Ambil Upah Tukar Duit Raya Boleh Jadi Haram? Ini Penjelasan Mufti Pulau Pinang
Menurut Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, terdapat dua syarat utama yang perlu dipatuhi dalam urusan pertukaran wang kepada not baharu sempena Aidilfitri iaitu persamaan nilai dan serah terima secara serta-merta.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan 1 Syawal.
Pastinya ramai yang teruja meraikan hari kemenangan itu dan menyambutnya dengan cara tersendiri.
Jika di Malaysia, antara yang paling sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri adalah pemberian duit raya.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika ramai mengambil peluang untuk menukar wang kepada not baharu malah ada yang mengupah orang bagi pihak mereka.
Namun, boleh atau tidak seseorang itu mengambil upah untuk menukar wang dari jumlah duit raya itu sendiri?
Tukar Duit Raya Harus, Tapi Ambil Upah Dengan Cara Tertentu Boleh Jadi Haram
Menurut Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman, terdapat dua syarat utama yang perlu dipatuhi iaitu persamaan nilai dan serah terima secara serta-merta.
Jelas beliau, jika salah satu syarat tidak dipenuhi, ia boleh membawa kepada riba al-fadl iaitu pertambahan dalam pertukaran barang ribawi yang sama jenis.
Tegasnya, setiap muslim perlu memahami prinsip berkenaan agar tradisi menukar duit raya dibuat seiring dengan tuntutan syariah serta nilai keadilan dalam muamalat.
“Menukar wang kepada not baharu bagi tujuan duit raya adalah harus dalam Islam. Namun, pertukaran itu mesti dilakukan dengan nilai sama bagi mengelakkan unsur riba.
“Mengambil upah menukar wang juga dibenarkan sekiranya bayaran tersebut dibuat secara berasingan sebagai upah kerja dan bukan sebahagian pertukaran mata wang.
“Sebaliknya, mengambil keuntungan dengan mengurangkan nilai wang yang ditukar atau menjual not baharu dengan harga lebih tinggi daripada nilainya adalah tidak dibenarkan kerana melibatkan unsur riba yang diharamkan dalam syariat Islam,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Nilai Pertukaran Wang Tidak Sama Dianggap Tidak Penuhi Syarat Persamaan Nilai
Mohd Sukki turut mengulas tentang situasi pada masa kini di mana ramai yang mengambil upah menukar not baharu dengan mengenakan caj tertentu.
“Jika caj berkenaan diambil dengan cara memotong sebahagian daripada wang ditukar, contohnya seseorang berikan RM100 tetapi hanya terima RM93 selepas ditolak caj RM7, maka ia tidak dibenarkan.
“Dari sudut fiqh, keadaan ini sebenarnya melibatkan pertukaran wang dengan nilai tidak sama iaitu RM100 ditukar kepada RM93.
“Oleh itu, ia tidak memenuhi syarat persamaan nilai dalam pertukaran mata wang dan boleh termasuk dalam kategori riba al-fadl, diharamkan oleh syarak,” jelasnya.
Boleh Jika Kadar Upah Yang Diambil Berasingan
Namun jelas beliau, mengambil upah daripada perkhidmatan tersebut adalah dibenarkan jika pembayaran itu dibuat secara berasingan daripada duit raya berkenaan.
“Contohnya, individu gunakan wang sendiri untuk tukar kepada not baharu di bank, kemudian tawarkan kepada kenalan untuk menukarkan wang mereka kepada not baharu tersebut dengan mengenakan caj tertentu.
“Jika RM100 ditukar dengan RM100 dalam not baharu, manakala caj perkhidmatan dibayar secara berasingan, maka transaksi ini juga boleh dianggap sebagai harus.
“Hal ini kerana bayaran tersebut bukanlah keuntungan daripada pertukaran wang, tetapi sebagai bayaran kepada usaha dan masa yang digunakan untuk mendapatkan not baharu tersebut,” kata beliau.
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Guna Duit Raya Anak Untuk Bayar ‘Roadtax’? Ini Hukumnya
Baca Artikel Berkaitan: Trend Menari Sambil Terima Duit Raya Boleh Jatuh Hukum Haram – Mufti Terengganu
Baca Artikel Berkaitan: Apakah Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Simpanan Pendidikan? Ini Penjelasannya



