fbpx

Reina Lum Ulas Kes Kematian Syamsul Haris Selepas Diklasifikasikan Semula Sebagai Kes Bunuh [Video]

Pempengaruh yang juga bekas peguam, Reina Lum, berkata timbul dakwaan bahawa laporan forensik pertama diserahkan kepada keluarga arwah Syamsul Haris oleh pihak ketiga.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada 28 Julai lalu, kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat.

Kematiannya ketika itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (Sudden Death Report) dan arwah telah dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Namun pada 2 Disember lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengklasifikasikan semula kematian Syamsul di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yakni sebagai kes bunuh.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan: Mahkamah Persekutuan Ketepi Hukuman Gantung 6 Bekas Pelajar UPNM

Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan, 18 Penuntut UPNM Didapati Bersalah

Baca Artikel Berkaitan: ATM Siasat Kes Kematian Pelatih Palapes UiTM

Bedah Siasat Kedua Mendapati Kecederaan Teruk Di Leher Punca Kematian Syamsul Haris

Bagi memudahkan orang ramai faham dan peka mengenai isu ini, pempengaruh dan bekas peguam Reina Lum tampil berkongsi kronologi kes ini.

Pada awalnya kes tersebut dikatakan sebagai kematian mengejut yang disebabkan oleh radang paru-paru atau pneumonia.

Pun begitu, ibu kepada Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, tidak mempercayai bahawa ia merupakan punca kematian anaknya.

Dia kemudiannya telah meminta jenazah anaknya digali semula agar proses pembedahan forensik dijalankan untuk kali kedua.

Tambah Reina lagi, autopsi kedua yang dibuat menyatakan bahawa Syamsul bukanlah meninggal disebabkan oleh punca semula jadi. Sebaliknya, kematian arwah adalah disebabkan oleh kecederaan teruk di bahagian lehernya.

Reina berkata penemuan ini menyebabkan AGC mengklasifikasikan semula kes kematian Syamsul sebagai kes bunuh.

Terdapat Dakwaan Laporan Forensik Pertama Diberi Kepada Keluarga Oleh Pihak Ketiga

Namun begitu, bekas peguam yang kini menjadi rujukan netizen tentang isu-isu semasa itu berkata, timbul satu persoalan bagaimana laporan forensik pertama tidak dapat mengenal pasti kecederaan teruk pada leher arwah.

“Macam mana mereka tak perasan? Dan ada dakwaan laporan (forensik) yang pertama itu telah diberi kepada keluarga mangsa melalui pihak yang ketiga,” jelasnya.

Reina turut menjelaskan bahawa rayuan sedang dibuat bagi mendapatkan laporan bedah siasat pertama daripada pihak hospital secara terus.

Dalam masa sama, Reina berkata ibu Syamsul juga sedang membuat rayuan agar siasatan ke atas kematian anaknya dilakukan secara telus.

“Jujurnya, sebagai rakyat, inilah kes yang kita perlu ambil tahu. Sebab kes-kes macam inilah kes yang sangat serius yang sepatutnya tak ada istilah kita senyap-senyapkan.”

Bekas peguam, Reina Lum

Menurut Reina, apa yang dikongsikan olehnya ini hanyalah sekadar bagi tujuan kesedaran.

@reinalum Replying to @goliathkiller Update Kes Syamsul Haris 🙏🏼 Memang this is a hard case to weigh in on.. Sebab banyak pihak terlibat & ini isu nyawa. Sebagai seorang ibu, Reina 💯 sokongan satu siasatan yg transparent! Updates must be made public and rakyat kena peka sebab it could happen to any one of us if we don't take proper actions NOW. #fypmalaysia #justiceforsyamsulharis #utm #malaysia ♬ original sound – Reina Lum

Tonton video penuh [DI SINI].

Individu Terlibat Dengan Kematian Syamsul Akan Dikenal Pasti

Terdahulu, media melaporkan bahawa bedah siasat kedua yang dijalankan ke atas jenazah arwah Syamsul mengesahkan kecederaan leher traumatik sebagai punca kematian.

Menurut peguam Naran Singh yang mewakili keluarga Syamsul, laporan menunjukkan arwah mengalami kecederaan itu ketika masih hidup.

Dalam masa sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata, siasatan kes akan diteruskan bagi mengenal pasti individu-individu yang terlibat atau bertanggungjawab ke atas kematian tersebut.

“Masyarakat diingatkan agar tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dipetik Malaysia Kini.

Kronologi Selepas Kematian Syamsul Haris

Menyelusuri kronologi selepas kematian arwah Syamsul, ibunya Ummu, dalam satu sidang akhbar pada 1 Ogos berkata, dia telah melihat kesan lebam dan mata berdarah pada mayat anaknya sebelum dikebumikan.

Katanya keadaan ini membuatkan dia mengesyaki bahawa kematian anaknya itu membabitkan unsur jenayah.

Pada 14 Ogos, Ummu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam agar mayat anaknya digali semula bagi melakukan bedah siasat kedua dan inkues ke atas kematiannya.

Mayat Syamsul kemudiannya digali pada hujung Ogos dengan bedah siasat kedua dijalankan serta-merta.

Dalam masa sama, Unit Siasatan Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 26 Ogos, mengesahkan bahawa mereka mengambil alih siasatan kematian Syamsul.

Sehubungan itu, Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 18 September berkata, keputusan sama ada inkues akan dijalankan hanya akan dibuat selepas laporan penuh polis dan laporan bedah siasat kedua diterima, dijangka dalam tempoh tiga bulan kemudian.

Ummu bertindak memfailkan satu lagi tindakan undang-undang terhadap kerajaan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan empat yang lain sebagai usaha bagi mendapatkan salinan laporan bedah siasat pertama, pada 30 Oktober.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.