Batal Ke Wuduk Jika Suami Isteri Bersentuhan Kulit? Ini Pendapat Para Mufti
Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul memberikan pandangan yang berbeza berbanding jabatan mufti lain mengenai wuduk suami isteri sekiranya bersentuhan kulit ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perkahwinan bukan sahaja mengubah status seseorang daripada bujang menjadi isteri atau suami orang sahaja, malah ia turut mengubah rentak kehidupan terutamanya mengenai soal tanggungjawab.
Terdapat pelbagai kemanisan dalam hidup berumahtangga ini seperti bermesra-mesra yang dahulunya haram di dalam Islam, kini menjadi halal.
Bagaimanapun, tidak dinafikan masih ada yang keliru soal wuduk sekiranya suami dan isteri bersentuhan, hal ini kerana ada pendapat yang mengatakan ianya terbatal dan ada juga yang mengatakan tidak dengan syarat-syarat tertentu.
Memandangkan topik ini turut menjadi perbualan dikalangan team kami, jadi kami kongsikan kepada anda pendapat-pendapat yang diberikan oleh beberapa mufti dan pendakwah berhubung permasalahan ini.
Jabatan Mufti Negeri Selangor: Batal wuduk jika suami isteri bersentuhan kulit
Menurut Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 2019 lalu, suami isteri yang bersentuhan kulit dalam keadaan berwuduk tanpa berlapik adalah batal wuduknya.
Bagaimanapun, sekiranya bahagian yang disentuh itu adalah rambut, kuku dan juga gigi, maka tidaklah batal wuduknya.
Firman Allah SWT:
أوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ ۚ
Maksudnya: “Atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu : sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu”. (al-Maidah : 6)
Pejabat Mufti WP: Batal wuduk jika suami isteri bersentuhan kulit sama ada bernafsu ataupun tidak
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP), turut memberikan pendapat yang sama di mana suami isteri yang bersentuhan kulit akan menyebabkan wuduk mereka terbatal.
Dalam artikel bertarikh 20 Februari 2019 lalu itu, Pejabat Mufti WP turut menyenaraikan beberapa perkara yang boleh membatalkan wuduk.
Perkara-perkara yang membatalkan wuduk adalah:
- Keluar sesuatu daripada qubul dan dubur.
- Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya. Melainkan (tidak batal wuduk) sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduk.
- Bersentuhan (kulit) di antara lelaki dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung tanpa berlapik.
- Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan.
Imam Al-Nawawi di dalam kitab beliau menyatakan:
أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا
Maksudnya: “Sesungguhnya menyentuh kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab: 2/30)
“Pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie menyatakan batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi diantara keduanya,” jelas Jabatan Mufti WP.
Mufti Negeri Sembilan: Batal wuduk suami isteri yang bersentuhan kulit
Jabatan Mufti Negeri Sembilan juga senada apabila berkongsi satu posting yang diambil dari seorang pendakwah, Ustaz Lutfi yang juga Tenaga Pengajar Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling yang berpendapat adalah batal wuduk suami isteri yang bersentuhan kulit.
Menerusi penjelasan huraian tersebut, Ustaz Lutfi membuat beberapa huraian bagi menguatkan dalil mazhab Syafie berhubung perkara itu.
Sebagai contoh, beliau menyebut hadis Aisyah yang tersentuh kaki Rasulullah SAW ketika Baginda sedang solat berkemungkinan perkara itu tidak disedari oleh Baginda kerana sedang khusuk solat.
“Namun ada hadis lain riwayat Nasaie iaitu ‘Apabila baginda ingin solat witir Baginda sentuh Aisyah dengan kakinya’.
“Jawapan yang lebih wajar ialah hadis di atas adalah hadis “Fi’li” iaitu riwayat tentang perbuatan Rasulullah dan hadis perbuatan ada pelbagai kemungkinan atau disebut ihtimal kemungkinan ia berlapik atau Baginda tidak sedar,” katanya lagi.
Sementara pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus juga memberi pandangan sama semasa diajukan soalah berkenaan wuduk si suami yang telah menyentuh rambut isterinya.
Menurut Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI, wuduk akan terbatal di antara suami dan isteri sekiranya kulit bersentuhan dengan kulit.
Jelas UAI, sekiranya hanya menyentuh rambut, kuku atau gigi pasangan maka wuduk suami dan atau isteri tidak akan terbatal. Sama seperti apa yang diperkatakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Mufti Perlis: Tak batal wuduk suami isteri bersentuhan selagi mana tidak mendatangkan syahwat
Bagaimanapun, Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih mesra disapa Dr Maza pula memberikan pandangan yang sebaliknya.
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di saluran YouTube PROmedia TAJDID, Dr Maza berkata wuduk tidak akan terbatal sekiranya suami dan isteri bersentuhan kulit sekiranya ia tidak mendatangkan syahwat.
Ujar Dr Maza, dalam hadis Riwayat Bukhari, Baginda pernah memegang kaki isterinya, Saidatina Aisyah RA ketika sedang solat kerana ingin Aisyah mengalihkan kakinya ketika Nabi ingin sujud.
Menurutnya lagi, manakala di dalam hadis Riwayat Muslim pula, Aisyah pernah memegang kaki suaminya ketika Baginda sedang solat dalam keadaan sujud.
“Jadi kalau kita baca Fiqah bagi luas sikit, pegang pun takpa (tak batal wuduk). Yang kata batal (wuduk) tu takpalah, kita tak kata dia salah, kita sebut pandangan ini,” katanya.
Kebanyakan mufti berpendapat batal wuduk jika suami isteri bersentuhan kulit
Kesimpulannya, kebanyakan mufti yang berpengang kepada mazhab Syafie sepakat mengatakan bahawa suami isteri yang bersentuhan kulit tanpa berlapik sama ada menaikkan syahwat atau tidak wuduknya tetap akan terbatal.
Wuduk tidak akan terbatal sekiranya bahagian yang disentuh antara suami dan isteri itu hanyalah gigi, rambut atau kuku sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Suami Mandikan Jenazah Isteri, Batal Tak Wuduk? Ini Penjelasan UAI [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Ke Ambil Wuduk Dalam Keadaan Berbogel? Ini Hukum & Penjelasannya [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Sah Ke Wuduk Jika Air Mutlak Bercampur Air Musta’mal? Ini Penjelasannya [Video]


