Pelajar Disyaki Pijak Al-Quran Sudah Ditahan Polis, UMPSA Jalankan Siasatan
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman pihak polis telah menahan individu yang disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu hantaran memaparkan tindakan tidak sopan seorang individu yang didakwa memijak al-Quran.
Individu berkenaan turut didakwa pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Hantarannya itu turut membuatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam berang serta meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
UMPSA jalankan siasatan berhubung individu muat naik hantaran pijak al-Quran
UMPSA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut dan tindakan tegas bakal diambil.
Jelasnya, UMPSA memandang serius terhadap penyebaran kandungan di media sosial menerusi akaun milik individu melibatkan universiti itu yang menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) sehingga mencetuskan ketegangan kaum serta menggugat keharmonian awam.
“UMPSA tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan palsu atau menghasut kebencian. Sentimen 3R ini tidak boleh dipandang remeh dan setiap individu perlu menjaga batasan serta sensitiviti.
“Siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Univerisiti dan Kolej Universiti (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) (Tatatertib Pelajar) 2024,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Warga UMPSA dinasihatkan tidak sebarkan kandungan 3R di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara
Menurut UMPSA lagi pihaknya sentiasa mengingatkan semua warga universiti untuk sentiasa mengutamakan sikap hormat-menghormati serta kasih sayang dalam hidup bermasyarakat.
Selain itu turut diingatkan warga UMPSA untuk tidak menyebarkan kandung menyentuh isu berkaitan agama, kaum serta institusi diraja (3R) di media sosial yang boleh menggugat keamanan negara.
Individu tular pijak al-Quran ditahan polis
Terbaharu, polis telah bertindak menahan individu terbabit pada hari ini (25 Februari) untuk siasatan lanjut selepas disyaki menghina Islam di media sosial.
Jelas Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, penuntut berkenaan ditahan pada awal pagi tadi.
“Polis sudah menahan penuntut disyaki menghina Islam dan untuk siasatan lanjut,” ujarnya, lapor, Berita Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan & Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
Kata beliau lagi, polis juga akan mendapatkan perintah reman terhadap individu berkenaan pada hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan penjara hingga dua tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, penuntut berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandung jelik.
Sekiranya sabit kesalahan, individu boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.



