Meludah Sesuka Hati Di KL Bakal Dikompaun Sehingga RM2,000 Mulai 1 Januari 2026
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) DBKL berkata, pihaknya akan mempergiat penguatkuasaan menerusi operasi antipembuangan sampah dan operasi larangan meludah yang dijalankan secara berkala di seluruh Kuala Lumpur.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mana-mana individu yang membuang sampah dan meludah di tempat awam di sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan tindakan kompaun sehingga RM2,000 bermula 1 Januari 2026.
Selain kompaun, pelaku juga bakal berdepan tindakan Perintah Khidmat Masyarakat melebihi 12 jam selama enam bulan.
Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Nor Halizam Ismail berkata, pihaknya akan mempergiat penguatkuasaan menerusi operasi antipembuangan sampah dan operasi larangan meludah yang dijalankan secara berkala di seluruh Kuala Lumpur sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026).
Operasi dilakukan di sekitar ibu kota khususnya kawasan tumpuan pelancong
Menurut Nor Halizam, operasi berkenaan akan dilakukan di sekitar ibu kota khususnya di kawasan tumpuan pelancong.
Katanya, hal ini bagi mengekang sikap buruk warganegara dan pelancong yang sering membuang sampah seperti puntung rokok dan botol minuman di tempat awam selain meludah di kawasan pejalan kaki yang bukan sahaja mengotorkan tempat tetapi turut mencemarkan imej negara.
“Kompaun yang kita keluarkan boleh mencecah sehingga RM2,000 bergantung kesalahan yang dilakukan.
“Tujuan kita bukan untuk menghukum semata-mata, sebaliknya ingin mendidik masyarakat untuk lebih berdisiplin dan menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama,” katanya dipetik Berita Harian.
DBKL wujudkan empat kawasan bebas sampah di KL
Menurutnya lagi, DBKL turut mewujudkan empat kawasan bebas sampah bagi memperkukuh imej bandar raya bersih dan teratur.
Empat kawasan bebas sampah itu adalah:
- Jalan Bukit Bintang
- Dataran Merdeka
- Jalan Tun Perak
- Kawasan komersial Brickfield
DBKL juga tidak berkompromi terhadap tahap kebersihan di premis makanan serta tandas awam di sekitar Kuala Lumpur.
Pemilik premis serta kontraktor turut berdepan tindakan jika gagal patuhi standard kebersihan
Menurutnya lagi, mana-mana pemilik serta kontraktor akan dikenakan tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang telah ditetapkan.
“Kita ada lebih kurang 7,450 premis makanan yang kita pantau setiap masa, untuk pastikan tidak berlakunya pencemaran makanan atau pembiakan haiwan vektor seperti tikus, lipas dan sebagainya.
“DBKL juga memandang serius terhadap kebersihan tandas awam dan akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa atau sekiranya terdapat aduan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan langkah itu penting bagi memastikan keselesaan pelancong dan rakyat tempatan yang berkunjung ke ibu negara.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Puas Hati Lihat Anggota DBKL Kompaun Perokok Buang Puntung Di Tempat Awam [Video]
Baca Artikel Berkaitan: “Nanti Malam New Year Lagi Teruk” – Ramai Kecewa Lihat KL Kotor Pada Malam Ambang Perayaan
Baca Artikel Berkaitan: “Masih Minda Kelas Ketiga”- DBKL Kecewa Banyak Sampah Di Jalan Lepas Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024



