Letupan Bom Tangan Di Filipina Semasa Sambutan Tahun Baharu, Ini Yang Kita Tahu Setakat Ini
Memetik laporan media tempatan, bom tangan itu telah dilempar oleh dua lelaki yang menaiki motosikal ke arah orang ramai yang sedang berkumpul di lebuh raya Matalam pada malam ambang tahun baharu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada malam ambang tahun baharu Rabu (31 Disember 2025) lalu, boleh dikatakan rata-rata masyarakat di seluruh dunia berkumpul bagi meraikan ketibaan tahun 2026.
Malangnya, penduduk di kawasan kediaman Barangay Dalapitan yang terletak di wilayah Cotabato, Selatan Filipina, memasuki tahun baharu dengan satu insiden letupan bom tangan ketika sedang menyaksikan pertunjukan bunga api.
Letupan itu telah menyebabkan 22 individu tercedera, namun tiada sebarang kematian dilaporkan.
2 Lelaki Lempar Bom Tangan Ke Arah Orang Ramai Di Lebuh Raya Di Matalam
Memetik laporan media tempatan Philstar, Ketua Polis Matalam Arniel Melocotones berkata, bom tangan tersebut telah dilemparkan oleh dua orang lelaki menaiki motosikal ke arah orang ramai yang sedang berkumpul di sebuah lebuh raya di bandar Matalam.
Beberapa saat kemudian, bom tangan itu meletup sehingga serpihannya bertebaran dan mencederakan beberapa individu, terutamanya pada bahagian bawah badan mereka.
Difahamkan suspek turut memasangkan bunga api dan bahan piroteknik di lebuh raya itu sebelum melarikan diri.
22 Tercedera Termasuk 9 Kanak-Kanak
Media melaporkan seramai 22 individu, termasuk sembilan kanak-kanak, telah tercedera dalam letupan itu.
Mereka kemudiannya telah dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan dengan bantuan pihak polis dan pasukan kecemasan Matalam.
Salah seorang mangsa merupakan kanak-kanak yang mengalami kecederaan pada bahagian mata akibat serpihan daripada letupan. Manakala 21 yang lain mengalami kecederaan ringan dan telah pun dibenarkan keluar dari hospital sejak 12 jam lalu.
Polis Buru 2 Suspek Dengan Kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan
Sehubungan itu, polis telah melancarkan operasi memburu suspek serta turut berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan dan ahli komuniti bagi mengenal pasti dalang yang terlibat dalam insiden letupan itu.
Keselamatan di kawasan terbabit juga telah dipertingkatkan bagi mengelak insiden bersama daripada berulang sementara siasatan dijalankan.
Pengerusi Cotabato Provincial Peace and Order Council, Gabenor Emmylou Taliño-Mendoza, mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan itu.
Beliau turut mendesak pegawai tempatan di Matalam dan penduduk Barangay Dalapitan bagi membantu siasatan dalam mengenal pasti pelaku.
“Kerajaan wilayah kita akan memberi sokongan penting buat mangsa yang diperlukan bagi tujuan rawatan kecederaan mereka,” katanya.
Sindiket Dadah Di Matalam Mungkin Dalang Letupan
Dalam pada itu, pihak polis mendedahkan bahawa kemungkinan dalang di sebalik insiden letupan bom tangan yang berlaku pada ambang tahun baharu itu ialah satu sindiket dadah yang beroperasi di Matalam.
Melocotones berkata kempen anti dadah haram yang diperkuatkan mungkin telah menyebabkan perniagaan dadah di bandar itu terjejas teruk, seterusnya membuatkan suspek bertindak sedemikian bagi mengalihkan perhatian pihak polis.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti suspek terlibat yang kini sedang diburu, namun enggan memberi butiran lanjut.
Salah Seorang Suspek Ditembak Mati
Terbaharu, media tempatan PNA melaporkan polis telah menembak mati salah seorang suspek dalam insiden letupan itu.
Jurucakap Pejabat Polis Cotabato, James Warren Caang, berkata suspek telah mati dalam tembakan bersama polis Matalam di Barangay Kilada sekitar 8 malam, Khamis (1 Januari).
Pihak polis sedang meneruskan buruan bagi suspek kedua.