3 Kereta Milik Cikgu Chandra Dibakar, Rakaman Insiden Turut Tular Di Media Sosial [Video]
Menurut Pendakwah Bebas, Firdaus Wong mujur ketibaan polis dan bomba tiba cepat untuk memadamkan kebakaran sekali gus mengawal keadaan di kediaman Cikgu Chandra.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung telah memuat naik satu hantaran memaparkan kenderaan dan rumah dipercayai milik aktivis, Cikgu Chandra di Puchong telah diserang sehingga menyebabkan cermin kereta dan tingkap kediaman pecah.
Dalam hantaran itu, Firdaus memaklumkan Cikgu Chandra telah menghubunginya dan mendakwa “ada pihak yang mahu membunuhnya”.
“Dia memaklumkan kepada saya bahawa 3 lelaki memakai topeng penuh bersenjatakan parang masuk ke perkarangan rumahnya dan pecahkan cermin kereta dan tingkap rumahnya di Puchong serta cuba pecah masuk ke dalam rumah.
“Siapakah pelakunya dan siapakah dalangnya? Mohon pihak berkuasa siasat dan tangkap kesemua pelaku serta mereka yang menghasut sehingga mereka berani melakukan semua ini. Polis dalam perjalanan ke rumahnya (Cikgu Chandra) sekarang,” tulisnya di Facebook.
Kereta Cikgu Chandra dibakar awal pagi tadi
Terbaharu, Firdaus Wong pada awal pagi tadi telah memuat naik satu hantaran di Facebook memaklumkan sebanyak tiga buah kereta milik Cikgu Chandra telah dibakar.
Dakwanya lagi, turut berlaku cubaan untuk membunuh aktivis berkenaan.
“Petang tadi tiga buah kereta dengan beberapa lelaki memakai topeng penuh dan bersenjatakan parang cuba membunuh Cikgu Chandra.
“Awal pagi tadi dalam (jam) 3 lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra! Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan,” dakwa Firdaus dalam satu lagi hantaran yang dimuat naik memaparkan bomba serta polis telah berada di lokasi kejadian.
Turut kongsi rakaman CCTV ketika insiden berlaku
Dalam satu lagi hantaran yang dikongsikan oleh pendakwah berkenaan, dia turut berkongsi rakaman litar tertutup yang dipercayai memaparkan insiden rumah Cikgu Chandra diserang dan ketika kereta terbabit dibakar.
“Rakaman video dan CCTV serangan di rumah Cikgu Chandra pada 3.45 petang (9 Mac) di mana dua buat kenderaan berhenti dan beberapa individu keluar menyerang rumah Cikgu Chandra.
“Terdapat juga rakaman CCTV individu membakar kereta Cikgu Chandra pada 3.19 pagi (10 Mac).”
Polis kawal kawasan persekitaran rumah Cikgu Chandra
Menurut Firdaus Wong, Cikgu Chandra telah memaklumkan padanya pihak polis kini sedang mengawal kawasan persekitaran kediamannya dan menjaga keselamatan keluarganya.
“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam waktu terdekat ini. Jangan marah polis kerana mereka sedang menjalankan tugas mereka,” katanya.
Difahamkan serangan (di rumah) terbabit berlaku beberapa hari selepas pendakwah bebas iaitu Zamri Vinoth telah diserang oleh sekumpulan lelaki sewaktu berada di dalam kenderaannya.
Memetik laporan Berita Harian, Cikgu Chandra menjelaskan insiden rumah diserang lelaki bertopeng berlaku pada jam 3.30 petang, dia berada di rumah bersama dengan dua anak sebelum menyedari dua individu lelaki yang tidak dikenali bertindak membuka pagar rumahnya.
Lelaki berkenaan memakai topeng berwarna hitam serta membawa senjata parang kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan Perodua Viva Cikgu Chandra serta merosakkan jeriji besi hadapan rumah.
“Ketika menyedari kedatangan suspek, saya terus menutup pintu hadapan rumah dan mereka masih mengetuk pintu hampir tiga minit.
“Ketika itu, saya berada di ruang makan. Saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang sesuatu berlaku terhadap saya dan keluarga,” ujarnya, kepada Harian Metro.
Isteri Cikgu Chandra pula ketika insiden berlaku sedang berada di tempat kerja.
Jiran maklum ada dua buah kereta di luar rumah ketika insiden rumah diserang
Katanya, jiran turut memberitahu ada sekitar enam individu menaiki sebanyak dua buah kenderaan dipercayai berada di luar rumah sewaktu insiden berlaku.
“Saya tidak sangka perkara ini berlaku. Ini jenayah kekerasan yang terang-terang berlaku terhadap saya.”
Cikgu Chandra turut memaklumkan laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara.
“Saya buat laporan untuk keselamatan diri dan keluarga kerana bimbang sesuatu berlaku pada masa akan datang,” jelasnya.
Terdahulu aktivis itu turut mendakwa pernah diserang pada Disember 2022 serta Oktober 2024 sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian tangan.
GARAH salur maklumat kepada PDRM
Dalam pada itu, Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) telah bertindak menyalurkan maklumat kepada polis untuk membantu siasatan serta mengenal pasti individu yang didakwa terlibat dalam kejadian membakar kereta Cikgu Chandra.
Jelas GARAH, maklumat yang diberikan itu turut berhubung serangan terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth.
“Pihak GARAH juga dalam proses mengumpul maklumat lanjut yang diperlukan bagi membantu PDRM ke arah penegakan kedaulatan masing-masing.
“Pihak GARAH juga akan mengadakan perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) mengenai langkah seterusnya pada hari ini (10 Mac) yang sedang diuruskan oleh pihak sekreteriat,” jelasnya, lapor Sinar Harian.



