Anak Baru Belajar Minum Guna Cawan? Ini Sebab Tak Elok Guna Sippy Cup & 360 Cup
Sebaliknya, anak-anak kecil lebih elok menggunakan cawan biasa atau penyedut sahaja untuk minum air.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bila anak sudah hampir mencecah usia enam bulan, ibu ayah pasti teruja untuk mula memberi makan minum kepada si kecil dan membeli peralatan khas buat mereka.
Antara bekas minum yang menjadi pilihan sesetengah ibu ayah ialah sippy cup yang mempunyai muncung khas dan 360 cup (non-spill cup) yang dapat mengelakkan air daripada tertumpah.
Pun begitu, bekas minuman sebegini mungkin tidak begitu elok untuk si kecil dan lebih elok jika menggunakan cawan biasa sahaja.
Penggunaan Sippy Cup Ganggu Perkembangan Cara Menelan Yang Matang
Menerusi hantaran di Threads (@sharingbyfarhaa), seorang wanita telah berkongsi semula penjelasan oleh seorang bekas doktor yang sering menjelaskan tentang nutrisi kanak-kanak, Dr Amalina Mohd Daud, tentang penggunaan sippy cup dan 360 cup.
Dia berkata, penggunaan sippy cup akan menyebabkan lidah anak terhalang oleh muncungnya, sekali gus mengganggu proses perkembangan cara menelan yang matang.
Sebagai info, bentuk menelan yang matang adalah apabila lidah menyentuh lelangit ketika menelan makanan atau minuman.
View on Threads
Sippy Cup Boleh Buatkan Anak Pelat Huruf ‘S’
Di samping itu, penggunaan sippy cup juga dikatakan dapat menyebabkan masalah kelewatan bercakap.
Menurut WebMD, penggunaan sippy cup yang terlalu lama boleh menyebabkan tabiat menolak lidah ke gigi hadapan dikenali sebagai ‘tongue thrust‘.
Keadaan ini terjadi apabila kanak-kanak biasa merehatkan lidah lebih ke hadapan berbanding posisi semula jadi, seterusnya menyebabkan pelat huruf ‘s’ yang akan berbunyi seperti ‘th’.
Selain itu, menggunakan sippy cup untuk minuman manis seperti susu atau jus boleh meningkatkan risiko masalah kaviti dan gigi rosak.
Tabiat ‘tongue thrust’ juga boleh membuatkan gigi hadapan tumbuh secara terkeluar dan menjejaskan bentuk gigitan.
Penggunaan 360 Cup Boleh Sebabkan Dagu Anak Ke Depan & Memanjang
Selain sippy cup, Amalina berkata 360 cup juga tidak digalakkan buat kanak-kanak walaupun dapat memudahkan ibu ayah kerana air tidak akan tumpah.

Ini kerana cara minum menggunakan cawan itu boleh mengganggu pembentukan struktur muka kanak-kanak, iaitu dagu menjadi ke depan dan memanjang akibat otot rahang bawah yang lebih aktif, juga dikenali sebagai ‘jaw protusion’.
“Bila anak minum, anak kena sedut air tu baru air keluar. Ini menyebabkan pembentukan struktur muka anak terjejas. Dagu akan ke depan sebab terpaksa sedut,” katanya.
Sebaliknya, pemilihan bekas minuman yang terbaik untuk anak yang sudah pandai makan adalah jenis cawan biasa (open cup) ataupun botol yang mempunyai penyedut.
@amalina_mohd_daud Tolong elakkan sippy cup dan 360 cup utk anak . . Saya tahu sippy cup dan 360 cup ni antara favorite parents nak beri pada anak. Tapi cup begini menyebabkan baby ada masalah dengan perkembangan oral motor. . . Sippy cup ni memang nampak mudah. Tapi ianya seperti botol susu tapi bentuk macam cup. Isu dengan sippy cup ni ianya menghalang pembentukan mature swallowing pattern dimana lidah kena sentuh lelangit bila nak telan. . . 360 cup pula nampak mudah sebab anak minum tak tumpah-tumpah. Tapi sistem valve dia menyebabkan anak kena effort menyedut bila nak minum dan activate muscle dekat jaw bawah. Bila selalu sangat minum jadi lah dagu terkedepan. Tak comel kan. . . So hanya guna open cup kecil atau straw sahaja untuk baby ya. . . Jom dapatkan buku pemakanan bayi pertama di Malaysia iaitu kit makanan 6-12 bulan. Buku ini bantu anda utk mulakan anak makan dgn confident selain bantu anda handle isu berkaitan seperti anak tak makan, baling cawan pinggan makanan, anak eczema, prem baby dan macam2 lagi . . Komen KIT nanti saya bagi link ya . . Love Dr Amalina Mohd Daud
♬ original sound – Dr Amalina Shop
Tonton video penuh [DI SINI].
Guna Straw Dapat Bantu Perkembangan Percakapan Si Kecil
Sekadar info, berbanding sippy cup yang boleh menjejaskan perkembangan percakapan anak, penggunaan penyedut pula memberi kesan sebaliknya.
Berdasarkan artikel di Therapy Works, penggunaan penyedut akan membantu si kecil untuk mengembangkan cara menyedut dan menelan yang lebih maju.
Anak juga dapat melatih cara menelan yang matang yang seterusnya dapat membantu mereka untuk makan dan minum dengan selamat.
“Apabila menggunakan penyedut untuk minum, mereka akan menguatkan otot bibir, lidah dan pipi,” jelasnya.
Otot yang kuat pula dapat menyokong keupayaan si kecil untuk bercakap. Sebagai contoh, otot bibir penting untuk menghasilkan bunyi konsonan termasuk ‘m’, ‘p’ dan ‘b’.
Selain itu, penggunaan penyedut juga dapat membantu anak untuk meletakkan lidah di posisi semula jadi dan mengelakkan kesan negatif termasuk bernafas menerusi mulut.









