Sultan Selangor Titah Tiada Lagi Ladang Babi Di Tanjong Sepat
Menurut Istana Alam Shah, ketetapan itu dibuat selepas baginda meneliti secara mendalam perkara berkenaan susulan sesi menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula 2026 sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor pada 2030 yang dianggarkan seluas kira-kira 202 hektar.
Menerusi titah kenyataan yang dikongsikan Istana Alam Shah, baginda memandang serius perancangan itu khususnya apabila terdapat kemungkinan pembangunan penternakan babi secara berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu. Baginda juga menzahirkan kebimbangan memandangkan kawasan Kuala Langat didiami oleh ramai penduduk Melayu, dan sehingga ke hari ini, masalah berkaitan penternakan babi di kawasan terbabit masih gagal diselesaikan sepenuhnya sejak 2010.”
Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Baginda juga menekankan bahawa Istana Pantai Bahagia – kediaman rasmi baginda, terletak di Kuala Langat dan baginda sendiri merasai serta menyaksikan secara langsung kesan pencemaran bau yang berpunca daripada aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan.
“Untuk itu, baginda mengusulkan kepada wakil-wakil rakyat untuk tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi seperti di Kuala Langat serta menempuh sendiri pengalaman sebenar seperti yang dialami oleh penduduk sekitar.”
Terbaharu, semalam (12 Jan) Sultan Sharafuddin menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi dibenarkan di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang selaras dengan usaha memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian sosial di negeri Selangor.
Menurut Istana Alam Shah, ketetapan itu dibuat selepas baginda meneliti secara mendalam perkara berkenaan susulan sesi menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim serta Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.
“Operasi penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan undang-undang dan peraturan berkaitan.
“Kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data sah dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja,” katanya.
Selain itu baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar supaya ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal.”
Sultan Sharafudin dalam masa sama turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri,” katanya.
Sehubungan itu, baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan berkenaan dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mematuhi undang-undang.
“Ini demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu lagi.
I steer BuzzKini's editorial voice and online presence, consulting senior leadership when it matters while enjoying music, books, and the outdoors.