Now Reading
Tak Normal Jika Anak Perempuan Datang Haid Seawal Usia 8 Tahun, Perlu Bawa Berjumpa Pakar Segera

Tak Normal Jika Anak Perempuan Datang Haid Seawal Usia 8 Tahun, Perlu Bawa Berjumpa Pakar Segera

Menerusi hantaran di Threads, seorang wanita telah berkongsi ujian dan rawatan yang dijalani oleh anaknya yang telah datang haid pertama pada usia lapan tahun.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap kanak-kanak perempuan yang mempunyai fungsi tubuh badan normal pasti akan didatangi haid apabila mencecah usia baligh.

Kebiasaannya mereka akan baligh sekitar usia 10 ke 15 tahun. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kajian mendapati kanak-kanak perempuan generasi Alpha mula mendapat haid seawal usia 8 ke 9 tahun.

Keadaan ini dikenali sebagai datang haid awal atau ‘precocious puberty’, iaitu kanak-kanak menjadi baligh terlalu awal.

Baca Artikel Berkaitan: Kajian Dapati Gen Alpha Datang Haid Seawal 8 Tahun, Pakar Nutrisi Kongsi Tips Elakkannya

Segera Bawa Anak Jumpa Pakar Jika Datang Haid Awal

Pun begitu, jika seorang kanak-kanak perempuan berdepan situasi ini, rawatan boleh dijalankan bagi memperlahankan proses baligh awal (precocious puberty) terhadapnya.

Seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, Zinnirah (@zinnirah_ajman), dia berkata perkara pertama yang perlu dilakukan apabila anak mendapat haid terlalu awal adalah berjumpa dengan pakar hormon kanak-kanak.

Dia yang telah membawa anaknya berjumpa pakar menegaskan bahawa kanak-kanak perlu dibawa ke klinik segera apabila berlakunya haid pertama seawal usia 8 tahun.

Katanya lagi, jika sudah melebihi enam bulan sejak precocious puberty, doktor kebiasaannya tidak akan meneruskan rawatan berkenaan.

Menurut Mayo Clinic, masalah baligh awal boleh dibahagikan kepada dua iaitu central precocious puberty dan peripheral precocious puberty, yang boleh dibezakan menerusi penglibatan hormon sama ada GnRH atau estrogen dan testosteron.

Imbas Tulang Untuk Semak Usia Tubuh Badan

Zinnirah telah berkongsi beberapa ujian yang akan dilakukan oleh pakar bagi mengesahkan perkara tersebut.

Mungkin kedengaran pelik, ujian pertama yang dijalankan adalah imbasan sinar-X tulang dari bahagian tapak tangan ke pergelangan tangan. Ini bertujuan untuk mengenal pasti usia tulang.

“Kes anak saya. Tubuh badan dia dah matang, berdasarkan usia tulang badan dia dah berusia 11 tahun lebih. Jadi badan memang dah capai tempoh baligh. Jadi logik dia dah datang haid,” katanya.

Tambah Zinnirah, anak perempuannya itu adalah kanak-kanak yang paling tinggi di dalam kelasnya dengan ketinggian 141cm di usia lapan tahun.

Selain mengimbas usia tulang, dia berkata doktor juga akan melakukan imbasan ultrabunyi dan MRI.

Prosedur ini dijalankan bagi mengesan sebarang ketumbuhan seperti sista di rahim atau tumor pada bahagian otak. Namun katanya kebarangkalian perkara ini terjadi hanya sekitar 5% ke 10%.

“Yang selalu terjadi baligh awal adalah disebabkan ‘growth spurt’ (fasa pertumbuhan yang cepat). Berbalik kepada kenapa doctor buat xray tulang awal-awal tadi,” ujarnya.

View on Threads

Datang Haid Awal Boleh Sebabkan Menopause Awal

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa precocious puberty bermakna tumbesaran tulang anaknya akan berhenti lebih awal berbanding kanak-kanak lain seusia dengannya, sekali gus membuatkan dia berhenti membesar dalam tempoh 3 ke 4 tahun akan datang.

Di samping itu, dia berkata kanak-kanak perempuan yang haid awal bermakna mereka berkemungkinan putus haid (menopause) awal juga.

“Haid awal jadi pengeluaran telur (ovum) pun awal. Contoh. perempuan ada 400,000 telur. Disebabkan dia haid awal, banyak telur yang mati awal. Jadi kita nak elakkan dia menopause awal,” katanya.

Kedatangan haid awal juga boleh memberi kesan kepada emosi kanak-kanak, terutamanya apabila hanya dia yang berdepan proses tubuh badan itu berbanding rakan seusianya yang lain.

“Dia akan rasa terkejut, malu, stres. Kalau haid bocor kat sekolah, diejek kawan-kawan. Kawan pula persoalkan kenapa dia period? Dia tak tahu nak jelaskan,” kata Zinnirah lagi.

Precocious Puberty Turut Terkait Isu Fekah

Selain isu kesihatan fizikal, Zinnirah berkata kedatangan haid awal juga boleh menimbulkan kesan sampingan tambahan iaitu mengenai isu fekah.

“Dia tak matang akal fikiran pun lagi. Badan je umur 11 tahun, tapi akal masih di umur 8 tahun. Jadi macam mana dia nak urus haid dengan betul?” katanya.

Mengulas mengenai keperluan mewajibkan kanak-kanak yang baligh awal untuk menunaikan rukun Islam serta mengetahui tentang dosa dan pahala, dia mendedahkan terdapat perbahasan mengenai perkara itu.

Dia menjelaskan bahawa baligh merupakan syarat wajib dari segi hukum, manakala akal merangkumi syarat sah taklif iaitu sudah berakal.

Bagi kes anaknya, doktor merumuskan bahawa kanak-kanak itu masih belum mempunyai kematangan akal.

View on Threads
Antara kesan precocious puberty adalah kanak-kanak berhenti meninggi lebih awal dan timbulnya isu fekah.

Suntikan Ubat Kawal Hormon Diberi Pada Kanak-Kanak Baligh Awal

Apabila seseorang kanak-kanak perempuan telah didiagnosis dengan precocious puberty, doktor akan menjalankan rawatan bagi mengawal masalah itu.

Menurut Zinnirah, doktor akan memberi suntikan ubat kawal hormon (GnRH analog) yang selalu digunakan dalam keadan:

  • Mengalami baligh awal
  • Usia tulang lebih cepat berbanding umur sebenar
  • Risiko jadi pendek apabila dewasa
  • Emosi tidak stabil

Ibu ayah akan diberi pilihan untuk mendapatkan suntikan setiap bulan atau tiga bulan sekali yang akan dilakukan sehinggalah anak mencecah umur yang bersesuaian untuk haid iaitu antara 10 ke 11 tahun.

Precocious Puberty Dipercayai Disebabkan Oleh Punca Tertentu

Dalam masa sama, Zinnirah turut berkongsi beberapa punca yang dipercayai menyebabkan precocious puberty iaitu:

  • Minyak pati (essential oil)
  • Lavender
  • Kepak ayam
  • Makanan berasaskan soya

Dia merasakan bahawa bagi kes anaknya, keadaan itu disebabkan oleh kegunaan minyak pati, lebih-lebih lagi aroma lavender dan geranium.

Mayo Clinic bagaimanapun menjelaskan bahawa punca sebenar precocious puberty selalunya tidak dapat dikenal pasti.

Meskipun amat jarang sekali, namun baligh awal mungkin boleh disebabkan oleh keadaan tertentu seperti jangkitan, isu hormon, tumor, isu otak atau kecederaan.

Baca Artikel Berkaitan: Doktor Jelaskan Bahan Xenoestrogen Boleh Sebabkan Kanak-Kanak Mula Baligh Awal

Sebagai info, ibu ayah boleh mengenal pasti simptom precocious puberty dengan lebih awal seperti berikut:

  • Pertumbuhan payudara dan haid pertama bagi kanak-kanak perempuan.
  • Pertumbuhan testikel dan zakar, misai dan janggut, serta suara dalam bagi kanak-kanak lelaki.
  • Pertumbuhan bulu ari-ari atau ketiak.
  • Membesar dengan cepat.
  • Jerawat.
  • Bau badan seperti orang dewasa.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.