Lelaki Berlari Tahan Kereta Dalam Cubaan Selamatkan Anak Kucing Atas Jalan Raih Pujian Ramai [Video]
Dalam video tersebut, kelihatan anak kucing berkenaan sempat digilis oleh sebuah kenderaan sebelum diselamatkan oleh penunggang motosikal itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dinafikan, kadangkala haiwan jalanan terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk hidup dengan sumber makanan terhad dan tempat tinggal yang kurang selamat.
Ada yang berteduh di bawah jambatan, ada yang terpaksa mencari sisa makanan demi bertahan hidup dan ada pula yang terpaksa menempuh kawasan jalan raya kerana tersesat tiada arah tujuan.
Namun ia satu rezeki sekiranya bertemu dengan seseorang yang baik yang sudi memberikan pertolongan kepada mereka.
Tular penunggang motosikal cuba selamatkan anak kucing di tengah jalan
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan keberanian seorang penunggang motosikal menahan kenderaan demi menyelamatkan seekor anak kucing yang tersesat di tengah-tengah jalan raya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook Chan Zi Yee, kejadian terbabit dipercayai berjaya dirakam menerusi rakaman dashcam pemilik akaun berkenaan.
“Penunggang motosikal perasan ada anak kucing lompat keluar dari sebuah kereta dan berlari ke tengah-tengah jalan raya. Dia tidak teragak-agak memasang tongkat motosikal dan berlari ke tengah jalan untuk selamatkan anak kucing itu,” tulisnya di dalam video.
Anak kucing sempat digilis sebelum diselamatkan
Walau bagaimanapun, dalam video tersebut, kelihatan anak kucing berkenaan telah digilis oleh sebuah kenderaan sebelum diselamatkan oleh lelaki terbabit.
Lelaki terbabit juga dengan beraninya cuba menahan kereta untuk mengambil anak kucing berkenaan sebelum dibawa menaiki motosikal bersamanya.
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook bernama Isyraf Imran Mohd Fauzi yang dipercayai penunggang motosikal itu memaklumkan bahawa nyawa kucing terbabit tidak dapat diselamatkan.
“Terima kasih semua, saya dah cuba yang terbaik tapi tuhan lagi sayangkan dia (anak kucing),” tulis Isyraf Imran di ruangan komen.
Rider cuba selamatkan anak kucing raih pujian ramai
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan berani lelaki terbabit cuba menyelamatkan anak kucing tersebut.
Kebanyakan orang juga mendoakan semoga urusan lelaki tersebut dimudahkan asbab kebaikan yang dilakukannya itu.
Tidak kurang juga yang bersimpati dengan nasib anak kucing terbabit yang digilis kenderaan kerana tersesat di tengah-tengah jalan raya.



Baca Artikel Berkaitan: “Peka Keadaan Sekeliling” – Pemandu Bas Dipuji, Selamatkan Anak Kucing Di Tengah Jalan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Kucing Ni Di Tangan Orang Baik” – Aksi Pemuda Gigih Selamatkan Si Bulus Tersadai Di MRR2 Raih Pujian [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Gigih Bergayut Pada Pagar Longkang Cuba Selamatkan Kucing Raih Pujian Ramai [Video]



