Now Reading
Tular Warga Emas Berkerusi Roda Terpaksa Guna Tangga Pergi Dialisis Gara-Gara Lif Rosak Hampir 2 Minggu [Video]

Tular Warga Emas Berkerusi Roda Terpaksa Guna Tangga Pergi Dialisis Gara-Gara Lif Rosak Hampir 2 Minggu [Video]

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna yang dikenali sebagai Ninie itu mendakwa lif kediaman mereka yang terletak di Blok 5, Kondo Rakyat Pantai Dalam, Kuala Lumpur telah hampir dua minggu mengalami kerosakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui kebanyakan kediaman tinggi seperti kondominium atau pangsapuri disediakan lif bagi kemudahan penduduk.

Namun entah mengapa, ada sesetengah lif dilihat tidak dapat berfungsi dengan baik hingga menyukarkan penghuni untuk bergerak.

Malah, keadaan ini menjadi lebih mencabar buat penghuni yang terdiri daripada warga emas atau individu memerlukan termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang amat bergantung kepada lif.

Wanita Dakwa Lif Rosak Hampir 2 Minggu, Terpaksa Bawa Bapa Pergi Dialisis Turun Tangga

Itulah yang dialami oleh seorang wanita apabila terpaksa memimpin bapanya yang sakit menuruni tangga untuk pergi dialisis.

Menerusi video yang dikongsikan di Threads, pengguna yang dikenali sebagai Ninie itu mendakwa lif kediaman mereka yang terletak di Blok 5, Kondo Rakyat Pantai Dalam, Kuala Lumpur telah hampir dua minggu mengalami kerosakan.

Melalui perkongsian tersebut, dapat dilihat bapa Ninie yang selama ini menggunakan kerusi roda terpaksa menuruni tangga secara perlahan sambil dipimpin oleh wanita itu.

Apa yang turut menjadi perhatian adalah palang pada bahagian tangga yang dipegang juga dilihat tidak stabil malah turut bergoyang ketika warga emas itu sedang memegangnya.

Kongsi Ninie, dia terpaksa menggunakan segala kudrat yang ada demi membawa bapanya pergi menjalani dialisis setiap seminggu.

Malah, dia terpaksa berulang alik dengan menghantar kerusi roda bapanya terlebih dahulu ke kereta sebelum naik semula mengambil bapanya itu.

“Dah nak masuk 2 minggu lif dekat umah ni rosak dan paling kesian dekat ibu bapa saya yang dua-dua pakai kerusi roda.

“Abah hampir 25 tahun kena stroke dan memang naik wheelchair je tapi wajib pergi dialysis 3 hari seminggu terpaksalah gagahkan diri turun tangga.

“The most dangerous is tempat pegang pun rosak bergoyang-goyang. Nasib level 2 je ku gigihkan jua kudrat untuk hantar wheelchair dulu, pastu naik untuk pegang abah dan turun balik. We almost nak jatuh,” kongsinya.

View on Threads

Dakwa Dah Buat Aduan, Harap Ada Perubahan

Dakwa Ninie di ruangan komen, segelintir penduduk di situ termasuk dia sendiri telahpun membuat aduan kepada pihak berkaitan khususnya kepada pihak pengurusan.

Difahamkan, pihak pengurusan telahpun memaklumkan kepada Ahli Parlimen kawasan Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil. Malah, Ninie turut menyebut akaun rasmi Fahmi pada ruangan balas postingnya di Threads.

Namun, setakat artikel ini ditulis, belum ada sebarang jawapan balas dari akaun Fahmi tentang hantaran tersebut.

Dalam hantaran berasingan, Ninie menjelaskan dia sebelum ini sudah membawa bapanya itu tinggal di rumah adiknya setelah warga emas berkenaan mengadu sakit kaki.

Namun, bapa Ninie telah meminta untuk pulang ke rumah walaupun terpaksa naik turun menggunakan tangga.

View on Threads

Malah, Ninie turut berkongsikan gambar pemegang tangga yang dilihat sudah berkarat serta bahaya untuk digunakan oleh penduduk setempat.

View on Threads

Lif Masih Rosak, Tak Jadi Pergi Dialisis

Dalam hantaran terbaharunya, Ninie menjelaskan bapanya itu meminta dia untuk mengambil cuti sekiranya lif masih rosak lagi.

Malah menerusi hantaran tersebut, dapat dilihat warga emas itu sedang menunggu lif namun dakwa Ninie, dia sendiri tidak pasti berapa lama masa yang diambil untuk menunggu lif berkenaan.

Namun, kongsi Ninie kepada BuzzKini, lif berkenaan masih lagi rosak dan membuat keputusan untuk tidak pergi ke dialisis hari ini.

View on Threads

Kami juga sudah menghubungi Fahmi bagi mendapatkan maklum balas beliau berhubung isu ini. Kami akan mengemaskini artikel ini jika terdapat sebarang maklumat tambahan.

Ramai Simpati & Cadangkan Langkah Terbaik

Perkongsian yang telah mendapat lebih 182,000 tontonan itu nyata mendapat perhatian pengguna media sosial.

Mengintai ke ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan nasib menimpa warga emas berkenaan serta penduduk setempat.

Malah, ada yang menyarankan agar dia terus membuat aduan kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.

Pada masa yang sama, ada netizen berpendapat kerosakan lif terbabit disebabkan kurangnya dana penyelenggaran ekoran sikap segelintir penduduk yang sukar membuat bayaran yuran hingga menyebabkan pihak berkaitan tidak mampu untuk menampung kos penyelenggaran lif terbabit.

Ini antara komen pengguna Threads:

“Ayah Saya Pun Strok, Jadi Sangat Faham Strugglenya, Plus Kita Pula Perempuan, Mana La Gagah Nak Pimpin Tu. Semoga Urusan Awak Dipermudahkan Selalu”

“Selalunya Diorang Tak Baiki Lif Sebab Ramai Tak Bayar Yuran Penyelenggaraan Maksudnya, Dana Tak Mencukupi Gitu La”

“Ya Allah Kesiannya”

“Ala Dengar Nafas Pun Dah Macam Tu, Allahu Semoga Cepatlah Perkara Ini Selesai”

“Sedih & Geram Pun Ada, Kesian Anak-Anak Yang Terpaksa Berdukung, Kesihatan Anak Pun Kena Jaga”

Baca Artikel Berkaitan: Bapa Kepada Kanak-Kanak Terperangkap Dalam Lif Di Desa Petaling Mohon Maaf

Baca Artikel Berkaitan: Tular CCTV Kes Kanak-Kanak ‘Sangkut’ 9 Jam Dalam Lif, Wanita Dakwa Selit Selipar Celah Pintu Punca Lif Terhenti

Baca Artikel Berkaitan: Kondo Papar Maklumat Pemilik Liat Bayar ‘Maintenance’ Pada Papan Digital [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.