Kes Pemandu Bas Riba Wanita: Syarikat Bas Sri Maju Mohon Maaf & Berhentikan Pekerja Serta-Merta
Selain menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit, Sri Maju Group telah mengambil beberapa tindakan antaranya seperti membuat satu laporan polis terhadap pemandu berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, kami ada melaporkan insiden seorang pemandu yang memandu bas ekspres dalam keadaan berbahaya.
Menerusi rakaman video tular, pemandu bas berkenaan dilihat memangku seorang wanita ketika sedang memandu kenderaan milik syarikat itu.
Apa yang menjadi perhatian adalah wanita berkenaan dilihat memegang stereng sambil duduk di atas riba pemandu lelaki terbabit dalam keadaan bas yang sedang bergerak dan dinaiki penumpang.
Susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenal pasti dan memanggil pemandu bas berkenaan untuk dirakam keterangan.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Pandu Bas Sambil Pangku Wanita, JPJ Sudah Rakam Keterangan Pemandu [Video]
Syarikat Sri Maju Group Tamatkan Perkhidmatan Pemandu Bas, Sifat Tindakan Pekerja Amat Membimbangkan
Terbaharu, pemandu bas yang tular meriba wanita itu telah ditamatkan perkhidmatannya secara serta-merta.
Perkara itu dimaklumkan oleh syarikat bas berkenaan, Sri Maju Group dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Menerusi kenyataan itu, Sri Maju Group mengesahkan pemandu tular dalam video terbabit adalah pekerjanya yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin Sentral, Johor Bahru, Johor.
Jelas mereka, kejadian yang berlaku dalam bas ekspres miliknya disifatkan sebagai satu perkara yang mengecewakan, membimbangkan serta tidak boleh diterima.
“Tingkah laku yang dipaparkan dalam video tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap operasi standard syarikat selain bercanggah sama sekali dengan tataetika profesional yang kami tetapkan bagi semua pemandu kami.
“Selama ini kami sentiasa berusaha untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan serta sokongan pelanggan kami yang dihargai.
“Namun, kami amat kesal bahawa walaupun pelbagai langkah pencegahan dan pemantauan telah dilaksana, insiden seperti ini masih berlaku,” kata mereka.
Syarikat Bas Ambil Beberapa Tindakan
Selain menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit, syarikat tersebut telah mengambil beberapa tindakan antaranya seperti membuat satu laporan polis terhadap pekerja berkenaan.
Malah, insiden itu turut dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mereka kini sedang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa terhadap siasatan yang sedang dijalankan.
“Selain itu, (kami) mengambil langkah penambahbaikan pemantauan video. Sistem pengawasan video bagi pemandu dan di dalam bas sudah dipasang pada bas baharu kami.
“Bagi bas-bas sedia ada yang belum dilengkapi dengan sistem tersebut, kerja pemasangan sedang dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya.
Turut Mohon Maaf Kepada Orang Ramai
Pada masa yang sama, syarikat berkenaan turut memohon maaf kepada penumpang dan orang ramai ekoran kejadian berkenaan.
“Kami dengan ini memohon maaf dengan setulus-tulusnya dan tanpa sebarang syarat kepada semua penumpang yang terlibat serta orang awam.
“Setiap pengguna perkhidmatan awam berhak menerima perkhidmatan yang selamat, bertanggungjawab dan profesional setiap masa,” kata mereka.
Tidak Bertolak Ansur Dengan Perlakuan Yang Membahayakan Keselamatan
Jelas mereka lagi, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa penumpang mereka.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan mengambil segala langkah yang perlu serta sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
“Kami kekal komited sepenuhnya terhadap keselamatan, keselesaan, dan kepercayaan setiap penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami,” terang mereka.
Posted by Sri Maju Tours on Sunday 12 April 2026
Baca Artikel Berkaitan:



