Kes Kematian Syamsul Haris: 3 Jurulatih PALAPES Mengaku Tak Bersalah
Tiga jurulatih PALAPES yang juga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu secara bersama telah didakwa melakukan perbuatan dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut kepada Syamsul Haris terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini pada 28 Julai yang lalu, seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin telah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor sebaik menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat.
Kematian Syamsul Haris awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Reaport) disebabkan oleh radang paru-paru atau pneumonia. Namun ibu kepada Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun tidak mempercayai itu adalah punca kematian anaknya.
Pada 14 Ogos Ummu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam meminta jenazah anaknya digali semula untuk bedah siasat dilakukan untuk kali kedua serta inkues ke atas kematiannya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Reina Lum Ulas Kes Kematian Syamsul Haris Selepas Diklasifikasikan Semula Sebagai Kes Bunuh [Video]
3 jurulatih mengaku tak bersalah
Terbaharu, tiga jurulatih PALAPES, UTM didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin pada tahun lalu
Tiga jurulatih, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, serta Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Jurulatih yang juga pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu secara bersama telah didakwa melakukan perbuatan dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh membawa maut kepada pelatih terbabit.
Memetik laporan Berita Harian, kesalahan tersebut didakwa dibuat di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara di Kota Tinggi sekitar jam 2 hingga 3 petang pada 28 Julai 2025.
Pendakwaan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta denda.
Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif memaklumkan mahkamah, kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin.
TPR cadang RM50,000 untuk diikat jamin
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa yang juga mengendalikan pendakwaan telah mencadangkan jaminan berjumlah RM50,000 untuk setiap jurulatih berkenaan, sekiranya pihak mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.
Mereka yang tidak diwakili peguam kemudian memohon jaminan lebih rendah kerana mempunyai tanggungan seperti isteri dan anak.
Pengurangan diberikan RM25,000 dengan seorang penjamin, pasport perlu diserahkan
Mahkamah lalu membenarkan setiap jurulatih berkenaan diikat jamin sebanyak RM25,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Selain itu, pasport antarabangsa juga perlu diserahkan kepada mahkamah.
Dalam masa sama mahkamah menetapkan 13 April bagi sebutan semula kes untuk:
- Lantikan peguam
- Serahan dokumen
- Kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa
Tertuduh minta kurang lagi, jelaskan dah lama berkhidmat dengan ATM
Selepas prosiding selesai, Mohd Azmi secara tiba-tiba bersuara untuk meminta jumlah jaminan RM25,000 berkenaan dikurangkan.
Tertuduh memberi alasan telah lama berkhidmat dengan ATM serta tidak pernah membuat sebarang kesalahan disiplin sepanjang berkhidmat.
“Kami sudah berkhidmat lebih 20 tahun, kami tidak pernah dihadapkan ke mahkamah.
“Sebagai penjawat awam, kami bekerja dengan ikhlas, siang malam jaga kadet kami. Kami ada anak isteri. Kami akan pastikan kami akan hadir ke mahkamah, itu janji kami,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, hakim memaklumkan tuduhan yang dihadapi oleh tiga tertuduh adalah berat, namun akan meringankan syarat penjamin seramai dua orang.
Hakim kurangkan RM20,000
Tiga jurulatih itu bagaimanapun tidak bersetuju serta Mohd Azmi sekali lagi memberitahu tidak meminta insiden terbabit berlaku (kematian mangsa), sebelum hakim memotong kata-katanya.
“Jangan, saya tak boleh dengar fakta kes lagi sekarang (peringkat ini).”
Hakim kemudian menurunkan jumlah jaminan daripada RM25,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap jurulatih itu.



