fbpx
Now Reading
Tular Pelajar Redah Banjir Demi Jawab Peperiksaan SPM, Ini Rupanya Kisah Sebenar [Video]

Tular Pelajar Redah Banjir Demi Jawab Peperiksaan SPM, Ini Rupanya Kisah Sebenar [Video]

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan Haziq Hazwan yang tular meredah banjir sudah ditempatkan di asrama dan berada dalam keadaan selamat.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada minggu lalu, kebanyakan negeri khususnya di Semenanjung Malaysia mengalami cuaca hujan lebat yang berterusan hingga menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.

Keadaan ini sememangnya menyukarkan penduduk setempat apatah lagi kini sedang berlangsungnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025.

Namun itu sedikit pun tidak mematahkan semangat pelajar untuk terus berjuang hingga ada yang sanggup meredah banjir seperti video tular baru-baru ini.

Video Tular Pelajar Redah Banjir Bersama Bapa Dirakam Oleh Adik

Menerusi video yang sohor di media sosial, kelihatan seorang pelajar bersama bapanya meredah banjir sambil menolak bakul hitam yang dipercayai berisi beg sekolah.

Video itu dikongsikan sendiri oleh bapa calon SPM berkenaan di TikTok miliknya, @yusoffpelamindanwiring2 pada Ahad (30 November) lalu.

“Dugaan untuk anak sulung nak pergi (jawab) peperiksaan SPM, terpaksa berenang redah banjir, jalan utama terputus.

“Semoga Along berjaya dunia akhirat, amin. Dalam tong hitam tu beg dia,” tulis pemilik video berkenaan.

Bercerita kisah itu dengan lebih terperinci, calon SPM yang dikenali sebagai Haziq Hazwan Yusoff menganggap situasi itu sebagai ujian buat dirinya.

“Saya anggap ia sebagai ujian yang Allah SWT beri buat saya. Apa saya lakukan itu pun usaha untuk diri sendiri juga, bukan orang lain,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Jelas Haziq Hazwan yang berasal dari Kampung Kuala Kechau, Kuala Lipis, Pahang, video tersebut dirakam oleh adiknya, Muhammad Hazim Yusoff yang berusia 10 tahun dari tebing kawasan tersebut pada Sabtu (29 November) lalu.

Kawasan Banjir Tidak Dapat Diakses Menggunakan Bot

Terangnya yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis kawasan tersebut tidak dapat diakses menggunakan bot menyebabkan dia dan bapa terpaksa memilih untuk meredah banjir berkenaan.

“Rumah saya hampir dinaiki air akibat banjir jadi itu sebabnya kena keluar ke asrama lebih awal. Ikutkan keluarga saya pun ada bot sendiri tapi tak boleh digunakan di kawasan berkenaan.

“Jadi kena redah banjir sebelum ayah bawa saya ke asrama menaiki kereta yang sudah diletakkan di tempat tinggi.

“Air cecah paras hidung juga tapi syukur kerana saya dengan ayah dapat berenang dengan selamat,” kongsinya.

Bukan Kali Pertama Rumah Dinaiki Air, Tak Salahkan Pihak Sekolah

Terang remaja itu lagi, itu bukanlah kali pertama rumahnya dinaiki air kerana kawasan tersebut sering mengalami insiden yang sama.

“Cuma ini kali pertama redah banjir untuk ke asrama lebih awal bagi menduduki SPM semalam.

“Bukan salah pihak sekolah pun kerana saya dengan ayah yang ambil inisiatif sendiri redah banjir kerana laluan berkenaan tak boleh diakses.

“Jadi saya harap yang menonton video berkenaan tak salah faham atau salahkan sesiapa dan mungkin orang kata saya risikokan diri. Tapi saya tahu risiko yang saya ambil kerana jika boleh bahayakan diri tak mungkin saya redah.

“Apa pun, saya berdoa semoga perjalanan saya menduduki SPM dipermudahkan kerana nak dapat 9A.

“Diharap calon SPM yang senasib juga bertabah kerana mungkin ujian itu kunci kejayaan buat kita semua,” jelasnya.

@yusoffpelamindanwiring2

air yg dalam, terpaksa juga redah,jln utama terputus, air banjir, semoga along berjaya dlm exzam spm thn ini… amin🤲🤲 #nk balik asrama terpaksa redah banjir, spm2025

♬ PadaMu Kubersujud – Religi Islam – Afgan

Tonton video penuh [DI SINI]

Bapa Tidak Terfikir Minta Bantuan, Redah Banjir Hantar Anak Ke Asrama

Dalam pada itu, bapa remaja berkenaan yang dikenali sebagai Yusoff Mat Dakim menjelaskan dia tidak terfikir untuk mendapatkan bantuan memandangkan pada ketika itu kediamannya hampir dinaiki air dan sibuk menyelamatkan barangan rumah.

“Banyak yang saya nak fikir waktu itu kerana pada masa sama nak hantar anak ke asrama jadi redah saja banjir tanpa sempat minta tolong sesiapa.

“Kawasan saya dan anak berenang bukan sungai tapi jalan keluar ke bandar dan sebab itu kami yakin boleh berenang kerana ada tempat tak dalam.

“Saya tak salahkan pihak sekolah pun kerana mungkin mereka tak tahu kawasan rumah kami banjir sebab air naik terlalu cepat.

“Apa pun, kami sudah selamat dan terima kasih kepada yang mendoakan serta ambil berat dengan anak saya,” terangnya lagi.

Ibu Tersentuh Lihat Semangat Anak Sanggup Redah Banjir

Pada masa yang sama, ibu remaja berkenaan yang dikenali sebagai Rozila tersentuh melihat semangat anaknya yang sanggup meredah banjir pulang ke asrama serta turut terharu dengan pengorbanan suami yang menemani anak mereka.

“Kami tak sangka video itu akan tular. Jujurnya kami tak salahkan mana-mana pihak pun kerana bot memang tak boleh nak lalu di situ.

“Anak dengan suami memang boleh berenang dan jarak nak ke tempat tinggi pun tak jauh. Itu sebabnya mereka redah saja.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian buat anak dan menjadi asbab dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM nanti,” kongsinya.

JPN Pahang Sahkan Haziq Hazwan Berada Di Asrama & Dalam Keadaan Selamat

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan Haziq Hazwan sudah ditempatkan di asrama dan dalam keadaan selamat.

“Pelajar terbabit kini ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar dan dilaporkan bersedia menduduki peperiksaan bersama calon lain,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Video tular itu sebelum ini mendapat perhatian pengguna media sosial hingga ramai yang bersimpati dengan keluarga berkenaan.

Pada masa yang sama, ramai juga yang mendoakan kejayaan buat remaja itu atas semangat dan pengorbanan untuk menjawab soalan SPM.

Baca Artikel Berkaitan: Amaran Hujan Lebat Berterusan, Ini Tips Persediaan Penting Ketika Berdepan Gelombang Banjir

Baca Artikel Berkaitan: Bahan Rujukan Musnah Kerana Banjir, Calon SPM Tak Patah Semangat Ulang Kaji Guna Telefon Bimbit

Baca Artikel Berkaitan: 431 Calon SPM Terkandas, Tak Boleh Duduki Peperiksaan Akibat Banjir

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.