Apa Yang Berubah Di Malaysia Bermula 1 Januari 2026? Ini Yang Korang Patut Tahu
Antara perubahan yang bakal berlaku bermula 1 Januari ini ialah kadar dan kaedah kompaun saman trafik akan diselaras antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Dalam sedar tak sedar, tinggal beberapa hari sahaja lagi 2025 bakal melabuhkan tirainya dan memasuki tahun baru 2026.
Kebanyakan orang pastinya mempunyai azam serta perubahan diri yang ingin dilakukan setiap kali memasuki tahun baru.
Bahkan, setiap negara termasuklah Malaysia pasti mempunyai perancangan, perkembangan dan perubahan yang ingin dilakukan pada tahun 2026 nanti.
1 Januari 2026, Malaysia bakal laksana beberapa perubahan penting
Mulai 1 Januari 2026, Malaysia bakal melaksanakan beberapa perubahan penting yang memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan peribadi dan negara.
Selain perubahan dalam geopolitik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa, beberapa dasar dan peraturan baharu akan berkuat kuasa pada tahun depan.
Berikut kami kongsikan beberapa perubahan yang bakal dilakukan oleh Malaysia menjelas Januari 2026 nanti seperti yang dikongsikan Harian Metro.
#1 Hukuman lebih tegas terhadap individu buang sampah di tempat awam
Antara perkara penting yang dijangka berkuatkuasa di Malaysia adalah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan hukuman lebih tegas terhadap pesalah kes pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Mana-mana individu termasuk warga asing yang membuang sampah di tempat awam akan didenda RM2,000 dan wajib menjalani kerja khidmat masyarakat selama 12 jam dalam tempoh enam bulan.
#2 Akta 886 perkukuh dan kawal kandungan berbahaya akan dikuatkasa
Bermula tarikh sama, Akta Keselamatan Dalam Talian (Akta 886) yang memperkukuh dan mengawal kandungan berbahaya juga akan dikuatkuasakan.
Difahamkan, penyedia platform media sosial dan aplikasi perbualan yang digunakan lebih lapan juta rakyat Malaysia tidak diwajibkan memohon lesen operasi, namun ia tetap tertakluk sepenuhnya kepada peruntukan undang-undang negara.
Hal ini bertujuan memastikan penyedia platform bertanggungjawab dalam menangani kandungan menyalahi undang-undang termasuk penipuan dalam talian, penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan akaun palsu serta jenayah membabitkan kanak-kanak.
#3 Program percubaan sandbox akan dilaksana
Kerajaan juga akan melaksanakan program percubaan kawal selia atau sandbox untuk menilai mekanisme perlindungan kanak-kanak dan keselamatan pengguna dalam ruang digital sebelum menguatkuasakannya secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan pendekatan itu akan membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa platform media sosial yang dikenal pasti.
Sandbox merujuk kepada satu kerangka ujian kawal selia yang lazim digunakan dalam sektor teknologi dan digital dengan pihak berkepentingan dibenar menguji pendekatan, mekanisme atau teknologi baharu dalam persekitaran terkawal sebelum pelaksanaan.
#4 Kadar dan kaedah kompaun saman trafik akan diselaras antara JPJ dan PDRM
Bermula 1 Januari ini juga, kadar dan kaedah kompaun saman trafik akan diselaras antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berdasarkan struktur baharu itu, pengurangan sebanyak 50% diberikan bagi pembayaran dalam tempoh satu hingga 15 hari, 33% bagi 16 hingga 30 hari manakala kadar maksimum dikenakan bagi 31 hingga 60 hari.
Bagi tempoh melebihi 61 hari, tindakan mahkamah atau senarai hitam akan dikenakan.
#5 Had umur belia dipinda kepada 30 tahun
Tahun baharu yang akan menjelang ini juga bakal menyaksikan pindaan pada had umur belia kepada 30 tahun berbanding had umur belia 40 tahun ketika ini.
Difahamkan, pindaan itu bukan hanya membabitkan penurunan had umur, bahkan penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.
#6 Pelarasan Gaji Fasa 2 di bawah SSPA, penjawat awam nikmati kenaikan gaji
Tanggal 1 Januari 2026 turut menjadi tahun gembira buat penjawat awam apabila Pelarasan Gaji Fasa 2 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan dengan kenaikan gaji 3% untuk Pengurusan Tertinggi sementara Pengurusan Profesional dan Pelaksana pula menikmati kenaikan sebanyak 7%.
Pelarasan gaji itu akan dibayar pada 22 Januari 2026, memberikan kenaikan keseluruhan yang signifikan untuk penjawat awam.
#7 Tahun Melawat Malaysia 2026
Selain itu, penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dilihat sebagai peluang besar untuk menghidupkan semula sektor pelancongan negara.
Inisiatif ini dijangka mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan global serta peningkatan mobiliti serantau, sekali gus memberi kesan positif kepada industri penerbangan, hospitaliti, runcit, makanan dan minuman, serta perkhidmatan berkaitan.
Kerajaan menyasarkan ketibaan 26.1 juta pelancong asing dengan anggaran perbelanjaan domestik mencecah RM97.6 bilion. Sasaran ini disokong oleh perancangan dan strategi menyeluruh bagi memastikan sektor pelancongan kembali berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan telah memperuntukkan RM350 juta untuk mempergiat promosi dan pelbagai aktiviti pelancongan, dengan matlamat meletakkan semula Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan pilihan utama di peringkat global.
Baca Artikel Berkaitan: LHDN Perkukuh Pelaksanaan e-Invois Dengan Sesi Libat Urus, Sudah Terima 820 Juta e-Invoice Sejak 2024
Baca Artikel Berkaitan: Sertai Sambutan Paling Epik & Gempak Di Visit Malaysia 2026 Countdown Festival



