fbpx
Now Reading
Patuh Peraturan Kerajaan Pusat, Datuk Bandar Medan Pulangkan Semula 30 Tan Beras Dari UAE

Patuh Peraturan Kerajaan Pusat, Datuk Bandar Medan Pulangkan Semula 30 Tan Beras Dari UAE

Selain 30 tan beras, bantuan lain yang diberikan oleh Kerajaan UAE adalah 300 pek barangan keperluan asas, 300 set keperluan bayi dan 300 set kelengkapan ibadah untuk mangsa bencana di Sumatera.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pemerintah Bandar Raya Medan membuat keputusan untuk memulangkan semula bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perkara itu dilakukan susulan arahan Kerajaan Pusat Indonesia agar bantuan bencana di wilayah Sumatera diuruskan secara dalaman tanpa melibatkan pihak asing buat masa ini.

Kerajaan Pusat tetapkan bantuan hendaklah diuruskan secara sendiri

Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan perbincangan dan penyelarasan dengan kementerian berkaitan serta Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).

Menurutnya, Kerajaan Pusat menetapkan bahawa semua bentuk bantuan bencana di wilayah itu hendaklah diuruskan secara sendiri untuk memastikan keselamatan, penyelarasan logistik dan dasar negara terus terpelihara.

“Kami memulangkan bantuan ini kepada Emiriah Arab Bersatu kerana Kerajaan Pusat belum menerima bantuan daripada pihak asing ketika ini. Maka, bagi pihak Kota Medan, bantuan tersebut tidak dapat diterima,” katanya semalam (18 Disember) dipetik Sinar Harian.

Tiada penglibatan antarabangsa bagi urusan bantuan bencana buat sementara waktu

Jelasnya, selepas bantuan itu diterima pada 12 Disember lalu, pihak berkuasa tempatan segera menyemak aspek perundangan dan garis panduan berkaitan melalui BNPB dan Kementerian Pertahanan.

Ujar Rico, hasil semakan itu mendapati Kerajaan Pusat mengeluarkan arahan supaya semua urusan bantuan bencana di Sumatera dikendalikan sepenuhnya oleh agensi tempatan tanpa penglibatan antarabangsa buat sementara waktu.

“Intinya, setelah disemak dari sudut peraturan dan penyelarasan, bantuan luar negara ini ditangguhkan penerimaannya,” katanya.

Bukan hanya beras, barangan keperluan penting lain turut diberikan UAE

Sebelum ini, Timbalan Duta Besar UAE, Shaima Al Hebsi telah menyerahkan bantuan tersebut di pusat operasi kebajikan di Medan.

Selain 30 tan beras, bantuan lain yang dipulangkan adalah:

  • 300 pek barangan keperluan asas
  • 300 set keperluan bayi
  • 300 set kelengkapan ibadah

Walaupun bantuan itu bernilai tinggi dan sangat diperlukan, kerajaan bandar Medan memilih untuk mematuhi sepenuhnya dasar Kerajaan Pusat demi memastikan pengurusan bencana kekal selaras dengan kepentingan nasional dan keselamatan logistik.

Indonesia mampu kendali situasi bencana di Sumatera secara sendiri – Prabowo Subianto

Terdahulu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto mendedahkan bahawa beliau menerima banyak panggilan daripada ketua-ketua negara yang menyatakan hasrat untuk menghantar bantuan ke Sumatera.

Bagaimanapun, Prabowo menyatakan kepada mereka bahawa Indonesia mampu mengendalikan situasi tersebut secara sendiri dan hanya berterima kasih.

“Saya dihubungi banyak pimpinan, ketua negara yang ingin hantar bantuan. Saya cakap ‘terima kasih atas keprihatinan anda, kami mampu’. Indonesia mampu mengatasi ini,” ujar Prabowo.

Beliau turut membangkitkan isu mengenai kewujudan pihak-pihak luar yang didakwanya tidak senang melihat Indonesia muncul sebagai sebuah negara yang kuat.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri Indonesia juga pernah menyifatkan bahawa bantuan yang diterima dari Malaysia sebagai ‘tidak seberapa’.

Baca Artikel Berkaitan: Ada Pihak Luar Yang Tidak Suka Indonesia Jadi Negara Kuat – Prabowo

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.