Dari Politik Ke Layar Perak, MB Kedah Lakon Watak Panglima Dalam Filem The Keris
Pada masa yang sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan beliau bersedia mempertimbang tawaran berlakon sekiranya diberikan watak yang sesuai pada masa hadapan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Siapa sahaja yang tidak kenal dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor?
Kelantangan serta perwatakkan yang tegas dalam dunia politik sememangnya mendapat perhatian ramai.
Lihat sahajalah apabila setiap kali timbul isu baru lebih-lebih lagi yang mengaitkan dirinya, pasti terserlah sifat tegas dan kelantangan beliau.
Sanusi Cebur Diri Dalam Lakonan, Bawa Watak Panglima Dalam Filem The Keris
Siapa sangka, Sanusi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tampil membuat kemunculan khas di layar perak menerusi filem The Keris.
Jelas Sanusi, pembabitan sulungnya dalam filem tersebut melibatkan watak sebagai seorang panglima yang memberi semangat kepada pesilat ketika menghadapi pertarungan.
Terangnya lagi, watak tersebut yang mempunyai elemen kepahlawanan Melayu diinspirasikan daripada semangat perjuangan tokoh terdahulu untuk membangkitkan motivasi dalam kalangan anak muda.
“Ini pengalaman baharu dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak muda yang terbabit dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya yang dipetik dari Harian Metri.
Filem arahan Viknes Perrabu yang turut menampilkan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan Syazlie Syazz bakal menemui penonton pada 2 Julai depan.

Anggap Lakonan Bukan Mudah, Tak Ambil Bayaran Lakonkan Watak Panglima
Kongsi Sanusi yang juga merupakan Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN), dia mengakui ia bukanlah suatu perkara yang mudah.
Ini kerana jelasnya lakonan tersebut memerlukan penghayatan watak yang mendalam.
Jelas Sanusi lagi, dia menerima tawaran tersebut kerana watak itu seiring dengan minatnya untuk mengangkat seni serta budaya Melayu khususnya silat.
“Berlakon ini susah kerana pelakon perlu menghayati skrip dan watak. Saya ini orang ‘real’, tetapi bila cuba berlakon, tidaklah terlalu kekok.
“Saya terima sebab ia berkaitan budaya Melayu. Kalau watak lain mungkin saya tidak ambil, tetapi ini berkait dengan pahlawan Melayu, saya pun tak ambil bayaran, percuma saja,” ujarnya.
Filem Jadi Platform Sampaikan Mesej
Selain memperkenalkan warisan budaya, Sanusi turut berpendapat filem boleh menjadi platform untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda.
Malah beliau menyifatkan filem tersebut sebagai unik dan boleh menarik perhatian penonton dek kerana penglibatan kru yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
“Banyak pengaruh datang daripada filem, termasuk yang negatif. Jadi, kita gunakan cara sama untuk bawa mesej positif dan budaya kita kepada generasi akan datang.
“Saya harap filem ini berjaya dan mendapat sambutan penonton di seluruh negara,” katanya.
Pertimbang Terima Tawaran Lain Jika Ada Watak Sesuai
Pada masa yang sama, Sanusi menjelaskan beliau bersedia mempertimbang tawaran berlakon sekiranya diberikan watak yang sesuai pada masa hadapan.
“Kalau ada watak yang baik, saya sedia pertimbangkan. Kehidupan kita ini pun seperti pementasan, cuma bezanya tanpa skrip,” jelasnya lagi.
Untuk info, filem The Keris terbitan Mathes Production House Sdn. Bhd. merupakan sebuah filem yang bertemakan kepahlawanan Melayu Melaka dengan menampilkan kisah lagenda Hang Tuah dan Hang Jebat namun dalam konteks yang lebih moden dan penuh aksi.
Filem ini turut mendapat sokongan penuh dari FINAS, Kementerian Komunikasi, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan kerjasama daripada Menteri Besar Kedah.
BAWA SEMANGAT HANG TUAH DALAM FILEM ‘THE KERIS’ “PENGALAMAN BARU BUAT SAYA” – SANUSI Roslinda Hashim SUNGAI PETANI -…
Posted by Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA on Sunday 19 April 2026
MAJLIS PERASMIAN POSTER DAN TEASER FILEM THE KERIS Hari ini, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor…
Posted by Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA on Sunday 19 April 2026
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Baru Politik Matang” – MB Selangor Lepak Bersama Sanusi Lepas Main Bola Raih Pujian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Sanusi Menang Kes Saman Fitnah Beli Vellfire, Mahkamah Perintah Mahfuz Bayar RM250,000
Baca Artikel Berkaitan: Minta Sarawak Tanggung Sebahagian Kos Hantar Kontinjen Kedah Ke SUKMA Hanya Gurauan Sanusi



