Tular Kanak-kanak ‘Lepas Rindu’ Peluk Kubur Ibu, Bapa Tampil Beri Penjelasan [Video]
Menurut bapa kanak-kanak itu, kejadian berlaku ketika dia bersama anak bongsunya itu ke tanah perkuburan untuk membersihkan kubur arwah isterinya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pemergian ibu bapa di dunia ini sudah pasti akan menjadi antara perkara yang menyedihkan, namun setiap individu harus melaluinya kerana begitulah hakikat hidup yang hanya sementara.
Apa yang lebih memilukan apabila ada individu yang kehilangan insan tersayang di saat mereka masih memerlukan kasih sayang dan perhatian seperti anak kecil.
Tular kanak-kanak peluk kubur ibu untuk lepas rindu
Begitulah yang dilalui seorang kanak-kanak lelaki selepas tular videonya memeluk kubur ibu dalam keadaan meniarap kerana terlalu rindu insan terbabit.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @zulimaniempire, tindakan kanak-kanak bernama Muhammad Naufal Iman Zulfikar itu dirakam sendiri oleh bapanya.
“Aku tengah sibuk cabut rumput, eh anak bujang ini boleh baring atas kubur mama dia pula, bila tanya dia, rindu dekat mama, lama tak peluk mama, sabar eh sayang,” tulis di kapsyen.
@zulimaniempire Bila anak kau rindu dekat mama dia.. Aku tengah bz cabut rumput,eh anak bujang ni boleh barang atas kubur mama dia plak 🤦♂️..bila tanya dia,rinduuunya dekat mama.Lapa tak pelok mama 🥺🥺..sabar eh sayang 🥲. #alfatehahnurulhafizabintikamarulzaman ♬ original sound – Zul Empire
Bapa buka mulut, cerita apa yang terjadi sewaktu hari kejadian
Menurut bapanya, Zulfikar Ainul Yakin, 35, yang menetap di Bakar Batu, Johor Bahru, video berkenaan dirakam pada Ahad lalu (8 Februari) selepas tersentuh melihat tindakan anak bongsunya yang berusia sembilan tahun digelar Opal itu.
“Waktu itu kami ke tanah perkuburan untuk gotong-royong bersihkan kawasan kubur arwah isteri. Ketika cabut rumput sambil berbual dengan abang ipar, saya terpandang Opal dan bila ditanya kenapa, Opal beritahu dia rindukan mamanya.
“Pertama kali dia begitu tapi saya faham kerana dia terlalu manja dengan mamanya sampai makan pun bersuap. Tapi sekarang tak ada lagi, jadi setiap kali ke kubur, Opal akan bercakap di kubur ibarat mengadu dengan mamanya.
“Bagi melepaskan rindu, saya bawa anak ziarah kubur isteri, boleh dikatakan tiga kali dalam sehari,” katanya kepada Harian Metro.
Isteri tak tunjuk sebarang tindakan pelik sebelum meninggal dunia
Berkongsi lanjut, Zulfikar berkata arwah isterinya itu tidak menunjukkan kelakuan ganjil sebelum meninggal dunia malah mereka sempat makan malam bersama.
“Subuh keesokan harinya, isteri minta ibunya ambilkan ubat dan tolong urutkan tangannya yang kebas sebelum tidak sedarkan diri.
“Saya terus hubungi ambulans dan apabila diperiksa, bacaan tekanan darahnya terlalu tinggi kerana mencecah lebih 190. Jadi dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebaik tiba di hospital. Tapi Allah SWT lebih menyayanginya. Selepas koma 17 hari, isteri meninggal dunia,” katanya.
Zulfikar turut mengakui dirinya masih bersedih dan berduka dengan pemergian isterinya kerana sudah 12 tahun hidup bersama.
Ramadan pertama tanpa isteri tercinta
Lebih menyedihkan, Ramadan yang bakal tiba ini bakal menjadi bulan puasa pertama dia dan anak-anak tanpa isteri.
“Sedih itu sedih kerana setiap hari dengan dia (isteri) tapi saya reda dan ikhlaskan pemergian isteri sebab sedar, setiap yang bernyawa pasti akan pergi. Macam mana pun, hidup kena diteruskan dan perlu kuat kerana jika tidak, kasihan kepada anak.
“Ikutkan isteri tak sakit teruk sebelum meninggal dunia cuma tekanan darah tinggi. Itu menjadi asbab pemergiannya,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham Nurul Hafiza Kamarulzaman meninggal dunia pada 1 Januari lalu akibat strok hemoragik batang otak.



