Nak Berbuka Di Masjid Tapi Takut Ambil Hak Orang? Masjid Tampil Beri Penjelasan
Satu hadis Rasulullah SAW menyatakan bahawa seseorang yang memberi makan kepada orang berpuasa untuk berbuka akan mendapat pahala.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap kali di bulan Ramadan, boleh dikatakan rata-rata masjid pasti akan mengadakan majlis berbuka puasa buat para jemaahnya.
Kebiasaannya, jamuan itu diadakan menerusi hasil sumbangan infak daripada orang ramai sepanjang bulan Ramadan.
Pun begitu, terdapat sesetengah individu yang berasa risau untuk berbuka dengan makanan yang disediakan di masjid kerana khuatir mengambil hak orang lain, yakni mereka yang lebih memerlukan.
Baca Artikel Berkaitan: Korang Naik Public Transport? Ini Senarai Masjid & Surau Untuk Berbuka Puasa Berdekatan MRT, LRT & Monorel
Niat Sumbangan Infak Biasanya Bagi Tujuan Iftar Sa’im
Baru-baru ini, Masjid Abu Al-Darda’ yang terletak di Nilai Impian, Negeri Sembilan tampil memberi penjelasan mengenai isu ini.
Katanya, penyumbang infak selalunya tidaklah bertujuan menyediakan jamuan berbuka puasa untuk orang yang memerlukan sahaja.
Sebaliknya, niat mereka adalah lebih meluas iaitu untuk “memberi makan orang berbuka puasa” yang dikenali sebagai iftar sa’im.
Iftar Sa’im Berhak Kepada Semua Yang Berpuasa
Tambahnya lagi, ini bermakna jamuan itu berhak dinikmati oleh sesiapa sahaja yang sedang berpuasa pada hari tersebut tidak kira sama ada dia berkemampuan mahupun kaya sekalipun.
Malah terdapat juga hadis yang menyatakan seseorang boleh mendapat pahala jika menyumbang makanan untuk orang berpuasa, seperti sabda Rasulullah SAW:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka), maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.”
Riwayat al-Tirmidzi (807); Ibnu Majah (1746)
“Kalau anda tak datang makan, macam mana penyumbang nak dapat pahala tu? Kehadiran anda sebenarnya membantu penyumbang capai hajat mereka,” kata pihak masjid.
Namun begitu, orang ramai diingatkan agar berpada-pada dan tidak tamak apabila mengambil makanan yang dihidangkan di masjid sewaktu berbuka. Kata orang, ingat pada orang belakang juga.
View on Threads
Fungsi Masjid Sebagai Pusat Komuniti Tanpa Mengira Latar Belakang
Mengulas lanjut, Masjid Abu Al-Darda’ menjelaskan fungsi masjid khususnya berkaitan jamuan berbuka puasa bukanlah sekadar ‘food bank’ yang menyediakan makanan bagi orang susah.
Sebaliknya ia merupakan sebuah pusat komuniti yang terbuka untuk masyarakat umat Islam tanpa mengira kaum, status mahupun latar belakang ekonomi.
“Bila kita berbuka ramai-ramai, di situ ada keberkatan (barakah). Duduk semeja, borak kejap antara Maghrib dan Isyak, ini yang membina ukhuwah. Kalau semua orang ‘mampu’ duduk rumah, masjid jadi sunyi,” katanya.
Infak Semula Kepada Masjid Jika Berkemampuan
Namun kata pengendali akaun masjid itu lagi, sekiranya masih wujud perasaan ‘bersalah’ kerana berpendapat masih ada individu yang lebih memerlukan yang layak menjamah hidangan berbuka puasa di masjid, seseorang boleh berinfak semula.
“Datang dan makan, raikan jemputan masjid. Infak semula kalau rasa mampu. Selitkan sikit sedekah dalam tabung masjid atau bawa buah sikit untuk dikongsi,”
“Kesimpulannya, janganlah rasa rendah diri atau serba salah. Kehadiran anda memeriahkan rumah Allah SWT.
“Makanan yang disediakan itu adalah rezeki dan jemputan Allah SWT buat anda. Jangan tolak rezeki, jangan putuskan rantaian pahala penyumbang,” ujarnya.
Sebagai info, budaya menyediakan makanan berbuka di masjid untuk orang yang berbuka puasa khususnya pada bulan Ramadan bukan sahaja dilakukan di Malaysia. Malah negara-negara Islam seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Indonesia dan beberapa lagi negara Islam lain turut mengamalkan perkara sama.
Baca Artikel Berkaitan: UAI Dedah Haram Hukumnya Jika Bawa Balik Makanan Berlebihan Dari Masjid Tanpa Minta Izin
Baca Artikel Berkaitan: Masjid Prima Saujana Kajang Mohon Maaf Laung Azan 4 Minit Awal, Jemaah Perlu Ganti Puasa
Baca Artikel Berkaitan: “Baik Sedekah Di Masjid” – Peniaga Bazar Buang Lebihan Air Balang Tak Terjual Raih Perhatian [Video]



