Tular Anjing & Kucing Didakwa Mati Kelaparan Dalam Sangkar Di Klinik Veterinar [Video]
Menurut Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, laporan polis berkaitan pengabaian haiwan itu sudah dibuat oleh bekas kakitangan klinik terbabit selain DVS juga telah dimaklumkan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dinafikan, rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap prihatin terhadap haiwan terutamanya kucing dan anjing liar. Boleh dikatakan di banyak tempat pasti ada sahaja individu yang memberi makanan kepada haiwan-haiwan ini.
Tindakan sebegini mencerminkan nilai kemanusiaan sekali gus boleh mendorong individu lain untuk berbuat baik kepada semua makluk.
Malah, ada juga yang sanggup menghantar haiwan jalanan ke pusat perlindungan atau klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan serta penjagaan sementara mencari penjaga yang baru.
Tular anjing dan kucing mati kelaparan dalam sangkar di klinik veterinar
Namun, siapa sangka, sebuah klinik veterinar di Damansara Damai yang sepatutnya menjadi tempat merawat dan menjaga haiwan didakwa telah melakukan perkara sebaliknya pula.
Perkara berkenaan didedahkan oleh seorang aktivis haiwan yang dikenali sebagai Shima Aris di akaun Instagram miliknya pada baru-baru ini selepas beberapa penyelamat haiwan telah melakukan pemantauan di klinik berkenaan yang kelihatan terbiar.
Apa yang menyedihkan, terdapat seekor anjing dan kucing di dalam sangkar yang sudah mati dibercayai akibat kelaparan.
Kedua-dua haiwan didakwa mati dalam keadaan terseksa
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Shima mendakwa haiwan terbabit mati dalam keadaan yang terseksa.
Hal ini selepas beberapa gambar dan video yang dikongsikannya memaparkan anjing yang telah mati itu seakan cuba melepaskan dirinya daripada sangkar terbabit namun tidak berjaya.
“Seperti yang dapat dilihat dalam gambar dan video, kedua-duanya mati dalam kesakitan, memanggil pertolongan yang tidak pernah didengari.
“Dua orang doktor veterinar yang berada di lokasi kejadian mengesahkan bahawa haiwan-haiwan terbabit telah mati antara tujuh hingga 10 hari.
“Alhamdulilah kami berjaya menyelamatkan seekor lagi kucing yang turut terperangkap di dalam premis tersebut dan masih hidup,” tulisnya di kapsyen.
Shima minta orang ramai kongsi dan buat laporan kepada DVS
Sehubungan itu, Shima meminta warganet untuk berkongsi mengenai perkara terbabit di media sosial agar ia mendapat perhatian lebih ramai pihak.
Dia turut meminta orang ramai agar membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) agar tindakan selanjutnya dapat diambil terhadap pemilik klinik tersebut.
“Tolonglah jadi suara mereka (haiwan yang mati) walaupun selepas kematian mereka,” tulisnya lagi.
Laporan polis sudah dibuat, DVS juga telah dimaklumkan
Perkara sama turut dikongsikan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di Facebook, difahamkan kejadian itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh bekas kakitangan klinik berkenaan.
“Satu laporan polis telah dibuat Sabtu lalu oleh bekas kakitangan klinik tersebut, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) juga telah dimaklumkan,” katanya dipetik Kosmo.
Menurut persatuan itu, kakitangan dan pengurusan klinik mesti bertanggungjawab atas pengabaian besar tersebut yang melanggar undang-undang dan etika diamanahkan kepada mereka.
“SAFM menyeru siasatan menyeluruh oleh DVS dan Polis Diraja Malaysia di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).
“Tindakan kejam ini tidak boleh dibiarkan. Mereka yang terlibat mesti bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
DVS Selangor sahkan sudah turun ke lokasi kejadian
DVS Selangor kemudiannya mengesahkan telah menerima aduan rasmi dan telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada Rabu (17 Disember).
“Hasil pemeriksan oleh PKH (Pegawai Kebajikan Haiwan) mendapati terdapat satu ekor karkas anjing dan satu ekor karkas kucing diletakkan di dua buah sangkar haiwan yang berasingan di sekitar lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Berdasarkan pemeriksaan awal ke atas karkas haiwan ini, ianya dianggarkan telah mati sejak 1 atau 2 minggu yang lalu. Seterusnya, PKH telah mengambil milik kedua-dua karkas haiwan dan dua buah sangkar haiwan tersebut untuk pemeriksaan dan siasatan selanjutnya.
“Kertas siasatan telah dibuka oleh DVS Selangor dan kes disiasat di bawah subseksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
“Justeru, DVS Selangor meminta mana–mana saksi bagi kes ini untuk tampil ke pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor bagi membantu siasatan.
“DVS Selangor juga ingin menegaskan bahawa siasatan rapi dan telus akan dijalankan tanpa sebarang kompromi atau pilih kasih,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ikat & Seret Kucing: Si Bulus Telah Diselamatkan & Kes Disiasat Pihak Berkuasa – Persatuan Haiwan
Baca Artikel Berkaitan: Tular Pamer Alpaka & 22 Haiwan Dalam Keadaan Tidak Terurus, Kafe Di Melaka Didenda RM10,250
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Siap Masak Untuk Beri Makan Kepada Haiwan Jalanan Raih Pujian Ramai [Video]








