Beberapa Individu Pamer Bendera Parti Politik Dari India Di Malaysia Raih Perhatian Ramai [Video]
Bendera parti politik itu berkemungkinan dikibarkan sempena kehadiran aktor terkenal India, Vijay di Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sejak semalam, tular di media sosial video dan gambar-gambar beberapa individu dilihat mempamerkan bendera dipercayai daripada sebuah parti politik dari India di sekitar Lembah Klang.
Dalam satu video yang dikongsikan di laman X @isusemasaviral, kelihatan seorang lelaki menayangkan bendera terbabit dengan berlatar belakang Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur.
Sementara satu lagi hantaran menunjukkan gambar beberapa individu bergambar bersama bendera yang sama di hadapan Batu Caves, Gombak, Selangor.
Seru imigresen dan KDN siasat individu kibar bendera parti politik luar negara
Laman akaun Isu Semasa Viral turut menyeru Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat perkara berkenaan.
“Bendera parti politik awak tiada nilai di dalam negara kami. Ia menyalahi undang-undang Malaysia untuk berbuat demikian,” tulis di kapsyen.
Semakan kami mendapati bendera tersebut merupakan bendera bagi parti politik Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) yang baru sahaja ditubuhkan oleh pelakon Tamil terkenal, Vijay pada Februari 2024.
Hello @KDNPUTRAJAYA https://t.co/CSal79hRoD pic.twitter.com/fnsTXzb1f5
— ISU SEMASA VIRAL (@isusemasaviral) December 28, 2025
Vijay umum tinggal dunia lakonan untuk fokus bidang politik
Bendera terbabit berkemungkinan dikibarkan sempena kehadiran Vijay di Malaysia untuk majlis pelancaran audio filem Jana Nayagan.
Difahamkan filem terbabit merupakan naskhah terakhir Vijay yang turut digelar ‘Thalapathy’ sebagai pelakon selepas beliau pada Sabtu lalu (27 Disember) mengumumkan berundur daripada dunia perfileman bagi memberi tumpuan penuh kepada perjuangan politik.
Memetik laporan Berita Harian, acara yang dinamakan Thalapathy Thiruvizha itu dihadiri kira-kira 85,000 peminat.
Netizen beri pelbagai reaksi
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi setelah melihat hantaran terbabit.
Ada segelintir individu dilihat kurang senang dengan tindakan menayangkan bendera parti politik luar di negara ini.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang tidak kisah mengenai perkara itu dengan menyatakan bahawa individu-individu yang menayangkan bendera terbabit tidak mengganggu ketenteraman masyarakat di negara ini.



Baca Artikel Berkaitan: Kes Kibar Bendera Negara Luar Di Johor, Polis Buka Kertas Siasatan
Baca Artikel Berkaitan: Penganjur Mohon Maaf Selepas Tular Video Individu Berarak Bawa Bendera Negara China Di Teluk Intan



