Grab Terus Perkasa Individu Kelainan Upaya, Sudah Bantu Lebih 5,000 Rakan OKU Jana Pendapatan
Dengan lebih 5,000 rakan OKU yang aktif, Grab Malaysia kini mempunyai perwakilan OKU terbesar di seluruh rantau ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Grab Malaysia terus meraikan rakan-rakan berkelainan upaya bersempena Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Antarabangsa dengan menganjurkan Karnival OKU buat kali kedua.
Tahun ini mencatat satu pencapaian signifikan apabila platform Grab kini memperkasa lebih 5,000 individu kurang upaya untuk menjana sumber pendapatan mereka di Malaysia.
Pencapaian ini memperkukuh kedudukan Grab Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan salah satu program bagi OKU yang paling mantap di rantau ini.
“Kami amat berterima kasih atas kepercayaan komuniti OKU terhadap Grab Malaysia sebagai platform mencari rezeki bagi mereka. Kami menyedari bahawa walaupun telah mencapai satu titik kejayaan yang bermakna dalam menyediakan peluang kepada rakan-rakan OKU, masih banyak lagi tugasan yang perlu diteruskan.
“Kami sering mendengar maklum balas komuniti dan menyesuaikan platform kami berdasarkan pandangan tersebut. Kami kekal komited untuk terus mendengar, memperkukuh keterangkuman, serta membuka akses kepada peluang untuk semua,” kata Pengarah Operasi & Mobiliti Negara di Grab Malaysia, Rashid Shukor.
Dengan lebih 5,000 rakan OKU yang aktif, Grab Malaysia kini mempunyai perwakilan OKU terbesar di seluruh rantau ini.
Pertumbuhan ini selari dengan matlamat keterangkuman Grab yang lebih luas untuk memperkasa seramai 300,000 rakan pemandu wanita dan OKU di seluruh Asia Tenggara menjelang tahun 2030.
Alu-alukan Rakan Pemandu OKU Baharu
Grab Malaysia unik dalam usahanya bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakan pemandu OKU memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang membuka peluang pendapatan baharu.
Program GrabAccess, yang dilancarkan pada tahun 2018, menjadi kunci kepada kejayaan ini. Melalui kerjasama penasihatan dengan Persatuan Pemandu E-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), GrabAccess menawarkan sokongan seperti subsidi lesen, sifar komisen, serta keistimewaan seperti baucar petrol percuma, insurans, dan penyelenggaraan untuk semua rakan pemandu OKU.
Penyelesaian Dipacu Teknologi untuk Semua
Grab Malaysia komited untuk memanfaatkan teknologi bagi menyediakan penyelesaian dan akses yang memudahkan penggunaan platform ini untuk semua.
Aplikasi ini memaklumkan penumpang apabila rakan pemandu mereka adalah OKU sejurus sebelum pengambilan, sekali gus memudahkan interaksi sejak awal. Bagi membantu komunikasi, Grab Malaysia juga menyediakan kad selak (flipcards) untuk penumpang yang menaiki kenderaan rakan pemandu pekak atau kurang pendengaran. Selain itu, GrabAssist yang baru dilancarkan menyediakan pekhidmatan pengangkutan untuk OKU, warga emas, dan mereka yang memerlukan bantuan mobiliti tambahan, untuk memastikan akses yang inklusif bagi semua penumpang.
Karnival OKU Grab Malaysia 2025 yang diadakan di Pusat Pemandu Grab di Petaling Jaya telah dihadiri oleh lebih kurang 200 rakan pemandu dan penghantar OKU serta keluarga mereka, menekankan komitmen syarikat terhadap pembinaan komuniti yang inklusif.


“Kami berharap untuk membina sebuah platform yang meningkatkan mata pencarian. Namun hakikatnya, komuniti OKU kami sendiri yang menyedari peluang tersebut; merekalah yang membuktikan kepada kami apa yang sebenarnya mampu dilakukan, dan terus berbuat demikian setiap hari.
“Kini, yang kami harapkan hanyalah untuk terus membantu mereka di sepanjang perjalanan ini, tidak kira usaha yang kecil mahupun besar. Kami amat berbangga melihat semangat khidmat mereka, dan berasa rendah hati menyaksikan kekuatan mereka dalam mengatasi pelbagai cabaran. Kami berharap dapat terus belajar daripada mereka, dan bertekad melakukan yang lebih baik demi komuniti kami,” tambah Rashid.
Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Hanya Bantuan Kewangan, GrabScholar Harapan Masa Depan” – Mahasiswa
Baca Artikel Berkaitan:



