“Tak Macam Disangka” – Lelaki Kongsi Pengalaman & Sisi Sebenar Masyarakat Ketika Berkunjung Ke Iran
Berdasarkan perkongsiannya, dapat dilihat ramai wanita di Iran yang hanya memakai selendang sehingga menampakkan rambut berwarna dan tidaklah dipaksa berpudah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Republik Islam Iran atau Iran adalah sebuah negara Islam yang terkenal dengan ketegasannya dalam menegakkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakatnya.
Mungkin ramai yang menganggap Iran sebagai sebuah negara yang bersikap konservatif dan tegas terhadap rakyatnya. Selain itu, timbul juga dakwaan rakyat republik itu yang majoritinya berpegangan Syiah tidak suka pada seorang Sunni.
Namun kadangkala bukan semua yang digembar-gemburkan dalam media adalah perkara yang benar.
Lelaki Kongsi Pengalaman Backpacking Di Iran
Itulah seperti yang dikongsikan oleh seorang pengembara yang dikenali sebagai Mr Turis.
Menerusi hantaran di Threads (@turis.sesat), dia berkongsi pengalamannya ketika menjejakkan kaki ke Iran beberapa tahun lalu dalam trip backpacking selama dua minggu.
Katanya, sebelum bertolak ke negara itu, pelbagai ketakutan yang bermain dalam otaknya. Namun setibanya di sana, dia merasakan perkara itu semuanya tidak benar.
“Orang cakap, orang Syiah kalau jumpa Sunni, kena sembelih la apa la. Tak boleh buat itu la, buat ini. Tapi sekali dah sampai sana, semua tu dusta,” katanya.
Tambahnya lagi, dia turut disoal siasat oleh pihak kerajaan tentang alasan untuk ke Iran kerana dikhuatiri dia bertujuan untuk menyertai peperangan bersama Islamic State in Iraq and Syria (ISIS).
Wanita Di Iran Tak Dipaksa Pakai Purdah
Antara isu yang hangat dikaitkan dengan Iran adalah dakwaan bahawa golongan wanita di negara itu ditindas. Malah mereka juga dikatakan akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak memakai tudung.
Namun menurut lelaki itu, dia berkata kebanyakan wanita di Republik Islam itu hanya memakai selendang yang menampakkan rambut mereka yang diwarnakan.
“Tak ada la macam tengok kat media, semua pakai purdah hitam. Ada yang cakap jangan pakai seluar jeans kat Iran, nanti kena tangkap. Palsu. Melambak orang Iran ni pakai seluar jeans,” katanya.
Tambahnya lagi, dia turut berjumpa ramai wanita Iran dengan plaster di bahagian hidung, dipercayai kerana melakukan pembedahan bagi memancungkan hidung mereka.

Orang Iran Bersarapan Di Rumah, Tak Banyak Kedai Buka Waktu Pagi
Selain itu, pengembara itu juga berkongsi beberapa budaya yang diamalkan oleh masyarakat di republik berkenaan.
Katanya adat mereka adalah bersarapan di rumah sahaja, jadi agak sukar untuk dia mencari kedai makanan yang buka di waktu pagi bagi sarapan.
“Makan sarapan hari-hari aku beli roti keras, cicah jem oren dan mentega. Puas aku jalan cari kedai buka sarapan pagi kat Tehran, tapi tak ada. Cuma ada kedai jual roti ni je,” ujarnya.
View on Threads
Pengebumian Di Iran Sangat Meriah
Mr Turis turut berkesempatan menyaksikan upacara pengebumian masyarakat Iran ketika dia berjalan di sekitar kampung di pinggir Tehran.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara upacara pengebumian di sana dengan yang biasa kita saksikan di mana-mana negara lain.
“Macam pelik sikit sebab biasa kalau pengebumian ni sedih kan. Tapi mereka berpesta. Ketawa sakan.
“Bila ditanya kenapa meriah sangat, mereka cakap gembira sebab saudara mereka sudah pergi berjumpa Tuhan. Tak perlu lagi bersusah-payah di dunia,” katanya.
Tambahnya lagi, kubur di Iran turut menyatakan kerjaya seseorang ketika masih hidup serta gambar mereka yang dipahat pada kepuk nisan.
Di ruangan komen, dia berkata masyarakat Iran sememangnya amat mesra dan ramah, sehingga pernah diajak singgah ke rumah walaupun tidak dikenali mereka.
View on Threads
Ramai Percaya Pengalaman Lelaki Di Iran Berbanding Propaganda Pihak Tertentu
Menjenguk ke ruangan komen, ramai yang berterima kasih kepada lelaki itu kerana berkongsi situasi sebenar di Iran dan turut berpendapat bahawa segala perkara negatif yang dikatakan tentang republik Islam itu adalah propaganda pihak tertentu.
“Sedap dibaca. Sebab itu orang kata jangan percaya 100% apa yang dikatakan dalam media, terutamanya dalam propaganda barat,” kata seorang individu.
“Siap ada kata perempuan sana tak dapat pendidikan. Tapi bila sekolah perempuan kena bedal, baru kita tercongak-congak fakta ke auta,” kata seorang lagi.
Dalam masa sama, sesetengah pengguna media sosial turut berkongsi pengalaman mereka atau kenalan yang pernah menjejakkan kaki ke Iran.
“Semua pasal teokrasi Iran ‘sorok’ dan tindas perempuan adalah propaganda dunia Barat. Ramai je perempuan di jalanan yang pakai selendang nampak jambul dan seluar jeans. Tak kena tahan pun,” kata seorang wanita.
“Ada satu masa, kad saya tak boleh guna di Metro. Ada satu wanita ni bantu saya. Saya cuba bayar padanya tapi dia tak mahu,” seorang lagi wanita berkongsi pengalamannya ketika di Iran.
“Orang Syiah chill je bila tahu kita Sunni. Kita je dimomok-momokkan pasal ‘Syiah sembelih Sunni’. Kadang kita yang melebih dalam prasangka,” seorang individu berkongsi pendapatnya.










