Rawat Sendiri Kuning Bayi Jaundis Dengan Lampu Biru ‘Online’? Ini Risiko Yang Patut Anda Tahu
Menurut laman PHM, lampu biru yang dibeli secara online berkemungkinan hanyalah lampu biru biasa yang tidak dapat memecahkan molekul bilirubin yang ada pada bayi terkena masalah kuning.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kebanyakan bayi yang baru lahir pasti tidak lari dari terkena masalah kuning atau juga dikenali sebagai jaundis.
Keadaan sebegini sememangnya amat memenatkan apatah lagi si ibu masih lagi dalam fasa pemulihan selepas melahirkan anak.
Selain berjaga malam, ada yang terpaksa berulang alik ke hospital mahupun klinik bagi memeriksa tahap kuning serta mendapatkan rawatan yang sepatutnya.
Antara rawatan yang paling popular adalah melalui kaedah Fototerapi iaitu dengan meletakkan si comel di bawah lampu biru.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah ada segelintir individu yang menjual lampu biru secara dalam talian dan mendakwa ia dapat mengurangkan jaundis yang boleh digunakan sendiri oleh ibu bapa.
Lampu Biru Online Boleh Datang Bahaya Kepada Bayi
Namun, menurut Public Health Malaysia (PHM) dalam satu hantaran di Facebook mereka, penggunaan lampu biru online berisiko dan berbahaya kepada bayi.
“Lampu biru yang anda beli online berharga puluhan ringgit itu bukan rawatan perubatan. Ia adalah satu eksperimen yang sangat berbahaya ke atas nyawa anak anda,” jelas mereka.
Jelas mereka, kaedah DIY Fototerapi ini boleh mengancam bayi dengan kesan seperti:
#1 Boleh Sebabkan Kerosakan Otak Kekal (Kernicterus)
Jelas PHM, jaundis bukan dinilai dengan hanya melihat warna kuning menggunakan mata kasar.
Sebaliknya ia dinilai melalui bacaan Bilirubin dalam darah iaitu pigmen kuning yang terhasil daripada pemecahan sel darah merah dalam tubuh bayi.
Sekiranya penggunaan lampu biru online tidak memberi kesan, bilirubin akan terus naik mendadak secara senyap, masuk ke dalam otak sekaligus boleh menyebabkan kecederaan otak kekal.
Keadaan ini boleh menyebabkan bayi berisiko menjadi pekak, lumpuh mahupun sawan.

#2 Cahaya Biru Bukan Sekadar Warna Biru
Kongsi PHM, lampu biru yang dibeli secara online berkemungkinan hanyalah lampu biru biasa yang tidak dapat memecahkan molekul bilirubin.
Kebiasaannya, rawatan Fototerapi di hospital menggunakan julat gelombang cahaya spesifik iaitu 460 hingga 490 Nanometer (nm) dengan intensiti yang dikalibrasi oleh pakar.
#3 Tiada Pemantauan Keselamatan
Jelas PHM lagi, ibu bapa sebaiknya mendapatkan rawatan di hospital. Jika di hospital mata bayi akan ditutup rapi menggunakan penutup mata (eye shield) bagi mengelak dari buta.
Malah, suhu mereka juga akan dipantau setiap beberapa jam untuk mengelak hipotermia atau kepanasan. Selain itu, tahap hidrasi badan serta penyusuan juga dikawal ketat.
“Anda yakin anda boleh buat semua ini di bilik tidur anda sambil tengok TV?
“Kalau anak nampak kuning, jumpa doktor. Periksa darah. Biar pakar tentukan paras bilirubin anak anda.
“Tolong jangan jadikan tubuh kecil bayi anda sebagai tempat mencuba nasib. Kelewatan dan keyakinan membuta tuli pada alat yang salah boleh membawa penyesalan seumur hidup,” terang mereka.
"Kesian baby asyik kena cucuk tumit ambil darah. Beli je lah lampu biru kat Soppee ni, pasang kat rumah sambil susukan…
Posted by Public Health Malaysia on Monday 30 March 2026
Cara Nak Hilangkan Kuning Bayi
Memetik Hello Doktor, masalah jaundis dalam kalangan bayi akan hilang dengan sendirinya.
Ini kerana kebiasaannya, badan bayi dapat menyingkirkan sendiri bilirubin tambahan selepas satu hingga dua minggu.
Petua untuk menghilangkan kuning bayi dengan cepat adalah menerusi penyusuan susu ibu secara eksklusif dengan kerap iaitu sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali sehari.

“Sekiranya bekalan susu ibu tidak mencukupi, doktor mungkin akan mencadangkan pemberian susu formula sebagai tambahan,” kata laman itu.
Namun, rawatan yang lebih agresif akan dilakukan bergantung kepada usia dan tahap bacaan kuning.
Rawatan tersebut adalah:
#1 Fototerapi
Bayi akan dibaringkan di bawah lampu biru. Cahaya lampu membantu mengubah bilirubin menjadi bentuk yang mudah untuk dikeluarkan dari badan.
#2 Pemindahan darah
Prosedur kecemasan yang akan dibuat jika tahap bilirubin masih tinggi serta tidak berkurangan apabila menggunakan kaedah fototerapi.
Darah bayi akan diganti dengan darah penderma bagi menurunkan kadar bilirubin dengan lebih cepat.

#3 Imunoglobulin intravena (IVIg)
IVIg merupakan rawatan yang akan diberikan jika bayi mempunyai masalah ketidaksesuaian darah.
IVIg akan menyekat antibodi yang menyerang sel darah merah dan mengurangkan keperluan pemindahan darah.
Jadi ibu bapa, pastikan anak anda menyusu dengan kerap dan dapatkan rawatan daripada hospital mahupun klinik untuk merawat kuning bayi.
Baca Artikel Berkaitan: Bayi Anda Kuning? Ketahui Punca Dan Cara Untuk Merawatnya
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Mitos Mengenai Bayi Kuning Yang Perlu Ibu Bapa Tahu
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.







