Wanita Terkena Percikan Mercun Ketika Buka Puasa Di Jambatan Angkat, Kain Berlubang & Betis Luka
Menurut wanita berkenaan, dia mengalami trauma dan serik untuk berbuka puasa di tempat terbuka dan dipenuhi oleh orang ramai.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui mercun adalah perkara yang berbahaya kerana mengandungi bahan api yang boleh mencederakan jika tidak dikendalikan dengan betul.
Malah banyak tragedi yang dilaporkan disebabkan bermain mercun, sehingga ada yang kehilangan anggota badan, cedera, mengalami kecacatan dan banyak lagi.
Meskipun sudah dilarang, namun ada yang masih berdegil. Apa yang lebih membimbangkan apabila percikannya itu boleh terkena kepada orang lain jika dimain di kawasan yang tidak sepatutnya.
Wanita berdepan detik cemas, kaki terkena percikan api sehingga kain berlubang dan betis luka
Terbaharu seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila terkena percikan mercun sewaktu berbuka puasa bersama keluarga di kawasan parkir berdekatan Jambatan Angkat, Kuala Terengganu.
Perkara itu turut membuatkan kain yang dipakai sewaktu berbuka puasa berlubang dek kerana terkena percikan mercun tersebut.
Wanita yang dikenali sebagai Hazwani Abdullah berusia 37 tahun memaklumkan insiden berlaku selepas dia bersama empat orang anaknya berbuka puasa di kawasan terbabit.
Anak ajak sebab nak rasa pengalaman buka puasa di luar rumah
Katanya dia memilih lokasi tersebut untuk berbuka puasa selepas diajak oleh anaknya yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa di luar rumah sambil menyaksikan bunga api yang selalu dikongsikan orang ramai di media sosial.
“Saya ada empat anak, yang paling sulung berusia 14 tahun dan paling bongsu empat tahun.
“Mereka yang ajak berbuka puasa di kawasan itu sebab nak sangat rasa suasana iftar di kawasan Jambatan Angkat.
“Kalau lihat di media sosial, lepas berbuka memang ada yang berpesta bunga api sehinggakan anak-anak teruja nak tengok sendiri,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Luka tak teruk tapi masih rasa pedih sehingga sekarang, trauma dan serik nak berbuka di tempat terbuka
Menurut wanita yang juga peniaga makanan itu, situasi bertukar cemas apabila percikan mercun yang dimainkan oleh individu tak dikenali terkena pada bahagian kakinya.
Insiden itu secara tidak langsung telah menyebabkan kain yang dipakai berlubang dan betis pula terasa pedih serta luka.
“Walaupun luka tidak teruk, betis saya masih pedih sampai sekarang. Kain yang saya pakai pun berlubang sebab terkena percikan mercun itu.”
Insiden yang berlaku itu sekali gus membuatkan dia trauma dan serik untuk berbuka puasa di tempat terbuka serta dipenuhi orang ramai.
Malah dia juga menyifatkan ia adalah pengalaman berbuka puasa yang pertama dan terakhir di kawasan luar khususnya di tapak berkenaan kerana ia tempat orang ramai bermain mercun serta bunga api.
Tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan boleh diambil
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, memaklumkan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu gangguan awam jika bermain mercun hingga mengundang gangguan atau membahayakan orang ramai.
“Selain itu, mereka yang terbabit boleh disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai berkaitan bahan api atau bahan mudah terbakar.
“Kesalahan bermain atau memiliki mercun tanpa lesen juga boleh disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (memiliki tanpa lesen), Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 (menjual dan menyimpan tanpa lesen),” jelasnya.
Dalam masa sama, Azli turut mengingatkan orang ramai yang berkumpul di kawasan Jambatan Angkat atau turut dikenali sebagai Drawbridge untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
Pihak polis juga akan melakukan rondaan serta pemantau untuk memastikan pembakaran mercun serta bunga api tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadhil Marsus memberi amaran perbuatan memiliki, menjual, membeli termasuk bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran sempena mana-mana musim perayaan adalah satu kesalahan undang-undang
Namun terdapat dua jenis bunga api yang dibenarkan iaitu:
- Pop-Pop
- Happy Boom
Kenyataan itu dikeluarkan beliau beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina 2026.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Hanya Bunga Api Jenis Pop-Pop & Happy Boom Dibenarkan Dijual, Dibakar Sempena Tahun Baru Cina
Writing about lifestyle is a passion that I can't deny. However, trending, current issues, and political views help me to dive into people's mind and behavior. Meanwhile, traveling is a way I enjoy and feed my inner soul to come out with fresh idea and creative writing.







