Siap Langgar Guna Skuter! Lelaki Disyaki Suami Pukul Wanita Hamil Anak Kembar
Apa yang menjadi perhatian adalah si pelaku turut menghentak lututnya ke muka mangsa sebelum duduk di atas badan wanita terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak belakangan ini, ada sahaja insiden atau kejadian yang melibatkan keganasan dilaporkan di media sosial.
Kadangkala, sukar untuk diterima perbuatan kejam si pelaku terhadap mangsa yang terlibat.
Wanita Hamil Anak Kembar Kena Belasah Dipercayai Suami Sendiri
Hari ini (17 Mac), tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan kejam seorang lelaki terhadap seorang wanita.
Menerusi video yang dikongsikan, wanita yang dipercayai hamil anak kembar itu dibelasah oleh lelaki yang dipercayai merupakan suaminya.
Dalam video tular, kelihatan wanita berkenaan pada mulanya dipakaikan topi keledar oleh lelaki itu sebelum mangsa ditumbuk pada bahagian muka.
Bukan itu sahaja, si lelaki turut memegang sebelum menghempas badan wanita yang terbaring berulang kali di lantai.
Apa yang menjadi perhatian adalah si pelaku turut menghentak lututnya ke muka mangsa sebelum duduk di atas badan wanita terbabit.
Lebih teruk, lelaki itu kemudiannya menaiki motosikal jenis skuter sebelum melanggar bahagian kepala mangsa.
Difahamkan, kejadian berlaku di Duyung, Melaka pada 15 Mac lalu kira-kira jam 4.00 pagi.
Suami Didakwa Cemburu, Syak Isteri Curang Dengan Rakan Sekerja
Menurut laporan mStar, satu hantaran tular menyebut kejadian berkenaan dipercayai berlaku akibat cemburu.
Lelaki itu mengesyaki isterinya berlaku curang dengan rakan lelaki di tempat kerja.
“Empat hari sebelum kejadian, mereka bergaduh dan keluarga wanita itu buat laporan polis tetapi keluarga lelaki itu ikat jamin dia keluar.
“Dalam video itu, isterinya kerja dan lelaki itu ingat dia curang,” tulis hantaran terbabit.
Perkongsian tular juga mendakwa pasangan itu dilaporkan telah bercerai talak satu sebelum insiden berkenaan tular namun si lelaki masih menganggap wanita itu masih isterinya.
Polis Buru Lelaki Pukul Isteri, Terima Laporan Daripada Ibu Mangsa
Terbaharu, polis sedang memburu suspek yang berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penghantar barang itu.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mengetahui kejadian tersebut sebaik melihat rakaman CCTV sebuah premis hiburan keluarga.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka pada 15 Mac lalu kira-kira jam 4.41 pagi untuk menerima rawatan di zon merah.
“Mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan.
“Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah ibunya di Tanjung Minyak Perdana,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Wanita Tiada Di Rumah, Dipercayai Keluar Bersama Anak Lelaki Ikut Suspek
Walau bagaimanapun, mangsa yang berusia 20 tahun didapati tiada di rumah sekitar jam 8.00 malam pada hari yang sama selepas dipercayai keluar bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun mengikut suspek.
“Ibu mangsa turut mendapati pintu belakang rumah telah dibuka secara paksa dan usaha untuk menghubungi mangsa gagal.
“Laporan polis dibuat kerana bimbang terhadap keselamatan mangsa dan anaknya,” katanya.
Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang keganasan rumah tangga.
Hanya kerana si isteri bekerja di tempat yang ada staf lelaki, suami mengesyaki berlaku perbuatan curang. 15 Mac sekitar…
Posted by Melaka Daily on Monday 16 March 2026
Baca Artikel Berkaitan: Masalah Kewangan & Selisih Faham Antara Faktor Keganasan Rumah Tangga Di Pahang
Baca Artikel Berkaitan: Suami Pukul Isteri Hanya Kerana Tutup Pintu Rumah Dengan Kuat
Habiskan 1/3 dari 24 jam sehari dengan menulis. Isu trending, lifestyle dan apa sahaja yang dekat dengan realiti kehidupan seharian jadi 'makanan' saya di BuzzKini ✍️✨.






