AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu
Serangan AS ke atas Iran telah mengakibatkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bekas Presiden Mahmoud Ahmadinejad terkorban.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, masyarakat global dikejutkan dengan ‘operasi pertempuran besar’ yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) bersama Israel ke atas Iran pada Sabtu (28 Februari).
Serangan tersebut telah mengorbankan lebih 200 nyawa termasuk pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang disahkan oleh televisyen kerajaannya semalam (1 Mac).
Sehubungan itu, Alireza Arafi dilantik ke dalam majlis kepimpinan sementara Iran pada hari sama dan negara itu mengadakan tempoh berkabung selama 40 hari.
Malah, bekas Presiden Mahmoud Ahmadinejad turut dilaporkan terkorban dalam satu serangan udara di Tehran.
Sebagai tindak balas, Iran kemudiannya melancarkan peluru berpandu ke Israel dan beberapa negara Teluk yang mempunyai kepentingan AS, termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Setakat ini, sembilan individu di Israel terbunuh, manakala tiga anggota tentera AS turut terkorban sewaktu operasi ketenteraan terhadap Iran.
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar
Banyak Kapal Perang & Pesawat Pejuang AS Dihantar Ke Asia Barat Sejak Awal 2026
Sejak Januari 2026, AS telah menambah kehadiran kapal perang termasuk puluhan pesawat pejuang ke Asia Barat. Menurut Presiden AS, Donald Trump, ia sebagai satu amaran kepada Iran, namun tindakannya itu dikhuatiri dapat menjejaskan kestabilan di rantau tersebut sama ada:
- Serangan menyasarkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran
- Cuba menghapuskan program peluru berpandu Iran seperti kemahuan Israel
- Cuba memaksa perubahan rejim di Tehran
Iran bagaimanapun telah menegaskan akan membalas dendam jika berdepan serangan.
Pun begitu, Trump dilaporkan berkali-kali berkata lebih suka laluan diplomatik yang dapat menghasilkan perjanjian bagi menangani program nuklear Iran, keupayaan peluru berpandu balistiknya dan sokongan terhadap kumpulan pejuang Hizbullah dan Hamas.
Senarai Aset Perang AS Di Asia Barat
Setakat hari ini (2 Mac), terdapat kira-kira 13 kapal perang AS yang ditempatkan di Asia Barat termasuk kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, sembilan kapal pemusnah dan tiga kapal frigat.
Dijangkakan lebih banyak aset ketenteraan yang akan tiba termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia, USS Gerald Ford.
Selain itu, puluhan pesawat perang bersama puluhan ribu tentera AS turut ditempatkan di seluruh rantau yang bergolak itu.
Keputusan Akan Dibuat Sama Ada Untuk Serang Iran Jika Tiada Perjanjian Nuklear Dicapai – Trump
Memetik laporan Berita Harian, Trump sebelum ini memaklumkan keputusan akan dibuat dalam masa 10 ke 15 hari sama ada untuk melancarkan serangan ke atas Iran jika perjanjian nuklear tidak dicapai.
Ini susulan dua pusingan rundingan tidak langsung yang diadakan antara kedua-dua kuasa itu di Oman dan Switzerland.
Utusan Trump, Steve Witkoff, bagaimanapun berkata Presiden itu terkejut dengan pendirian Iran walaupun terdapat peningkatan besar-besaran ketenteraan AS.
“Pentadbiran Trump kemungkinan besar menyasarkan konflik terhad yang membentuk semula keseimbangan kuasa tanpa memerangkapnya dalam keadaan kucar-kacir,” kata Alex Vatanka, penganalisis di Institut Asia Barat di Washington.
Tambahnya lagi, Iran kini menjangkakan kempen ketenteraan berimpak tinggi yang pendek yang akan melumpuhkan infrastruktur peluru berpandunya, melemahkan pencegahannya dan menetapkan semula keseimbangan kuasa selepas perang 12 hari dengan Israel pada Jun 2025.
Trump Keluar Amaran Campur Tangan ‘Bantu’ Rakyat Iran Selepas Gerakan Protes Januari
Mengulas soal campur tangan AS terhadap perkembangan di Asia Barat, Trump sebelum ini menegaskan bahawa program nuklear Iran telah dimusnahkan dalam serangan yang menyasarkan kemudahan pengayaan uranium.
Namun media melaporkan keadaan yang berubah selepas gerakan protes di Iran yang diadakan pada Januari lalu sebelum ditumpaskan oleh pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, Trump beberapa kali mengeluarkan amaran untuk campur tangan bagi ‘membantu’ rakyat Iran. Katanya lagi, perubahan rejim di Iran akan mengukuhkan “dinamik ke arah keamanan di rantau itu”.
Namun, masyarakat dunia kurang bersetuju dengan cubaan Trump untuk campur tangan memandangkan itu adalah urusan negara Iran sendiri.
Bahkan pembangkang Demokrat risau tindakan Trump akan menyebabkan AS terlibat dalam kekacauan ganas dan meminta agar rundingan diadakan dengan Kongres.
Dalam pada itu, bekas Presiden Majlis Hubungan Luar Negeri AS, Richard Haas, berkata tidak jelas apakah kesan konflik dalam apa jua tempoh dan skala terhadap Kerajaan Iran.
“Ia boleh menguatkannya sama seperti melemahkannya dan mustahil untuk mengetahui apa yang akan menggantikan rejim ini jika ia jatuh,” katanya.
Setiausaha Negara, Marco Rubio pula memaklumkan pada Senat bahawa tiada siapa yang mengetahui apa yang akan berlaku jika pemimpin agung Iran digulingkan.
Sebelum ini, monarki negara Arab di Teluk turut menyatakan kebimbangan menjadi sasaran dalam serangan balas jika berlakunya campur tangan Trump selain berwaspada terhadap sebarang ketidakstabilan di rantau berkenaan.
Isu di Iran disifatkan sebagai lebih kompleks daripada serangan AS ke Venezuela pada Januari lalu, kata Mona Yacoubian dari Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa.
Info Tentang Peluru Berpandu Iran
Kebimbangan mereka akhirnya terbukti apabila Iran menyerang balas aset ketenteraan AS di beberapa negara Teluk dan Israel dengan menggunakan peluru berpandu balistik. Namun negara Oman yang sebelum ini menjadi tuan rumah sewaktu perbincangan antara Iran dan AS terkecuali.
Secara amnya, selain menjadi sasaran Israel untuk dimusnahkan, program peluru berpandu Iran yang dikatakan mempunyai stok terbesar di Asia Barat, juga dianggap oleh Kuasa Barat sebagai ancaman ketenteraan konvensional terhadap kestabilan di Asia Barat.
Ia turut dikaitkan sebagai mekanisme penghantaran senjata nuklear yang didakwa sedang dibangunkan, namun Iran menafikan sebarang pembangunan bom atom.
Sekadar info, misil peluru berpandu mempunyai jarak kendiri sehingga 2,000km yang boleh mencapai Israel, sekali gus mampu melindungi Iran.
Banyak tapak peluru berpandu terletak di sekitar Tehran, manakala sekurang-kurangnya lima ‘bandar peluru berpandu’ bawah tanah yang diketahui di beberapa wilayah lain.
Kali terakhir peluru berpandu itu digunakan adalah dalam perang 12 hari dengan Israel pada Jun 2025 yang menyebabkan puluhan terbunuh dan merosakkan bangunan.



