Nampak Macam Ulam Raja, Ini Bahaya Rumpai Miang Mexico Yang Anda Kena Tahu!
Parthenium hysterophorus atau dikenali juga sebagai rumpai miang Mexico dikategorikan sebagai Akar Rumpai Berbahaya oleh Jabatan Pertanian.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa terdapat sesetengah tumbuh-tumbuhan yang berbahaya buat manusia kerana mengandungi bahan kimia tertentu.
Namun lebih merisaukan lagi apabila terdapat juga tumbuh-tumbuhan berbahaya yang kelihatan sama seperti ulam-ulaman yang biasa dimakan.
Oleh yang demikian, orang ramai diingatkan agar cakna dengan jenis tumbuh-tumbuhan berbahaya di dalam negara dan mengelakkannya agar tidak mengalami masalah kesihatan serius.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Jenis Tumbuhan Indoor Yang Sesuai Jadi Hiasan Dalam Rumah, Nak Jaga Pun Senang!
Baca Artikel Berkaitan: Boleh Bawa Maut Jika Dimakan! Ini Cara Kenali Cendawan Beracun
Rumpai Miang Mexico Dikategorikan Sebagai Akar Rumpai Berbahaya
Seperti yang dikongsikan oleh pengguna Facebook Amirul Faisal, terdapat sejenis tumbuh-tumbuhan yang kelihatan saling tak ubah seperti daun ulam raja, namun ia sebenarnya amat berbahaya.
Berdasarkan notis yang dipaparkan, pohon yang digelar sebagai Parthenium hysterophorus itu berada di bawah pemerhatian Jabatan Pertanian Malaysia dan perlu dilaporkan sekiranya sesiapa menemukannya.
Juga dikenali sebagai rumpai parthenium atau rumpai miang Mexico, Amirul berkata ia merupakan antara rumpai paling toksik di dunia dan dikategorikan sebagai Akar Rumpai Berbahaya oleh Jabatan Pertanian.
Tambahnya lagi, ini kerana ia mengeluarkan bahan kimia parthenin yang merupakan toksin utamanya dan sesquiterpene lactones iaitu sejenis alergen kuat.
Rumpai Miang Mexico Senang Merebak, Boleh Ganggu Ekosistem & Sebabkan Alahan
Berdasarkan risalah oleh Jabatan Pertanian, rumpai miang Mexico boleh tumbuh dengan mudah di pelbagai jenis tanah termasuklah di kawasan yang kurang subur.
Ia juga cepat merebak antaranya menerusi angin, air yang mengalir, makanan ternakan serta pergerakan alatan pertanian dan manusia.
Rumpai miang ini bukan sahaja boleh menyebabkan masalah alahan kepada manusia, tetapi juga mengganggu ekosistem semula jadi.
Antara bahaya rumpai miang Mexico termasuk:
- Mengandungi bahan kimia yang memberi kesan allelophatic yang menyekat pertumbuhan dan pengeluaran hasil tanaman di sekitarnya.
- Menyebabkan tindak balas alahan pada manusia seperti ruam, gatal, menggelupas dan mata bengkak.
- Debunga boleh mengganggu sistem pernafasan seperti asma dan selesema.
- Menyebabkan tindak balas alahan pada haiwan termasuk anoreksia, pruritus, alopesia, dermatitis dan cirit-birit.
- Menjejaskan kualiti daging ternakan dan menyebabkan susu berbau busuk.
Tambah Amirul lagi, manusia yang terdedah secara berulangan kepada rumpai miang ini juga boleh mengalami kesan kronik kesihatan termasuk:
- Ekzema kronik
- Hiperpigmentasi
- Sensitiviti kulit kekal
- Masalah paru-paru jangka panjang.

Tindakan Jika Terdedah Kepada Rumpai Miang Mexico
Dalam pada itu, Amirul turut berkongsi tindakan yang perlu dilakukan sekiranya seseorang terdedah kepada rumpai miang Mexico.
Pertama adalah segera membasuh bahagian tubuh badan yang telah terdedah menggunakan sabun dan air yang banyak.
Jika alami kegatalan, jangan garu dan gunakan losyen Calamine atau Aloe Vera untuk kurangkan masalah itu.
Sekiranya berlaku masalah alahan seperti kulit menjadi warna kemerah-merahan yang teruk, ambil ubat antihistamine seperti Loratadine atau Cetirizine.
Namun segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya seseorang mula sesak nafas selepas terdedah kepada rumpai ini.
Laporkan Penemuan Rumpai Miang Mexico Kepada Jabatan Pertanian
Menurut Jabatan Pertanian, rumpai miang Mexico perlu dikawal sebelum berbunga atau menghasilkan biji benih agar ia tidak merebak.
Cara kawalannya adalah dengan mencabut dan memusnahkan rumpai atau menggunakan semburan racun yang mengandungi bahan aktif Glyphosate/ Atrazine.
Namun pastikan anda memakai sarung tangan dan pakaian bersesuaian bagi mengelakkan berlakunya sentuhan secara terus jika mengambil tindakan sendiri.
Selain itu, rumpai ini juga boleh dikawal di kawasan kediaman dengan menyembur larutan air garam pada nisbah 1:4, yakni 1kg garam dalam 4 liter air.
Orang ramai juga diminta untuk melaporkan penemuan rumpai ini di tanah yang dimiliki atau diduduki olehnya kepada pihak Jabatan Pertanian seperti mengikut Seksyen 11 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Walaupun kelihatan seperti daun ulam raja, namun rumpai ini boleh dibezakan berdasarkan bunga kecil berwarna putih yang terdapat padanya. Daunnya pula berwarna hijau pucat dan berbulu di kedua-dua belahnya.

Rumpai Miang Mexico Pertama Kali Dikesan Dalam Negara Pada 2013
Menerusi hantaran di Facebook pada tahun 2014, Jabatan Pertanian berkata rumpai miang Mexico ini pertama kali dikesan di Malaysia pada 3 September 2013 di Ulu Yam Bharu, Selangor.
Ia merupakan rumpai invasif yang berasal dari Mexico dan amat berbahaya sehingga kerajaan India melabelkannya sebagai ‘rumpai terburuk dalam abad ini’.
Di Malaysia, rumpai ini telah disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.
Baca Artikel Berkaitan: Daun Senduduk Bulu Banyak Kegunaan, Boleh Jadi Sabun & Sesuai Untuk Merawat Luka
Baca Artikel Berkaitan: Beri Hadiah Bunga Segar Boleh Jejaskan Kesihatan Pesakit Kanser? Ini Puncanya
Baca Artikel Berkaitan: UMT Temui Spesies Ikan Baharu, Diberi Nama ‘Baji Azizah’ Sempena Prof Dr Siti Azizah