fbpx

Usahawan Kafe Kongsi Perubahan & Perkara Yang Dilakukan Untuk Dapat Sijil Halal [Video]

Menurut pemilik kafe Palates & Bagels berkenaan, segala operasi dan standard yang dilakukan dalam mendapatkan sijil halal tidak mudah dan pelbagai perkara diubah dalam tempoh 9 bulan yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Mencari makanan yang halal merupakan satu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap individu muslim.

Ini kerana makanan halal bukan sahaja dari segi penyembelihan daging atau ayam tetapi kebersihan dan kualiti juga sentiasa dititikberatkan.

Oleh itu, banyak usahawan yang mengusahakan perniagaan makanan di luar sana termasuk di Malaysia berusaha keras untuk mendapatkan sijil halal bagi premis atau restoran yang diusahakan.

Bahkan proses untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bukanlah satu perkara mudah, banyak proses dan tatacara dari segi pengendalian makanan, bahan, alatan, keselamatan, serta keadaan premis yang digunakan juga diteliti secara terperinci.

Lelaki kongsi cara dapat sijil halal untuk kafe diusahakan

Baru-baru ini seorang usahawan dalam industri makanan, Jerry Tam Hoo Seng telah berkongsi beberapa perkara yang telah dilakukan dan diubahnya untuk mendapatkan sijil halal SPHM bagi kafe Palates & Bagels.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Jerry di TikTok, dia mengatakan ramai yang mengatakan mendapatkan sijil halal adalah perkara yang tidak mudah. Oleh itu, dia berkongsi perkara yang dilakukannya dalam usahanya untuk mendapatkan sijil halal.

“Jadi bagaimana sukarkah ia? Mari lihat operasi kami, apa yang telah kami lakukan. Perkara pertama yang dilakukan adalah dandanan (grooming). Anda boleh lihat semua orang perlu memakai pakaian bersesuaian.

“Mereka memakai PPE, pelindung rambut (hair net), pelitup mulut, dan apron mesti dipakai. Perkara kedua, saya tidak dapat memasuki (ruang membuat roti) kerana tidak memakai pelindung rambut dan saya juga perlu mematuhi standard halal yang telah ditetapkan.

“Namun kita boleh lihat di rak bahagian sana, terdapat banyak kertas kerja di sana senarai kerja yang perlu diperiksa setiap hari untuk memastikan standard kebersihan, keselamatan, dan makanan juga bersih dan selamat serta segalanya mesti tepat pada masanya,” kata Jerry.

Ubah nama menu hidangan dan letak nama yang beri informasi lebih tepat dan mudah

Selain itu, Jerry mengatakan antara perkara yang mencabar dan diubah dalam kafenya itu adalah nama kepada menu hidangan.

Jika sebelum ini mereka menggunakan nama-nama yang kelakar untuk bagel terbabit, namun perkara itu telah diubah dengan nama sebenar dan menyebut bahan utamanya.

Tak boleh letak nama menu yang samar-samar

Katanya dalam mendapatkan sijil halal mereka tidak boleh meletakkan nama menu yang samar-samar atau tidak memberikan informasi tepat mengenai makanan dalam hidangan itu.

Selain itu, Jerry juga menunjukkan satu kertas yang mempunyai label empat jenis warna seperti kuning, merah, hijau, dan merah menunjukkan setiap papan pemotong yang berwarna mempunyai kegunaan dan tujuan tersendiri.

“Kita tak boleh campur kerana bimbang ia boleh mengundang kepada pencemaran silang dan ini sangat terperinci.”

Malah mereka juga meletakkan polisi halal di satu dinding untuk mereka komited dengan perkara yang dilakukan buat kafe tersebut.

Segala barangan disusun dengan rapi dan dilabel

Menjengah ke bahagian dapur, Jerry mengatakan bagi bahagian peti sejuk segala bahan perlu kelihatan bersih, tersusun dan dilabel termasuklah bahan kering.

Sebagai contoh bilakah tarikh pembuatannya, tarikh luput, siapa yang membuat dan rasa untuk setiap jenis bagel yang dibuat.

Malah pada peti sejuk itu juga kelihatan satu kertas yang memberikan informasi mengenai jangka hayat sesuatu produk atau barangan.

“Dalam sistem halal, jangka hayat (produk) mesti ditunjukkan supaya kita tahu bila ia sampai tempoh luput, kami tidak menggunakannya lagi.

“Di sini mungkin dilihat sebagai satu perkara yang mudah, tetapi ini adalah wajib dalam sistem halal.

“Mengapa? Untuk perkara ini, ia adalah kabinet (locker) untuk kakitangan. Semua orang tidak boleh menggantung dan meletakkan barangan peribadi, semuanya mesti disimpan di dalam kabinet,” jelasnya lagi.

Guna kotak simpanan yang spesifik dan cantik serta berkualiti

Melawat ke bilik simpanan rotinya, Jerry mengatakan ruang itu perlu sentiasa kemas dan disimpan dengan baik. Bahkan mempunyai kotak simpanan yang spesifik dan bersih dan dalam keadaan cantik.

Jelasnya mereka melabur untuk membeli barangan yang berkualiti, dan tahan lama.

Dalam video sama, Jerry turut mengatakan dalam mendapatkan sijil halal mereka turut tidak menggunakan bahan yang tidak mempunyai sijil halal seperti ais kering. Meskipun ais kering itu hanya digunakan sebagai ‘presentation’ di mana ia memberi ‘effect’ asap dalam menu ‘ice shaved’.

Selain itu, Jerry turut menyediakan ruangan solat buat para pekerja muslim bagi memudahkan mereka.

“Jadi mendapatkan sijil halal bukan mudah, dan ini yang telah kami lakukan dalam tempoh sembilan bulan yang lalu. Oleh itu, kepada semua rakan datang ke sini dan cuba rasai bagel kami.

“Saya akan buktikan kepada anda bagel halal juga boleh menjadi sangat sedap.”

@jerrytamhooseng

Halal Series: What did we do to get halal certified? 💡 Here’s a real look at what goes on behind our operations. Hard? 🤔 I’ll let you decide 😎 #halalbagel #halal #bestbagel #johorbahru #bagel

♬ original sound – Jerry Tam – Jerry Tam

Ramai kagum dengan perubahan yang dilakukan demi mendapat sijil halal

Melihat di ruangan komen, ramai yang kagum kerana segala proses perlu dilakukan secara terperinci.

Bukan hanya itu ada juga mengatakan Jerry tidak hanya mendapatkan halal untuk kafenya tetapi meningkatkan lagi tahap keselamatan makanan dan cara ia dikendalikan.

“Di ketika ini, saya dah tak kisah mengenai rasanya sedap atau tidak. Saya hanya nak beri sokongan kepada perniagaan..”

“Awak bukan sahaja mendapatkan sijil halal, awak meningkatkan lagi tahap proses keselamatan makanan dan cara ia dikendalikan.”

“Dah makan hari tu sedap”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.