fbpx
Now Reading
Ramai Yang Tak Tahu! Lelaki Tunjuk Tempat Boleh Tunai Solat Jumaat Di KLIA 1 [Video]

Ramai Yang Tak Tahu! Lelaki Tunjuk Tempat Boleh Tunai Solat Jumaat Di KLIA 1 [Video]

Jelas lelaki berkenaan, ramai yang mungkin meninggalkannya kerana tidak tahu terdapat ruangan solat Jumaat di dalam KLIA 1.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Umum mengetahui solat Jumaat adalah perkara yang wajib dilakukan oleh setiap lelaki dan sunat bagi wanita. Oleh itu, ia tidak boleh ditinggalkan sesuka hati tanpa sebab yang kukuh sebagai contoh sakit atau sedang bermusafir.

Memetik lama sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua pandangan berkaitan solat Jumaat mengenai individu yang bermusafir. Menurut pendapat muktamad dalam Mazhab al-Syafie’e, jika permusafiran pada hari Jumaat dibuat sebelum fajar (Subuh), maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.

Namun jika dia bermusafir dan permusafiran itu melebihi 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Justeru jika permusafiran tersebut kurang dari empat hari tak termasuk waktu pergi dan balik dari tempat itu maka gugur ke atasnya kewajipan untuk melakukan solat Jumaat.

Ini adalah pendapat jadid (baru) Imam al-Syafie, pendapat azhar menurut ahli Iraq, dan jumhur ulama. Rujuk al-Mu’tamad (1/496).

Bagi pendapat kedua pula, seperti mana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudah al-Talibin (2/38). Mereka berpendapat gugur kewajipan solat Jumaat jika bertolak musafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari. Ini pendapat qadim (lama) Imam al-Syafie, Syeikh Harmalah dan dinukilkan juga oleh al-Syirasi di dalam al-Muhazzab dengan qias harusnya menjual harta zakat sebelum sampai haulnya. Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab (4/498-499).

Lelaki tunjuk masjid dalam KLIA 1 yang boleh kaum lelaki tunaikan solat Jumaat

Baru-baru ini, seorang lelaki telah menunjukkan satu tempat di mana orang ramai boleh menunaikan solat Jumaat ketika berada di Terminal Satu Lapangan Kapal Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Nazmi Yunus di TikTok, dia mengatakan ramai golongan lelaki yang meninggalkan solat Jumaat apabila ada di lapangan kapal terbang berkenaan.

“Ya betul, meninggalkan solat Jumaat bukan sebab mereka sengaja, sebab mereka tak tahu yang sebenarnya di ‘airport’ KLIA 1 ada tempat untuk solat Jumaat, di dalam airport dan tak perlu keluar. Jom saya tunjukkan tempat untuk solat Jumaat di dalam KLIA 1. Jadi korang yang akan bermusafir pada hari Jumaat, kalau datang ke airport awal boleh solat Jumaat di sini,” ujarnya

Menerusi video tersebut, Nazmi turut berkongsi arah buat pengunjung yang ingin ke surau berkenaan yang terletak di tingkat dua.

Ada masjid di atas roof top parkir blok A dan B

Para pengunjung perlu mencari medan parkir kereta blok A dan B. Sebaik sampai berdekatan tempat pembayaran parkir perlu mengambil lif untuk ke tingkat lima.

Sebaik sampai di tingkat lima, pengunjung akan berada di tempat parkir ‘roof top’ dan perlu menaiki tangga untuk ke ruangan solat.

Jelasnya lagi, solat Jumaat sentiasa dilakukan pada setiap minggu di ruangan solat berkenaan.

Malah Nazmi turut menunjukkan keadaan masjid yang dipenuhi dengan orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat.

Memetik Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), ruang solat di roof top KLIA ini sudah beroperasi sejak Mei 2019. Ruangan itu, dapat memuatkan jemaah di antara 800 sehingga 1,000 orang pada satu-satu masa.

Selain dilengkapi penyaman udar mudah alih, dan kipas gergasi, di sini turut disediakan 50 unit paip bagi pengambilan wuduk.

Difahamkan ini merupakan inisiatif Malaysia Airport yang bertujuan untuk memudahkan umat Islam khususnya staf dan penumpang yang berada di KLIA 1 itu untuk menunaikan solat Jumaat.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.