Betul Ke Habbatus Sauda Boleh Sembuhkan Semua Penyakit? Ini Penjelasan Mufti
Hadis Rasulullah SAW menyatakan habbatus sauda sebagai penawar penyakit adalah sahih seperti dalam Riwayat al-Bukhari (5687).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap umat Islam pasti percaya pada hadis bahawa setiap penyakit yang diturunkan di muka bumi ini dihadirkan dengan penawarnya, kecuali kematian.
Ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللَّهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً
Maksudnya: “Allah SWT tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.”
Riwayat al-Bukhari (5678)
Baru-baru ini, seorang pengguna Threads mendakwa bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiada sebarang ubat-ubatan untuk penyakit HIV dan kanser.
Dalam pada itu, dia berkata terdapat hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa herba habbatus sauda, yang turut dikenali sebagai jintan hitam, merupakan penawar bagi segala penyakit.

Namun adakah benar herba itu boleh menyembuhkan semua penyakit yang terdapat di dunia ini?
Hadis Habbatus Sauda Sebagai Penawar Adalah Sahih
Berdasarkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa riwayat hadis yang sahih berkenaan habbatus sauda sebagai penawar penyakit. Salah satunya adalah seperti yang diriwayatkan oleh ‘Aishah R.A:
إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ
Maksudnya: “Sesungguhnya habbatus sauda adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda SAW menjawab: “Kematian”.”
Riwayat al-Bukhari (5687)
Pun begitu, pihak mufti menjelaskan bahawa hadis ini perlu difahami menerusi kaedah yang betul dan bukanlah secara literal bagi menyebabkan salah faham dan kekeliruan.
“Jika hadis ini difahami secara literal, maka semua penyakit yang wujud boleh diubati dengan hanya menggunakan habbatus sauda. Tetapi harus diketahui bahawa tidak semua hadis boleh difahami secara literal,” katanya.
Ulama Berbeza Pendapat Tentang Kegunaan Habbatus Sauda Untuk Merawat Penyakit
Menurut Pejabat Mufti WP, ulama Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan pandangan al-Khattabi yang menyatakan lafaz ‘penawar bagi segala penyakit’ di dalam hadis bersifat umum tetapi membawa maksud yang khusus.
Imam al-Khattabi menjelaskan bahawa tidak ada satu pun tumbuhan di dunia yang diciptakan oleh Allah SWT yang mengumpulkan semua manfaat bagi tujuan perubatan.
Ada ulama yang berpendapat habbatus sauda hanya boleh digunakan bagi merawat penyakit yang disebabkan oleh kesejukan seperti selesema, dan ada juga yang berpandangan ia boleh menyembuhkan penyakit disebabkan sejuk mahupun panas.

Dalam masa sama, terdapat juga para ulama yang mengambil lafaz hadis itu secara umum, termasuk Ibn Battal dan Abu Jamrah. Namun berpandangan terdapat cara rawatan yang berbeza menggunakan habbatus sauda mengikut penyakit.
Pun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat banyak manfaat habbatus sauda bagi tujuan perubatan berdasarkan kepada kajian saintifik yang telah dijalankan.
“Meskipun begitu, masyarakat tidak boleh mengambil kefahaman bahawa habbatus sauda merupakan penawar ataupun ubat yang mampu merawat segala penyakit di dunia ini secara literal kerana kefahaman seperti itu tidak tepat,” tegar pejabat mufti.
Lafaz ‘كل’ Dalam Hadis Bermakna ‘Sebahagian’ – UAI
Isu ini turut diulas oleh pendakwah dan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, yang berkata lafaz ‘كل’ di dalam hadis tersebut bukan bermaksud ‘sekalian’, sebaliknya ia bermakna ‘sebahagian’.
“Sebab itulah jangan ambil teks hadis sahaja dengan retorik. Kena ambil syarahnya daripada alim ulama.
“Maksudnya dia (habbatus sauda) bukanlah ubat bagi sekalian penyakit, tetapi sebahagian penyakit. Itu perlunya tafsiran ulama,” ujarnya.
Tambah UAI lagi, penggunaan herba itu perlu mengikut syarat dan tertib tertentu dan tidak diambil secara sebarangan untuk dijadikan ubat bagi beberapa jenis penyakit.








