fbpx
Now Reading
“Anak Yang Sangat Baik” – Suami Amyza Syukur Dapat Temani Andre Mikhail Hingga Nafas Terakhir

“Anak Yang Sangat Baik” – Suami Amyza Syukur Dapat Temani Andre Mikhail Hingga Nafas Terakhir

Anak sulung Amyza Aznan, Allahyarham Andre Mikhail, 23, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas setahun menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (23 Februari), anak sulung pelakon Amyza Aznan, Andre Mikhail, 23, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.

Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Amyza menerusi hantaran Instagram Story di akaun miliknya.

“Assalammualaikum dengan dukacita anak saya Andre Mikhail bin Khairil Izhar telah pulang ke negeri yang abadi, minta semua sedekahkan al-Fatihah kepada anak saya,” tulisnya pada hantaran itu.

Sumber: Instagram

Suami Amyza Reda Pemergian Anak Sulung

Suasana hiba di hospital turut ditemani ahli keluarga dan juga beberapa barisan rakan seperjuangan termasuklah pelakon dan pengacara Didie Alias.

Menurut suami kepada Amyza, Khairil Idzhar Md Nazir, dia reda dengan pemergian anak sulungnya selepas setahun kuat berjuang melawan kanser paru-paru tersebut.

Jelasnya, pihak keluarga telah dimaklumkan untuk bersedia susulan keadaan arwah yang semakin kritikal pada Ahad lalu (22 Februari).

“Semalam lagi kami dah diberitahu yang keadaan anak agak kritikal, dan kami memang sentiasa tunggu saja sehingga habis,” kata Khairil, dipetik Gempak.

Sebelum ini, anak kedua Amyza, dalam satu temu bual turut mendedahkan bahawa abangnya sedang nazak.

Keadaan Arwah Sebelum Ini Seperti Ditidurkan Walaupun Masih Sedar – Si Bapa

Berbicara tentang keadaan arwah sebelum meninggal dunia, Khairil berkata Andre kelihatan seperti ditidurkan walaupun masih dalam keadaan sedar, namun tidak lagi mampu berbicara sehingga ke nafas terakhirnya.

Walau bagaimanapun, Khairil tetap bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan selain arwah yang pergi dalam keadaan tenang.

“Dia seorang anak yang sangat baik. Kami tak dapat bercakap dengan dia. Seperti ditidurkan walaupun dia sedar. Dan tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia.

“Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Dan perginya anak yang soleh ini, terlalu mudah bagi saya. Kerana dia pergi, saya ada di sebelah,” luahnya.

Syukur Dapat Temani Arwah Sepanjang Lawan Kanser Meskipun Diri Sendiri Sedang Sakit

Dalam masa sama, Khairil juga meluahkan rasa syukur kerana berkesempatan menemani arwah sepanjang tempoh itu hingga ke saat terakhir meskipun dirinya sendiri kurang sihat.

“Anak saya ni setahun dia melawan sakit kanser dia, dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat. Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu dia menangani masalah sakit dia.

“Itu yang menguatkan saya, perginya anak saya di bulan Ramadan. Alhamdulillah,” tambahnya lagi.

Lapor Bernama, jenazah Allahyarham Andre akan dibawa ke Masjid Al-Khairiah AU3 Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sekitar pukul 10 pagi hari ini.

Warganet Luah Rasa Hiba, Titip Kata Semangat Buat Amyza Sekeluarga

Menjengah ke paltform media sosial, orang ramai turut menzahirkan rasa dukacita selain mengucapkan salam takziah buat Amyza dan keluarga yang sedang menghadapi waktu sukar ini.

“Seorang mak kehilangan anak, semua mak terasa sakitnya. Moga Kak Amyza dikurniakan ketabahan dan kekuatan. Al-Fatihah buat arwah. Kesian pula tengok anak kedua dia baru tahu sakit kanser tulang, kena lalui kehilangan abang pula, tengok mak dia sedih lalui semua tu,” kata seorang wanita.

“Al-Fatihah dan salam takziah. Besar dugaan Amyza ni. Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga ini. Dari petang tadi saya sebak baca post-post pasal anak-anak Amyza,” ujar seorang lagi netizen.

Berikut antara komen-komen netizen:

Sumber: Threads

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.