Kanak-kanak Berniaga Sebab Kumpul Duit Nak Pergi Mekah Ditaja Ikhlas.com Untuk Tunai Umrah [Video]
Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin telah berkunjung ke warung adik Iqbal untuk bertemu dengannya serta memesan air yang dijual oleh si cilik berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular mengenai seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun yang gigih membuka warung menjual air di depan rumahnya demi mengumpul wang bagi menunaikan umrah bersama ibu bapanya.
Dalam video yang dikongsikan oleh si ibu, Qilah Hashim di TikTok, kanak-kanak yang dikenali sebagai Iqbal akan membuat persediaan pada setiap petang untuk membuka warung yang menjual pelbagai jenis air.
Kisah mengenai Iqbal terus tular sehingga dia mendapat perhatian banyak pihak khususnya media seperti stesen radio terkemuka, akhbar dan banyak lagi yang menemubual si cilik ini.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak Usia 11 Tahun Buka Warung Jual Air Demi Kumpul Duit Nak Pergi Umrah [Video]
Malah dia dilihat terus berusaha bukan sekadar berniaga tetapi turut melakukan senaman, dan berkunjung ke acara yang ada menawarkan pakej-pakej untuk menunaikan umrah.
Ikhlas.com taja kanak-kanak nak tunai umrah dengan ibu
Jelas niat suci dan murni pasti akan sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT, apabila impian Iqbal akhirnya terjawab selepas syarikat perkhidmatan pelancongan Islam, Ikhlas.com dengan berbesar hati mahu menaja si cilik ini bersama ibunya untuk menunaikan umrah.
Menerusi video yang dikongsikan oleh Ikhlas.com di TikTok, kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif, Ikhlas Kamarudin telah berkunjung ke warung adik Iqbal untuk membeli air yang dijualnya.
Malah sewaktu kunjungan itu, Iqbal turut memberi cadangan kepada Ikhlas untuk mencuba Thai Cheesy Tea yang sering menjadi permintaan ramai.
Sewaktu berjumpa dengan adik Iqbal, Ikhlas turut ada bertanya adakah benar dia berniaga kerana ingin mengumpul wang untuk menunaikan umrah bersama ibu dan mengapa?
“Kita orang nak pergi berdua sebab Iqbal selalu tengok dekat televisyen tu, ada orang tawaf tu semua,” jawab Iqbal.
Tahu mengenai acara dibuat oleh Ikhlas.com di TikTok
Ketika disoal bagaimana si cilik ini boleh terfikir ingin menghantar ibunya menunaikan umrah, Iqbal menjelaskan kerana ibu ada memaklumkan kepadanya jika berdoa di Mekah ia dikabulkan.
Ikhlas turut bertanya adakah benar sebelum ini Iqbal ada menghadiri acara yang diadakan oleh Ikhlas.com di Sungei Wang bersama ibu dan bagaimana dia mengetahui syarikat itu ada melakukan pertandingan untuk meneka jumlah belon yang ada di dalam kereta tersebut.
Iqbal mengatakan dia mengetahui mengenai acara itu di TikTok dan tidak tahu sama ada jumlah belon yang diteka adalah betul atau sebaliknya.
Selepas berbual mesra, Ikhlas kemudian memaklumkan dia ingin menaja Iqbal dan ibunya untuk menunaikan umrah.
“Nama abang Ikhlas, abang daripada Ikhlas.com. Kami ni sebenarnya syarikat gaya hidup mesra Islam jadi perniagaan kita adalah umrah dan agensi pelancongan untuk membantu kita (orang ramai) untuk menjalankan dakwah.
“Jadi hari tu, abang nampak TikTok Iqbal. Nampak Iqbal berniaga dekat depan ni. Lepas itu, Iqbal ada masuk radio, dengarlah cerita pasal Iqbal berniaga ni nak kumpul duit untuk nak hantar ibu dengan Iqbal pergi umrah kan?
“Jadi, hari ini kita orang datang ada satu hajatlah. Hajat dia nak jemput Iqbal ke Tanah Haram (Mekah). Boleh tak?” tanya usahawan yang juga anak kepada pengasas bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun kepada si kecil itu.
@ikhlas.com ✨ Niat yang kecil, Allah jawab dengan cara yang besar. Iqbal Rizqy pernah hadir ke ikhlas.com Travel Fair di Sungei Wang, menyertai lucky draw dan permainan teka belon dengan satu niat iaitu mahu ke tanah suci bersama ibunya, Nurul Aqilah @Qilah_Hashim_ . Setiap hari Iqbal berniaga air dan kuih-muih selepas pulang dari sekolah, menyimpan sedikit demi sedikit demi impian umrah bersama ibu tersayang. Hari ini, kami dari ikhlas.com hadir ke tempat Iqbal berniaga. Kami datang bukan sekadar ziarah, tapi membawa khabar gembira. Kami datang menyampaikan tajaan pakej umrah buat Iqbal dan ibunya. Semoga kisah ini menjadi inspirasi bahawa setiap niat yang disertai usaha dan keikhlasan akan dipermudahkan jalannya.
♬ original sound – IKHLASDOTCOM – IKHLASDOTCOM
Tersenyum apabila diberitahu akan dibawa ke Mekah
Terkejut dengan rezeki yang datang itu, Iqbal hanya menggangguk sambil tersenyum dan seperti tidak mampu berkata-kata disebabkan terlalu gembira dengan berita itu.
Kelihatan si ibu turut memeluk Iqbal daripada belakang sebelum pihak Ikhlas.com menyerahkan poster tahniah kepada mereka berdua.
“Iqbal ni bukan sahaja dapat satu kurniaan, tetapi Iqbal dijemput oleh Allah SWT untuk ke Tanah Haram. Sebab itu Iqbal dipilih, Iqbal dengan ibu sekali. Alhamdulillah, tahniah,” kata Ikhlas sambil memeluk Iqbal.
Kelihatan Ikhlas dan Iqbal saling berpelukan dalam keadaan sebak. Video sama turut dikongsikan oleh ibu Iqbal di TikTok rasminya.
Melihat di ruangan komen, ramai yang mengucapkan syukur dengan rezeki tersebut. Tidak kurang juga ada yang berasa sebak dan mengucapkan tahniah kepada adik Iqbal.
“Tahniah anak soleh dan mami (ibu Iqbal). Tahniah korang, peluk dari jauh”

“Syukur alhamdulillah tahniah Iqbal”

“Insya-Allah, Iqbal akan sampai ke sana dengan izin Allah. Iqbal sangatlah istimewa”

“Alhamdulillah, syukur. Rezeki tak pernah salah alamat”




