“Tukar Angin Lepas Bukan Lagi Menteri” – Rafizi Dedah Caprice Pernah Minta Jumpa Pegawainya [Video]
Caprice bagaimanapun merasakan ia hanyalah satu perbualan biasa dan peluang untuknya memberikan idea memandangkan mereka sebelum ini pernah bertemu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sekitar minggu lalu, kecoh apabila rapper dan pempengaruh, Ariz Ramli, atau lebih dikenali sebagai Caprice berkongsi beberapa tangkap layar sebagai ‘bukti’ bahawa bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli terlibat dengan satu dakwaan salah laku dan skandal rasuah.
Rafizi kemudiannya menuntut agar Caprice melakukan permohonan maaf atau berdepan tindakan undang-undang.
Caprice bagaimanapun tidak mengendahkan tuntutan itu dan Rafizi mengesahkan akan meneruskan saman terhadap pempengaruh terbabit.
Rafizi Dedah Caprice ‘Tukar Angin’ Semasa & Selepas Bukan Lagi Menteri Ekonomi
Terbaharu, Rafizi menjelaskan bagaimana pempengaruh itu telah ‘bertukar angin’ selepas beliau tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan Madani.
Menerusi hantaran di media sosial, Rafizi berkata beliau sebelum ini telah menjelaskan semua fitnah yang dibuat oleh Caprice dan menyerahkan urusan saman kepada peguamnya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan bahawa Caprice pada tahun 2024 pernah meminta untuk berjumpa dengan pegawai di pejabatnya ketika masih memegang jawatan Menteri Ekonomi.
“Jadi tinggal satu saja lagi, perkongsian bagaimana Caprice bertukar angin, dari semasa saya jadi menteri kepada selepas saya bukan jadi menteri,” katanya.
Caprice Minta Berjumpa Dengan Pegawai Di Pejabat Menteri Ekonomi
Dalam tangkap layar mesej WhatsApp yang dikongsi oleh Rafizi bertarikh 4 Januari 2024, sekitar jam 3.25 pagi, Caprice pernah meminta untuk berjumpa dengan seorang pegawai di pejabatnya.
“Saya perasan YB Rafizi di belakang dan membangunkan dua inisiatif ini. Sebenarnya Februari tahun lepas (2023), saya telah bentangkan kepada KPDNHEP tentang beberapa sistem subsidi,” tulis Caprice dalam mesej berkenaan.
Rafizi menjelaskan bahawa sewaktu itu Kementerian Ekonomi sedang merangka dasar penyelarasan semula subsidi.
Dalam mesej WhatsApp sama, Caprice turut menyebut pernah membuat pembentangan tentang aplikasi pertanian bergelar YouFarm kepada pasukan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.

Minta ‘Private Coffee Session’, Caprice Mahu Tunjuk ‘Kerjanya’ Untuk Kerajaan
Caprice kemudiannya bertanya kepada pegawai tersebut sama ada boleh mengadakan ‘private coffee session’ untuk berkongsi “apa lagi yang saya pernah buat untuk kerajaan Madani”.
Pada 11.36 pagi keesokan harinya, Caprice sekali lagi menghantar mesej kepada pegawai berkenaan yang tidak membalasnya, sebelum dimaklumkan mereka mungkin boleh berjumpa pada minggu hadapan.
”Siap cakap ‘I really wanna show you’. Pejabat saya tak layan. 9 Julai 2024, dia cuba lagi,” kata Rafizi.
Dalam mesej WhatsApp pada 9 Julai 2024, Caprice berkata, “Rafizi benar-benar memerlukan penjenamaan semula” dan bertanya semula tentang perjumpaan mereka.
Setelah mesejnya tidak dibalas, dia sekali lagi menghantar mesej pada 4 Mei 2025 dan bertanya sama ada pegawai berkenaan masih bekerja bersama Rafizi.
View on Threads
“Memang Ada Pempengaruh Macam ni, Semua Ni Job Je” – Rafizi
Dalam pada itu, Rafizi menasihati orang ramai agar tidak dengan sewenang-wenangnya mempercayai apa yang dikatakan oleh seorang pempengaruh.
Beliau mendakwa bahawa terdapat pempengaruh yang mengulas isu politik dan kepimpinan kerana itu merupakan ‘tugas’ mereka.
“Nasihat saya kepada orang ramai, memang kita senang terpengaruh dengan pempengaruh. Kerja dia mempengaruhi kita. Kalau pasal nak pilih ais krim atau sambal mana nak makan, OK lah nak berpandukan pempengaruh macam Caprice.
“Tapi kalau pasal politik, kepimpinan, sebelum buat keputusan, perhatikan dia konsisten ke tidak. Sebab memang ada pempengaruh macam ni. Semua ni bagi dia job je. Hari ni dia lambung Madani, esok kalau kerajaan bertukar dia lanyak Madani,” kata beliau.
“Yang bodoh ialah orang-orang politik juga yang dok cari dan bagi job kepada pempengaruh macam ni.”
Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
“Tu Bukan Pitching, Tu Staf Kamu Sidai” – Caprice
Caprice bagaimanapun merasakan ia hanyalah satu perbualan biasa dan peluang untuknya memberikan idea memandangkan mereka sebelum ini pernah bertemu.
Namun menurutnya, pegawai Rafizi hanya ‘menyidainya’, justeru pertemuan tersebut tidak berlaku.
“Tu bukan pitching lagi dekat kementerian Rafizi (Kementeri Ekonomi). Ni nama dia your staff sidai Caprice.
“Sepatutnya tanya pegawai tu kenape bagi harapan palsu dekat Caprice bila dia datang tegur dan hulur number kata kalau ade apa-apa idea boleh je share.
“Ni nama dia bongkar cari job? Satu whatsapp chat??
“Mana proposal? Ape proposal? Ape job yang cap mati-mati nak cari tu?
“Cap rasa orang yang jual coway, insurans, lagi semangat dari cap. Kita kalau 3 kali kene sidai, i give up,” kata Caprice.
SPRM Buka Siasatan Ke Atas Rafizi, Dakwaan Salah Laku & Rasuah
Sebelum ini, Rafizi menerusi kenyataan media di Facebook, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara tiba-tiba membuka siasatan ke atasnya terhadap dakwaan berlakunya salah laku dan rasuah semasa menjadi Menteri Ekonomi.
Dakwaan itu merangkumi dua dasar utama kerajaan iaitu:
- Program Visi Silikon yang melibatkan kerjasama strategik di antara Kerajaan Malaysia dan ARM untuk mencipta cip-cip semikonduktor pertama negara.
- Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan sasaran peralihan tenaga negara menjelang 2050 dan melibatkan pelaburan besar ke dalam industri hijau negara.
“Kedua-dua dasar utama kerajaan ini dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah melalui pelbagai proses kelulusan peringkat kerajaan (dari jawatankuasa kerja, ke majlis-majlis kabinet hingga keputusan Jemaah Menteri),” ujarnya.



