmi dikeluarkan, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan.”
View on Threads
Individu wanita dah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut
Dalam satu lagi hantaran yang dikongsikan oleh HSA di Threads memaklumkan pihaknya memandang serius isu tular berkaitan individu yang didakwa sebagai staf hospital meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan kakitangan hospital. Justeru, tindakan segera telah ambil dan individu tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,”
View on Threads
Dalam satu perkembangan terbaharu, wanita berkenaan telah direman selama empat hari bermula 22 April untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jelas Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat wanita berusia 27 tahun yang ditahan dipercayai bekerja sebagai sukarelawan di hospital terbabit.
“Seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar membuat laporan mengenai kejadian itu dan dipercayai suspek meminta deposit sebanyak RM700,” katanya, lapor Sinar Harian.



