Now Reading
“Ada Orang Ingat Saya Bawa Emak” – Pemuda Tidak Kekok Beristerikan Wanita 23 Tahun Lebih Berusia

“Ada Orang Ingat Saya Bawa Emak” – Pemuda Tidak Kekok Beristerikan Wanita 23 Tahun Lebih Berusia

Sepanjang tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, pemuda yang dikenali sebagai Azmirullah Azan mengakui bahagia menjalani kehidupan bersama isteri malah tidak kekok hanya kerana perbezaan umur antara mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kebiasaannya, setiap insan mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih seseorang untuk dijadikan pasangan hidup.

Ada yang menjadikan faktor kewangan yang kukuh dan rupa paras elok sebagai syarat utama. Ada juga segelintir yang melihat usia seseorang sebelum memilih pasangan.

Namun kalau hati sudah terpikat, semua itu bukanlah menjadi halangan dan sedia menerima seseorang itu seadanya.

Beza Umur 23 Tahun, Pemuda Tak Malu Kahwini Wanita Berusia

Itulah yang dialami oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Azmirullah Azan dan pasangannya, Wan Nazihah Wan Awang.

Perbezaan umur bukan menjadi halangan buat Azmirullah yang berusia 28 tahun untuk membina mahligai cinta bersama isterinya yang berumur 51 tahun.

Jelas Azmirullah, keikhlasan dan kasih sayang dalam perhubungan yang menyatukan dia dan isteri hingga membuatkan perkahwinan yang dibina pada tahun 2019 bertahan sehingga kini.

Hanya Ambil Masa 3 Bulan Kenali Hati Budi

Kongsi lelaki yang berasal dari Gong Badak, Terengganu itu, dia mula berkenalan dengan isteri pada Mei 2019 dan berkahwin pada bulan Ogos tahun yang sama.

Jelasnya, keserasian dan keinginan untuk membantu menguruskan perniagaan pasangan menjadi pendorong untuk mereka berkahwin dengan isterinya yang pada ketika itu berstatus ibu tunggal kepada lima orang anak.

“Kami berkenalan di Facebook (FB) dan memang tak sempat bercinta lama pun kerana ambil keputusan berkahwin selepas tiga bulan mengenali hati budi satu sama lain.

“Waktu itu, perniagaan isteri perlahan dan saya tawarkan diri bantu supaya dia bangkit semula.

“Niat asalnya membantu, tapi ditakdirkan berkahwin dan saya anggap ia jodoh ketentuan Allah SWT. Keluarga tak halang, malah anaknya (anak tiri) pun terima saya daripada awal hingga kini walaupun umur yang sulung sebaya dengan saya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Tidak Pernah Malu & Bahagia Jalani Kehidupan Bersama Isteri

Sepanjang tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, Azmirullah mengakui bahagia menjalani kehidupan bersama isteri malah tidak kekok hanya kerana perbezaan umur antara mereka.

Bukan itu sahaja, dia juga tidak pernah berasa malu membawa isterinya keluar bersama dan isterinya sentiasa menjadi peneman.

“Saya terlalu sayang isteri, sampai hampir 24 jam berkepit dengannya. Kalau pergi majlis atau acara keramaian pun, pasti akan bawa isteri.

“Memang ada orang ingat saya bawa emak, tapi ia perkara biasa dan tak malu pun nak mengaku dia isteri saya kerana memang itu kenyataannya.

“Banyak kenangan manis kami cipta bersama, cuma mulut orang tak boleh tutup kerana ada saja cakap buruk, salah satunya tuduh saya kahwin dengan isteri sebab menumpang kesenangan.

“Hakikatnya saya tak duduk goyang kaki kerana masih bekerja membantu isteri jual gas, iaitu perniagaan diusahakannya,” jelasnya.

Malah, Azmirullah turut menzahirkan rasa syukur apabila banyak mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada isteri dalam perniagaan.

Hubungan Direstui Keluarga Kedua Belah Pihak

Dalam pada itu, Wan Nazihah mendedahkan dia memegang status sebagai ibu tunggal selama lima tahun selepas pemergian suami pertama pada tahun 2014 akibat diabetes.

Kongsinya, dia terbuka untuk berkahwin lagi dan sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dipertemukan dengan lelaki yang baik sebagai pengganti.

“Suami tegur dulu di FB, mulanya dengan like gambar saya, kemudian kami berkenalan dan tak lama selepas itu, dia ajak berkahwin.

“Saya terima kerana dia lelaki baik, cuma buat sunat istikharah, minta petunjuk Allah, seandainya itu yang terbaik mohon permudahkan.

“Alhamdulillah urusan perkahwinan jadi mudah kerana hubungan kami direstui emak dan ayah, juga keluarga kedua-dua belah pihak. Kini, sudah tujuh tahun kami berkahwin.

“Suami muda, tapi matang, malah paling penting bertanggungjawab walaupun umurnya baru awal 20-an waktu kami berumah tangga.

“Kalau baca komen di media sosial, memang ada saja yang negatif dan persoalkan hubungan kami, tapi bagi saya, tak ada masalah pun kerana ramai saja wanita di luar sana ada pasangan muda,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan: Cinta Tak Kenal Usia, Pemuda Pilih Warga Emas Sebagai Pasangan Hidup Meskipun Jarak Umur 34 Tahun [Video]

Baca Artikel Berkaitan: ‘Kalau Dah Jodoh’, Pasangan Warga Emas Bernikah Semula Setelah 44 Tahun Berpisah

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.